Categories
SELANGOR

MBSA diseru percepat pembinaan pasar baru Sri Muda

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disarankan mempercepatkan pembinaan pasar baru di Sri Muda yang tertangguh sebelum ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafei, berkata peniaga di pasar lama merungut kerana pembinaan pasar baru seperti dijanjikan pada 2013 masih belum siap.

“Peniaga mula merungut kerana tidak selesa keadaan pasar yang daif. Pasar ini beroperasi lebih 25 tahun. Namun, terpaksa berniaga di pasar itu kerana menunggu pasar yang baru siap.

“Saya memahami keadaan penjaja ini. Kita tidak tahu apa masalah sebenarnya dari MBSA dalam menyiapkan pembinaan pasar baru ini, saya akan meminta Ahli Majlis kawasan terbabit untuk mendapatkan penjelasan sebenarnya daripada MBSA,” katanya kepada SelangorKini.

MBSAShuhaimi berkata MBSA juga perlu membuat tapisan peniaga di pasar baru itu nanti bagi mengelakkan peniaga menyewakan premis mereka kepada warga asing.

“Peniaga sedia ada ketika ini kebanyakannya bertindak secara ali baba, menyewakan kepada warga asing. Mereka ini perlu dikenalpasti dan diambil tindakan tegas.

“Selagi pasar baru tidak siap, pelarasan peniaga tidak dapat diselesaikan. Jika kita lakukan sekarang pastinya timbul pelbagai isu,” katanya.

Sebelum ini, seramai 110 para peniaga asal di Pasar Pagi Seri Muda dijangka dapat menjalankan perniagaan mereka dalam keadaan lebih selesa dan teratur apabila MBSA menyediakan lokasi baru yang lengkap dengan pelbagai prasarana dan kemudahan, menjelang 2016.

Bagaimanapun, pembinaan pasar baru yang dianggarkan menelan kos RM22 juta itu mengalami kelewatan.

Pasar baru enam tingkat itu dibina dengan berkonsepkan ‘hypermarket’ bersebelahan tapak pasar sedia ada.

Berkeluasan dua ekar, pasar itu membabitkan 67 lot pasar basah, 72 lot pasar kering, 28 gerai makanan dan lapan buah kiosk. Terdapat tempat pelupusan sampah, surau, tandas, bilik air, pejabat pengurusan dan agak cantik serta berkonsep seperti ‘hypermarket’.

MBSA juga akan membina kemudahan 200 petak tempat letak kereta dan 112 tempat letak motorsikal.
EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.