Categories
SELANGOR

Smart Selangor: Perkhidmatan berpaksikan rakyat

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 MAC: Perkhidmatan berpaksikan rakyat menjadi tunjang utama gagasan Smart Selangor ke arah  ‘Citizen Centric State’ yang didorong falsafah tadbir urus berasaskan pintar atau ‘intelligent technologies’.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata fokus utama adalah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan menggunakan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Katanya, antara elemen yang diberi penekanan adalah sistem pengangkutan, trafik, keselamatan, pembanterasan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang, pengurusan sisa pepejal, sumber air dan tenaga.

AZMIN DNS 2016“Antara penyelesaian segera yang menjadi aplikasi program Smart Selangor ialah ianya dapat berinteraksi secara langsung dengan rakyat, penggunaan pemantauan aduan yang berkesan, keperluan dan kawasan yang memerlukan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya yang menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada masa yang sama, Mohamed Azmin berkata Smart Selangor akan membantu pencarian sumber lebih berkesan dalam membuat ketepatan unjuran rancangan belanjawan.

Katanya, ia juga memupuk semangat perkongsian antara rakyat dan kerajaan mengenai keutamaan semua isu bandar dan desa dalam menangani cabaran demografi khususnya sosio ekonomi.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja menjawab keperluan dan permasalahan rakyat tetapi juga memberi tindak balas interaktif dengan cara yang tepat, berkesan dan proaktif melalui penyelesaian pintar bersepadu.

“Fokus Kerajaan Negeri adalah rakyat. Masalah kehidupan seharian mereka merangkumi kualiti kehidupan, pertumbuhan ekonomi, negeri yang berdaya saing atau kelestarian alam sekitar serta pengurusan kewangan,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.