Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan digesa lebih berani pertahan kedaulatan negara – PAS

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 19 FEB : Kerajaan Persekutuan digesa untuk tampil lebih berani menggunakan aset pertahanan negara apabila kedaulatan negara terancam.

Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata kehadiran kapal pengawal pantai (Coast Guard) China pada jarak 84 batu nautika dari Miri, Sarawak tanpa dicabar membuktikan Kerajaan Barisan Nasional tidak tegas mempertahankan kedaulatan negara.

ISKANDAR SAMAD“Kejadian tersebut perlu dianggap serius kerana tidak ada sebab munasabah kenapa kapal itu berada begitu hampir dengan perairan Malaysia. Sepatutnya kapal pengawal pantai China mengawal pantai negara itu dan bukan pantai Malaysia.

“Negara memiliki aset pertahanan bernilai berbilion ringgit seperti kapal terbang, kapal perang dan kapal selam tetapi negara asing boleh sesuka-hati menghantar kapal-kapal mereka sehingga ke persisiran pantai kita,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, rakyat Malaysia pernah dikejutkan dengan pendedahan jet pejuang tentera udara Singapura sering mencerobohi ruang udara negara.

Iskandar berkata, kepimpinan negara sewajarnya mengambil contoh ketegasan Britain memintas dua jet pengebom Russia, walaupun ia berada di luar ruang udara negara itu.

“Sebarang tindakan yang dilihat mengancam kedaulatan negara tidak seharus dipandang ringan. Negara kita telah dijajah lebih 500 ratus tahun dan kemerdekaan yang diperolehi mesti dipertahankan dengan bersungguh-sungguh.

“Sempadan negara kita juga sering dibolosi oleh pendatang tanpa izin yang memasuki negara kita di atas sebab-sebab ekonomi,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.