Categories
KENYATAAN MEDIA

Selamatkan Malaysia

Oleh: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Saya telah menerima pesanan dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya semalam meminta saya mewakili Parti Keadilan Rakyat dalam majlis ini dan Presiden Parti,  YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, telah memaklumkan kepada Majlis Pimpinan Pusat tentang kehadiran saya sebagai wakil “dalam semangat bersama dalam satu persefahaman bersama untuk membawa perubahan dalam negara.”

Saya juga bersetuju dengan pendirian masyarakat madani – civil society leaders – masyarakat perusahaan – industry leaders – dan anak watan prihatin yang cintakan negara agar bersama dalam gerakan baru ini.

Saya yakin petang ini adalah langkah yang paling patriotik. Apakah langkah yang lebih patriotik di kala ini dari menggembleng kekuatan rakyat untuk menyelamatkan Malaysia, mengembalikan maruah negara yang tercemar di mata dunia dan memperkukuh kebebasan, kewibawaan dan integriti institusi negara ?

Kita tidak boleh berpeluk tubuh tatkala negara yang kita cintai dihancurkan secara sistematik melalui tindakan sewenang-wenang dan jenayah akibat daripada pemusatan kuasa mutlak ditangan seorang individu di Putrajaya.

Sebagai wakil rakyat, saya mempunyai tanggungjawab moral untuk mengambil inisiatif dan mendukung segala usaha untuk memansuhkan sebarang undang-undang zalim dan menindas khususnya undang-undang baru yang menghakis hak asasi rakyat yang dilindungi oleh Perlembagaan.

Kita perlu membatalkan perjanjian-perjanjian yang mengabaikan dan melanggari keperluan sosial dan ekonomi rakyat dan juga mencerobohi kedaulatan negara. Kecurangan dalam urustadbir dan skandal kewangan mega seperti 1MDB perlu dibanteras.

Majoriti rakyat telah mengundi untuk perubahan dalam PRU13. Tetapi demokrasi yang tempang telah menghalang aspirasi majoriti rakyat dari diterjemahkan kepada dasar-dasar reformasi. Akibatnya kerajaan minoriti sekarang semakin rakus merompak kekayaan negara untuk diri sendiri.

Justeru, untuk menjadikan suara rakyat benar-benar suara keramat, demokrasi perlu dipulihkan, pilihan raya perlu bebas dan adil dan media perlu dibebaskan.

Saya dan teman-teman seperjuangan masih muda dalam politik. Kami melalui zaman getir perjuangan reformasi, turun naik mahkamah dan pemimpin kami Dato’ Seri Anwar masih terlantar di belakang tembok penjara. Tetapi semua pengorbanan ini kami lakukan semata-mata demi rakyat dan negara. Kami tidak bermusuh dengan sesiapa, individu atau parti. Perjuangan ini adalah perjuangan rakyat yang tidak seharusnya, dan tidak akan boleh dibolot oleh sesiapa. Maka apabila ada mana-mana pihak yang ingin bersama perjuangan reformasi dan menentang perasuah, secara individu atau kumpulan, kamilah yang akan menghulurkan salam perjuangan.

Saya ingin mengulangi seruan buat semua rakyat tanpa mengira parti politik, kaum, kepercayaan dan agama untuk bersama kerana sesungguhnya masanya telah tiba bagi semua warga yang peduli untuk bertindak dan mencipta perubahan hakiki dan bermakna. Saya yakin Deklarasi Rakyat yang ditandatangani petang ini pasti akan merobah landskap politik negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published.