Categories
KENYATAAN MEDIA

Adenan Satem tak hormat kedudukan MB dan KM

OLEH : MOHAMED AZMIN ALI

Ketua Menteri Sarawak berkata beliau “bersedia mempertimbang untuk melanjutkan tempoh kehadiran Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang di sini” jika menerima permohonan rasmi.

Kenyataan ini amat dikesali dan menunjukkan sikap tidak hormat terang-terangan Tan Sri Adenan Satem terhadap kedudukan Menteri Besar dan Ketua Menteri.

PILIHANRAYA SARAWAKSaya maklum yang sekarang ini merupakan musim pilihan raya. Maka dalam politik, seorang ketua perlu melakukan apa-apa jua tindakan yang dibenarkan undang-undang bagi memastikan kemenangan partinya.

Namun, pendirian bongkak lagi angkuh Tan Sri Adnan Satem ini melangkaui batas dan menzahirkan wajah sebenarnya sebagai pemimpin yang menggunakan kuasa eksekutifnya secara melulu.

Mesej saya kepada Tan Sri Adenan, jika inilah caranya beliau menegaskan pendiriannya tentang autonomi Sarawak, beliau nampaknya tidak lagi berpijak di bumi yang nyata.

Jika mahu menyatakan pendirian tentang hak autonomi Sarawak, Tan Sri Adenan sewajarnya menumpukan usaha menuntut kembali hak dan keistimewaan rakyat Sarawak yang sewajarnya diterima mereka dari Putrajaya.

Beliau juga perlu memastikan rakyat Sarawak tidak lagi ditindas dalam apa-apa jua cara sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

Autonomi bermaksud mengupayakan rakyat Sarawak untuk membuat keputusan tentang perkara yang terbaik buat mereka dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

Dan ia tentu sekali termasuk kebebasan daripada eksploitasi pemimpin politik tidak kiralah dari Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.

Hakikatnya, Sarawak telah terlalu lama bertolak ansur tentang autonomi mereka dan menggadaikan rakyat Sarawak di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Tindakan menghalang atau memendekkan tempoh kemasukan saya dan rakan-rakan dari KEADILAN dan DAP tidak akan menyucikan noda dan salahlaku pemimpin-pemimpin BN.

25 orang Ahli Parlimen mereka menyokong GST di Parlimen, BN Sarawak melakukan sedikit sahaja usaha dalam menghapuskan terus polisi kabotaj, dan mereka juga telah lama gagal mendapatkan peruntukan mencukup dari Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki sistem pendidikan dan kesihatan luar bandar.

Isu-isu ini amat dekat di hati rakyat Sarawak dan kerajaan yang mendakwa mengekalkan autonomi Sarawak perlu meletakkan keutamaan tinggi kepada perkara ini.

BN Sarawak wajar menjauhi sikap hidung tinggi dalam menghalang dan mengekang kemasukan ke negeri itu atas alasan mengekalkan autonomi.

Rakyat Sarawak layak melalui proses pilihan raya bersih dan adil. Justeru, perkara ini meliputi hak mereka memilih sesiapa yang mereka percaya, cara serta personaliti yang akan berkempen di sana – tanpa sebarang halangan mahupun rintangan.

Diskriminasi sewenang-wenangnya terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang Persekutuan dari Semenanjung dan sikap pilih kasih terang-terangan terhadap pemimpin UMNO-BN ini satu pencabulan terhadap hak-hak pengundi negeri Sarawak.

Rakyat Sarawak pastinya menaruh harapan bahawa satu persaingan yang adil akan terlaksana dalam pilihan raya ini.
* DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI adalah Timbalan Presiden KEADILAN dan MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.