Categories
SELANGOR

MBPJ perkenal dua jajaran bas percuma baru tingkat kemudahan

OLEH : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 1 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan komitmen menyediakan bas percuma ‘PJ City Bus’ kepada rakyat dengan memperkenalkan dua jajaran baru dengan peruntukan 12 unit bas.

Lebih membanggakan, dua daripadanya adalah bas elektrik menjadikan jumlah keseluruhan 22 unit bas percuma di bawah penyeliaan MBPJ.

Azmin BasDua laluan baru, PJ03 dan PJ04 menumpukan kawasan Utara Petaling Jaya dengan mengutamakan kawasan persekolahan dan pusat tumpuan orang ramai dengan kos perbelanjaan sebanyak RM6.5 juta.

Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata dua laluan itu masih dalam peringkat percubaan sejak diperkenalkan pertengahan Januari lalu.

Katanya, jumlah pengguna sudah meningkat kepada 1,200 penumpang dan ia dijangka terus meningkat.

“Bas percuma ini mula beroperasi setiap hari seawal jam 6.00 pagi hingga 9.00 malam.

“Kekerapan bas adalah setiap 15 minit pada waktu puncak dan 20 minit di luar waktu puncak.

“Jika tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna maka laluan baru akan diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian PJ City Bus PJ03 dan PJ04 yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Stesen LRT Taman Bahagia.

PJ03 melibatkan 22 laluan bermula di LRT Taman Bahagia ke SS6 Kelana Park View.

PJ04 dengan 26 laluan bermula dari LRT Taman Bahagia ke Kampung Tunku dan Sea Park.

PJ01 dan PJ02 yang mula diperkenalkan sejak pertengahan 2014 dengan penyediaan 10 unit bas mendapat sambutan hangat dengan catatan 9,000 pengguna sehari.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.