Categories
SELANGOR

SELCAT: PBT perlu tambah kakitangan kekang denggi

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 FEB: Pertambahan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadangkan bagi penambahbaikan dan keberkesanan dalam usaha menangani masalah penularan wabak denggi di Selangor.

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) berpandangan jumlah kakitangan bagi tugasan pencegahan itu tidak memadai dan PBT perlu mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri bagi bantuan berkenaan.

DENGGI GRAFIKPengerusi SELCAT, Hannah Yeoh, berkata perkara itu perlu ditangani segera kerana masalah denggi dihadapi kini agak kritikal.

“PBT perlu mendapatkan bantuan bagi tujuan ini kerana jumlah petugas dimiliki PBT dirasakan tidak mencukupi.

“Begitu juga dengan peruntukan dimaklumkan PBT tidak minta kepada Kerajaan Negeri. Kenapa tidak minta?,” soalnya dalam sesi pendengaran awam mengenai wabak denggi di Selangor bersama SELCAT di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi pendengaran bersama wakil PBT antataranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Hannah berkata, peruntukan dalam lingkungan RM30,000 seperti diterima MPK tidak memadai untuk tujuan itu dan diyakini Kerajaan Negeri boleh menyalurkan peruntukan lebih besar.

Jumlah petugas PBT antara 40 hingga 50 kakitangan dianggap kurang dan Dr A Xavier Jayakumar menjelaskan jumlah itu perlukan tambahan segera.

“Sehingga 30 Januari ini kita ada kes 6,756 dan secara purata kalau sehingga akhir tahun ia melebihi 63,198 yang dicatat tahun lalu jika tiada usaha mengatasinya.

“Begitu juga dengan peruntukan diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang tujuannya untuk mendapatkan bekalan kimia tetapi untuk pencegahan perlukan peruntukan tambahan dari Kerajaan Negeri,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.