Categories
SELANGOR

Wujudkan jawatankuasa unit khas cegah kes denggi

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 APR : Jawatankuasa Unit Khas Denggi perlu diwujudkan bagi menangani peningkatan kes denggi di seluruh Selangor, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan Haniza Talha.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil pendekatan diambil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi penubuhan jawatankuasa khusus untuk mencegah penularan wabak denggi.

AEDES 1“MBPJ berjaya mengurangkan kes denggi sebanyak 9 peratus disebabkan penumpuan khusus diberikan unit khas memantau kawasan seperti sekolah dan pusat komersial.

“Jadi cara ini berjaya apabila penurunan 9 peratus itu berjaya dicatatkan dan pendekatan ini memerlukan kakitangan tambahan menangani kawasan-tinggi kes denggi ini,” katanya semasa membahaskan usul berkenaan pada Sidang DNS hari ini.

Cadangan itu disambut baik ADN Sekinchan, Ng Suee Lim yang menyarankan PBT lebih tegas mengenakan kompaun kepada syarikat dan individu terbabit dalam kegiatan boleh mengundang denggi.

DNS 2016“Nyamuk ini dia tidak pilih sesiapa pun dia boleh gigit, orang besar atau orang kecil sesiapa saja boleh kena sama ada kamu Exco atau rakyat biasa juga boleh jadi sasaran nyamuk.

“Jadi kita harapkan PBT ambil pendirian tegas dengan mengenakan kompaun kepada syarikat besar melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.

Selain itu katanya, kesedaran masyarakat awam terhadap bahaya denggi perlu diterapkan supaya kepentingan menghindari kegiatan aedes boleh dilaksanakan menyeluruh.

Sehingga Februari lalu, sebanyak 7,355 kes termasuk 12 kematian denggi dilaporkan di seluruh Selangor.

Pada masa sama, kerajaan menerusi Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga komited mewujudkan pelbagai program untuk mengekang penularan wabak denggi.

EZY

Categories
SELANGOR

Inisiatif taska asuhan di tempat kerja bantu pekerja

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 APR : Kerajaan Negeri menyambut baik insiatif  diwujudkan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta menerusi penubuhan taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata inisiatif itu memudahkan urusan kebajikan kanak-kanak dan lebih menjimatkan masa pekerja.

DNS 2016“Penubuhan taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja oleh pihak swasta memudahkan dan membantu ibu bapa.

“Inisiatif ini boleh menjimatkan masa perjalanan mereka ke tempat kerja selain mampu memberikan keyakinan terhadap keselamatan anak-anak mereka.

“Malah, yuran dikenakan lebih rendah dan berpatutan,” katanya menjawab pertanyaan ADN Rawang Gan Pei Nei berhubung statistik pusat taska dan asuhan di seluruh Selangor.

Daroyah berkata sebanyak 14 jabatan melibatkan agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun seluruh negeri menyediakan kemudahan nurseri di tempat kerja.

Jumlah itu meliputi Majlis Perbandaran Petaling Jaya (1), Majlis Perbandaran Klang (2), Majlis Perbandaran Klang (2), Majlis Perbandaran Subang Jaya (2), Majlis Perbandaran Kajang (1), Majlis Bandaraya Shah Alam (1), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (1), Majlis Perbandaran Selayang (1), Majlis Daerah Hulu Selangor (1) dan di Pejabat SUK (1).

Daroyah berkata kerajaan Negeri juga menerusi program merakyatkan ekonomi Selangor menyediakan program Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Si Kembar) dengan bantuan yuran sebanyak RM100 sebulan.

“Kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska berdaftar dengan jabatan kebajikan masyarakat di Selangor yang memenuhi syarat ditetapkan, bantuan yuran RM100 sebulan diberikan kepada taska berkenaan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Portal MES perlu dikemaskini

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 MAC: Laman sesawang Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) perlu dikemaskini bagi membolehkan pengguna melayari atau mendapatkan informasi berkenaan program Kerajaan Negeri itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Ying, berkata hal itu juga bagi mengelakkan orang ramai tidak salah faham dengan berita palsu yang banyak disampaikan menerusi aplikasi Whatsapp.

