Categories
SELANGOR

MB: Perkenan Sultan kejayaan Kerajaan Negeri jadi pembakar semangat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dianggap pembakar semangat untuk kepimpinan Kerajaan Negeri berusaha lebih gigih, bertanggungjawab dan telus bagi menjamin prinsip integriti pentadbiran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ini berikutan Baginda Sultan menyatakan dalam titah ucapannya kejayaan Selangor terletak pada faktor kecekapan Kerajaan Negeri mengurus ekonomi dengan bertanggungjawab.

DNS 2016“Tuanku berkenan menegaskan kejayaan pengurusan ekonomi dan kewangan Selangor ini terletak di atas tindakan Kerajaan Negeri menjalankan pentadbiran negeri dengan bertanggungjawab, telus dan terbuka dan menjamin prinsip integriti dalam pentadbiran.

“Ini peringatan kepada semua pihak sama ada pihak eksekutif, anggota perkhidmatan awam dan juga Ahli Dewan Negeri (DNS) supaya menjaga amanah ini dengan baik bagi membangunkan Selangor dan rakyat,” kata Mohamed Azmin kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Titah Ucapan Perasmian Sultan Sharafuddin pada istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut menyambut titah Baginda Sultan yang mahu Kerajaan Negeri kekal memastikan kekayaan negeri disalurkan semula kepada rakyat melalui perbelanjaan pembangunan.

“Ini cabaran besar Kerajaan Negeri meningkatkan belanja pembangunan dan mengurangkan belanja mengurus kerana hal ini tidak dapat dilakukan di negeri lain tetapi Selangor sekali lagi mencatatkan kejayaan.

“Ini komitmen kita memastikan setiap khazanah negeri yang kaya ini dapat disalurkan semula kepada rakyat melalui belanja pembangunan dan akhirnya mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi,” katanya lagi.

Ketika mengulas isu industri pembinaan dan perumahan yang juga disentuh Sultan Sharafuddin, Mohamed Azmin menjelaskan Baginda Sultan menitahkan supaya Kerajaan Negeri mengambil langkah inovatif seperti dilaksanakan pada masa ini.

“Tuanku bertitah Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah lebih inovatif seperti contoh dititahkan Tuanku apabila Bank Negara Malaysia (BNM) memperketatkan kemudahan kredit dan ini menyebabkan ramai pembeli rumah tidak dapat pinjaman membeli rumah.

“Bagaimanapun Kerajaan Negeri proaktif berbincang dengan bank tempatan, bagaimana kita boleh menyediakan mekanisme baru lebih kreatif dan inovatif bagi mereka berpendapatan sederhana dan rendah dapat membiayai pembelian rumah,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.