Categories
SELANGOR

MB: Kepimpinan Kerajaan Persekutuan lemah punca keputusan ‘Flip Flop’

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 FEB: Tindakan Kerajaan Persekutuan membuat keputusan ‘Flip Flop’ dalam sesuatu isu disebabkan tidak membuat kajian terperinci sebelum memutuskannya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Persekutuan sering bersikap demikian dan ia boleh dilihat menerusi isu pendidikan sebelum ini dan terbaru isu kemasukan 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke Malaysia.

ISU PEKERJA BANGLADESH“Ini memang sikap Kerajaan Persekutuan yang flip flop suka menggubal sesebuah dasar tanpa ada kajian yang terperinci dan maklum balas dari stockholder dan pemain industri utama.

“Kita dapat lihat kepimpinan Kerajaan Persekutuan yang lemah dan tidak ada hala tuju jelas untuk memulihkan suasana ekonomi negara yang semakin parah pada hari ini,” katanya sewaktu Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Dun Bukit Lanjan, Bandar Sri Damansara, di sini, hari ini.

Katanya lagi, kelemahan kepimpinan Kerajaan Persekutuan memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi negara.

“Soal kepimpinan penting dalam memastikan pembangunan dan kemajuan sesebuah negeri.

“Kalau kepimpinan itu lemah dan tidak ada visi, ianya beri kesan kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Kerajaan Persekutuan membekukan pengambilan pekerja asing termasuk dari Bangladesh.

Namun, Media Bangladesh Dhaka Tribune melaporkan tindakan Kerajaan Malaysia membuat pengumuman membekukan pengambilan pekerja asing hanya untuk menenangkan rakyatnya yang menentang pengambilan pekerja asing.

Katanya Kerajaan Malaysia masih mengambil pekerja dari Bangladesh seperti dipersetujui dalam memorandum persefahaman ditandatangani pada 18 Februari lalu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.