DNS 2016“Bila kita sebut mahu menjadikan Selangor sebagai Smart State terkemuka dunia dan ‘internet of things’ sudah tentu langkah utama ia diambil kira.

“Bagaimana mencapai Smart State jika laman sesawang utama seperti program MES tidak dikemaskini,” katanya yang membahas titah ucapan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj.

Beliau juga menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dalam memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi pemasangan 2,500 hotspot wifi.

“Namun, apa yang membimbangkan dalam usaha mencapai Smart State, internet di negara ini masih ditahap membimbangkan.

“Kelajuan internet negara kita berbanding negara kain sangat tidak memuaskan,” katanya.

Pada masa yang sama, Bee Ying mencadangkan Kerajaan Negeri menetapkan dimensi penting dalam pelaksanaan Smart State.

“Ia supaya rakyat boleh mengukur pelaksanaan Smart Selangor bukan sahaja sekadar cakap kosong,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

PBT kutip 135,000 tan metrik sampah sebulan

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Secara purata hampir 135,000 tan metrik sampah diangkut pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap bulan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata jumlah itu turut dibantu dengan operasi sembilan tapak pelupusan sampah.

DNS 2016“Selangor mempunyai tiga tapak pelupusan sisa domestik, tiga tapak pelupusan sisa lengai dan tiga tapak pelupusan terbuka.

“Selain itu kita mempunyai satu ‘transfer station’, katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan.

Katanya, antara beberapa langkah diperkenalkan mengatasi pembuangan sampah termasuk daripada pihak tidak bertanggungjawab dengan mewujudkan Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Selangor.

“Di bawah enekmen ini, hukuman berat dikenakan contoh denda maksimum berkaitan berkaitan kesalahan antara RM10,000 hingga RM50,000 serta penjara enam bulan hingga lima tahun,” katanya.

Selain itu, PBT juga diminta mengenalpasti tapak pelupusan sisa binaan di lokasi paling sesuai kawasan masing-masing sebagai kemudahan dalam melupuskan sisa binaan serta industri.

EZY

Categories
SELANGOR

CGPA 3.75 boleh tukar jadi biasiswa

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berpeluang menukar status Pinjaman Selangor kepada biasiswa bagi yang memperolehi CGPA 3.75.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pelajar cemerlang berpeluang ditawarkan Skim Pinjaman Boleh Ubah jika mendapat keputusan baik bagi melayakkan mendapat pengurangan atau pengecualian bayaran balik (biasiswa).

DNS 2016“Pelajar mendapat CGPA 3.20 ia menjadi pinjaman boleh ubah kepada separa dan bagi pelajar mendapat keputusan CGPA 3.75 menjadi pinjaman boleh ubah sepenuhnya.

“Jumlah keseluruhan pelajar menerima pinjaman pelajaran dari 2009 hingga 2015 seramai 7,874 pelajar,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Manakala katanya, nilai pinjaman pelajaran diperuntukkan dalam tempoh 2009 hingga 2015 adalah sebanyak RM1,1 juta.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Titah Tuanku komprensif, buka ruang perbahasan lebih luas

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Titah ucapan perasmian oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah disifatkan sebagai ucapan komprehensif dengan mencakupi pelbagai aspek pembangunan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keadaan itu memberikan skop perbahasan lebih luas bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) membawa isu kepentingan pada persidangan kali ini.

DNS 2016“Titah ucapan Tuanku titah ucapan sangat komprehensif dan memberi ruang kepada Ahli Dewan Negeri untuk memulakan ruang perbahasan.

“Keadaan ini membantu Kerajaan Negeri untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat dan dengan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterbukaan ini.

“Kita akan mengharungi cabaran ekonomi semasa dengan berhati-hati dan saya yakin ADN menggunakan ruang perbahasan ini membantu Kerajaan Negeri mencatat pertumbuhan lebih baik,” kata Mohamed Azmin kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Titah Ucapan Perasmian Sultan Sharafuddin pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13, di sini.

Terdahulu pembukaan Persidangan Penggal keempat, DNS yang ke-13, Tahun 2016 yang dilangsungkan hari ini diadakan dengan penuh istiadat.

Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) dengan melakukan Pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama dan menyampaikan titah ucapan perasmian.

EZY

Categories
SELANGOR

Exco: Titah Tuanku gandakan motivasi majukan negeri, bela rakyat

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Exco Kerajaan Selangor menyifatkan titah perasmian DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dianggap motivasi bagi melipatgandakan usaha bekerja lebih keras memajukan negeri dan membela rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata titah Baginda Sultan turut mencerminkan keprihatinan Baginda Sultan terhadap usaha Kerajaan Negeri membangunkan negeri.

ISKANDAR SAMAD“Baginda Sultan amat berpuas hati dengan perjalanan dan usaha Kerajaan Negeri. Kami amat menghargai atas sokongan Baginda Sultan dan ini motivasi bagi melipatgandakan usaha memajukan negeri serta membela nasih rakyat,” kata Iskandar kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13, di sini, Tahun 2016 di sini, hari ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, beliau berusaha memastikan bekalan air di negeri itu sentiasa mencukupi seperti dititahkan Baginda Sultan.

Zaidy“Saya menjunjung kasih atas titah ucapan Tuanku. Saya juga mensyukuri apabila banyak yang Baginda Sultan berkenan terhadap pendekatan dan program Kerajaan Negeri.

“Baginda Sultan juga ada menitahkan supaya kita memfokuskan isu air dan berkenan atas rancangan dan tindakan Kerajaan Negeri sama ada diambil atau akan diambil.

“Kita melihat titah itu dengan teliti untuk kita lebih bekerja keras dan merancang lebih baik atas isu pembekalan air mentah dan air terawat sekaligus memastikan air mencukupi,” kata Zaidy pula.

Terdahulu pembukaan Persidangan Penggal keempat, DNS yang ke-13, Tahun 2016 yang dilangsungkan hari ini diadakan dengan penuh istiadat.

Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) dengan melakukan Pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama dan menyampaikan titah ucapan perasmian.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Perkenan Sultan kejayaan Kerajaan Negeri jadi pembakar semangat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dianggap pembakar semangat untuk kepimpinan Kerajaan Negeri berusaha lebih gigih, bertanggungjawab dan telus bagi menjamin prinsip integriti pentadbiran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ini berikutan Baginda Sultan menyatakan dalam titah ucapannya kejayaan Selangor terletak pada faktor kecekapan Kerajaan Negeri mengurus ekonomi dengan bertanggungjawab.

DNS 2016“Tuanku berkenan menegaskan kejayaan pengurusan ekonomi dan kewangan Selangor ini terletak di atas tindakan Kerajaan Negeri menjalankan pentadbiran negeri dengan bertanggungjawab, telus dan terbuka dan menjamin prinsip integriti dalam pentadbiran.

“Ini peringatan kepada semua pihak sama ada pihak eksekutif, anggota perkhidmatan awam dan juga Ahli Dewan Negeri (DNS) supaya menjaga amanah ini dengan baik bagi membangunkan Selangor dan rakyat,” kata Mohamed Azmin kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Titah Ucapan Perasmian Sultan Sharafuddin pada istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut menyambut titah Baginda Sultan yang mahu Kerajaan Negeri kekal memastikan kekayaan negeri disalurkan semula kepada rakyat melalui perbelanjaan pembangunan.

“Ini cabaran besar Kerajaan Negeri meningkatkan belanja pembangunan dan mengurangkan belanja mengurus kerana hal ini tidak dapat dilakukan di negeri lain tetapi Selangor sekali lagi mencatatkan kejayaan.

“Ini komitmen kita memastikan setiap khazanah negeri yang kaya ini dapat disalurkan semula kepada rakyat melalui belanja pembangunan dan akhirnya mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi,” katanya lagi.

Ketika mengulas isu industri pembinaan dan perumahan yang juga disentuh Sultan Sharafuddin, Mohamed Azmin menjelaskan Baginda Sultan menitahkan supaya Kerajaan Negeri mengambil langkah inovatif seperti dilaksanakan pada masa ini.

“Tuanku bertitah Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah lebih inovatif seperti contoh dititahkan Tuanku apabila Bank Negara Malaysia (BNM) memperketatkan kemudahan kredit dan ini menyebabkan ramai pembeli rumah tidak dapat pinjaman membeli rumah.

“Bagaimanapun Kerajaan Negeri proaktif berbincang dengan bank tempatan, bagaimana kita boleh menyediakan mekanisme baru lebih kreatif dan inovatif bagi mereka berpendapatan sederhana dan rendah dapat membiayai pembelian rumah,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Ambil iktibar kehancuran tamadun Rom akibat rasuah

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MAC: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj mengajak seluruh rakyat dan pemimpin mengambil iktibar kehancuran Empayar Rom akibat berleluasanya amalan rasuah.

Baginda Sultan dalam titah di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-13 mahu seluruh rakyat bersatu padu dan kekuatan perpaduan digerakkan berlandaskan nilai dan prinsip murni demi kedaulatan negeri dan kesejahteraan rakyat.

DNS 2016“Khazanah negara dianugerahkan Allah SWT pupus sekiranya pemimpin bergelumang dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan tamak haloba yang hanya memerah keringat rakyat.

“Hawa nafsu manusia tidak ada batasnya seperti dikatakan Mahatma Gandhi ‘The world has enough for everyone’s need, but not enough for everyone’s greed‘,” titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan juga mengajak rakyat mengambil kira sejarah lalu dari Ahli Sejarah, Edward Gibbon dalam karya agungnya ‘The Decline and Fall of the Roman Empire’.

Ia menceritakan bagaimana empayar Rom yang begitu besar, kuat dan gemilang boleh runtuh dan hancur akibat rasuah dan fitnah menjadi barah di kalangan pemimpin tertinggi ekoran gaya hidup bermewah mewah.

Baginda Sultan turut bersyukur dalam tempoh singkat selama 18 bulan itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan ahli Exco berjaya menggerakkan negeri dan rakyat bekerja berpasukan.

“Demi mempertahankan kedaulatan negeri dan menjaga kesejahteraan rakyat, pasukan ini berjaya memiliki kesatuan fikrah.

“Kesatuan ini menjadi pemangkin kepada kemakmuran negeri dan mengangkat maruah serta martabat rakyat beta,” titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan turut mahu anggota penjawat awam sentiasa berpegang teguh kepada piagam perkhidmatan awam dari pihak eksekutif bekerjasama secara objektif dan profesional.

“Beta berkenan semangat kerjasama di antara eksekutif, pegawai kerajaan dan rakyat diperkukuhkan untuk memajukan Selangor yang beta kasihi.

“Beta mendoakan semangat ini menjadi semakin kental supaya negeri dan rakyat terus maju, aman dan makmur,” titah Baginda Sultan.

EZY

Categories
SELANGOR

Jadikan Selangor Smart State terkemuka dunia

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MAC: Selaras gagasan Selangor menuju Smart State, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj mahu Kerajaan Negeri lebih responsif dan efisien dalam menawarkan perkhidmatan.

Baginda Sultan bertitah Selangor perlu menggunakan penyelesaian teknologi inovatif kepada tuntutan moden untuk kemudahan rakyat.

DNS 2016“Beta mahu negeri ini menjadi salah sebuah ‘Smart State’ terkemuka di dunia.

“Sebagai negeri paling maju, Kerajaan Negeri perlu bersedia menghadapi cabaran dunia yang rumit.

“Perkembangan terbaru seperti internet of things, big data, advanced analytics dan media sosial merubah asas perjalanan dunia,” titah Baginda Sultan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13.

Sultan Selangor turut menasihatkan Kerajaan Negeri tidak sekadar mengguna pakai perspektif tempatan tetapi juga perspektif serantau dalam persaingan masa kini.

“Smart Selangor bukan berkenaan teknologi dan infrastruktur tetapi mengenai isu paling kritikal dan keperluan harian seperti jenayah, pengurusan sampah dan sisa pepejal, pengangkutan, lalu lintas, perkhidmatan kerajaan, pendidikan mahupun kesihatan,” titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan percaya gagasan Smart Selangor itu dapat diterjemahkan segera sekaligus melonjakkan mutu kehidupan rakyat, peluang pekerjaan dan kemudahan perniagaan serta meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai destinasi bakat dan pelaburan melalui ‘Smart Branding’.

“Beta percaya rakyat Selangor amat teruja untuk menyertai perjalanan menuju Smart Selangor. Maka, ia perlu dimulakan dari sekarang,” titah Baginda Sultan.

EZY

Categories
SELANGOR

Bijak urus sumber bekalan air demi manfaat rakyat

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 MAC : Pengurusan air Selangor perlu diurus secara konsisten dan berkesan bagi memastikan sumber air mentah mencukupi, titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda Sultan bertitah, pentadbiran negeri perlu mengambil langkah proaktif supaya sumber air dapat dikekalkan ke arah jaminan kesejahteraan rakyat.

DNS 2016“Beta berkenan menitahkan supaya Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengurus sumber air Selangor secara holistik ke arah kesejahteraan sejagat.

“Ini penting bagi memastikan sumber air mentah mencukupi di semua empangan supaya bekalan air bersih bagi kegunaan rumah dan industri tidak tergendala,” titah Baginda Sultan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13, di sini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri komited menyediakan pelan perancangan jangka panjang bagi menjamin bekalan air mencukupi.

Ini termasuk Projek Mitigasi 2 yang siap dan dijangka mampu menyalurkan bekalan air di seluruh negeri.

Bahkan, Kerajaan Negeri juga kini konsisten menyediakan pelan jangka panjang dan kempen kesedaran demi manfaat rakyat pada masa depan.

Rakyat Selangor kini menikmati 20 meter padu perkhidmatan air percuma yang memberi tumpuan kepada golongan sasaran termasuk pengguna berpendapatan rendah.

EZY

Categories
SELANGOR

Sultan gembira usaha Kerajaan Negeri bantu rakyat

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MAC: Pelaksanaan inisiatif kepada rakyat antaranya bas dan Wifi Smart Selangor serta program HIJRAH mendapat perkenan
DYMM Sultan Selangor.

Malah, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj gembira dengan langkah yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri itu.

Dalam titah Baginda Sultan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13 itu, Baginda Sultan berharap agar program terbabit diteruskan untuk membawa lebih ramai rakyat keluar daripada kemiskinan.

DNS 2016“Beta berkenan Kerajaan Negeri meluluskan dana sebanyak RM100 juta bagi program HIJRAH mengupayakan perniagaan.

“Lebih daripada 18,000 peniaga mendapat manfaat yang membabitkan pembiayaan sebanyak RM92 juta.

“Rakyat beta bergembira dengan langkah Kerajaan Negeri meluluskan RM10 juta untuk memperluaskan perkhidmatan Bas Smart Selangor ke kawasan luar bandar,” titah Baginda Sultan.

Sehingga kini, terdapat 41 buah Bas Smart Selangor yang beroperasi dalam kawasan perbandaran dengan mempunyai kemudahan mesra orang kurang upaya  (OKU) di Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Ampang Jaya, Kajang dan Petaling Jaya.

Baginda Sultan turut menzahirkan kegembiraan apabila Kerajaan Negeri prihatin dengan mengecualikan cukai taksiran 2016 bagi pemilik rumah kos rendah dan pengecualian bayaran lesen bagi peniaga gerai dan pasar.

“Beta sangat gembira dengan usaha ini. Sebanyak RM64 juta dinikmati rakyat beta dari pengecualian ini,” titah Baginda Sultan.

Titah Baginda Sultan lagi, pelaksanaan wifi bukan sahaja memberi impak meningkatkan kepunyaan digital tetapi juga membantu usahawan memajukan perniagaan melalui e-dagang yang dimajukan oleh Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC).

“Pelaksanaan semua inisiatif memudahkan rakyat ini sememangnya menepati seruan berlaku adil dan berbuat ihsan.

“Prinsip keadilan dalam pengagihan ini amat penting supaya kekayaan negeri dapat dinikmati sekalian rakyat beta dan kekayaan tidak berlegar di kalangan golongan tertentu sahaja,” titah Baginda Sultan.

EZY