Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat bimbing ADN Muda, beri peluang dekati masyarakat

SHAH ALAM, 27 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga akan mendidik ADN Muda kawasan itu berhubung pembentukan dasar serta penyelesaian masalah rakyat.

Rodziah Ismail berkata Maizatul Akasha Meor Mohamed Hafiz juga dibimbing meneliti sebarang isu dan memberinya peluang mengikuti program kebajikan bagi menimba pengetahuan.

“Saya turut berkongsi pengalaman sepanjang menjalankan amanah rakyat dan pandangan tentang kemajuan telah dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga,” katanya menerusi Facebook.

EXCO perumahan itu berkata beliau gembira dan teruja melihat aksi Maizatul ketika Program ADN Muda Selangor Virtual baru-baru ini.

“Saya mengalu-alukan kehadirannya untuk bersama merasai bekerja sebagai wakil rakyat DUN Batu Tiga dan yakini jika digilap dengan nilai yang baik, dia pasti akan melangkah jauh,” katanya.

Pada program dijalankan awal bulan ini, Maizatul, 19, dipilih sebagai pembahas terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM500.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Muda disaran berkhidmat di PKM, rasai tugas sebenar wakil rakyat

SHAH ALAM, 4 OKT: Pembahas program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda disaran mengambil peluang berbakti kepada masyarakat bagi merasai tanggungjawab sebenar wakil rakyat.

Speaker program Elizabeth Wong berkata peserta boleh menghubungi mana-mana ADN atau ahli parlimen Selangor untuk menawarkan khidmat mereka di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM).

“Kita mahu pastikan pengalaman ditimba setiap peserta ADN Muda melalui program ini tidak berhenti begitu sahaja sebaliknya diteruskan dengan membuat kerja amal dan memberi perkhidmatan terbaik terhadap rakyat.

“Walaupun mereka (peserta) pandai membuat perbahasan tetapi apa yang lebih penting adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat. Kedua-dua aspek ini perlu diseimbang dan diutamakan,” katanya pada Program ADN Muda Virtual semalam.

Elizabeth yang juga ADN Bukit Lanjan kagum dengan hujah dan pandangan dikemukakan peserta malah sedia menggunakan idea sesetangah daripada mereka untuk dibahas pada sidang DNS November depan.

“Ini membuktikan anak muda di Selangor sememangnya memiliki keyakinan dan pengetahuan luas dalam menyelesaikan masalah rakyat setempat hasil kajian cukup teliti.

“Saya juga percaya mereka sedia untuk mengambil kerusi kami (ADN) Selangor pada masa hadapan, jadi syabas diucapkan kepada semua peserta yang sudah mengambil bahagian dalam program ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tawar pendidikan berniaga dalam talian kepada suri rumah, ibu tunggal

SHAH ALAM, 4 OKT: Suri rumah, ibu tunggal dan wanita tidak bekerja di negeri ini wajar diberi pendidikan perniagaan dalam talian bagi meningkatkan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Dusun Tua Muhammad Zakir Abdul Razak berkata pendidikan meliputi aspek pengurusan media, iklan Facebook (FB Ads) dan perkhidmatan pelanggan.

“Perniagaan dalam talian memerlukan kos minimum namun kelemahannya adalah pengurusan media dan hebahan yang kurang berjaya walaupun ratusan peluang terpampang di hadapan mata.

“Jadi, idea saya adalah kita kenal pasti produk yang mahu diniagakan dan setelah itu baru mereka diberikan pendidikan berkaitan perniagaan dalam talian,” katanya ketika membahaskan usul Kluster Ekonomi pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor semalam.

Sementara itu, ADN Muda Dengkil Muhammad Faid Irshad Izam berkata usaha merapatkan jurang kemiskinan perlu dilaksanakan dengan menyediakan subsidi penghantaran barang antara negeri kepada mereka yang menceburi bidang itu.

“Kos penghantaran bukanlah murah dan dianggap beban kepada peniaga baharu mahupun pelanggan, malah (penghantaran) dalam negeri sahaja sudah menelan kos sebanyak RM7 hingga RM10 bagi barangan bawah satu kilogram (kg).

“Jika berat semakin naik, maka kos penghantaran terpaksa dinaikkan, akhirnya pelanggan akan mengalihkan perhatian kepada peniaga yang menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma,” katanya.

ADN Muda Sungai Panjang Muhamad Shukri Saad pula mahu Selangor memperkenalkan model ekonomi berlandas norma baharu bagi mengatasi kelembapan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri boleh kenal pasti sektor ekonomi kurang terjejas akibat wabak itu untuk diangkat sebagai industri tumpuan selepas ini untuk membuka banyak lagi peluang kerjaya dengan membekalkan bimbingan kepada graduan keluarga pendapatan rendah (B40),” katanya.

Bagi ADN Muda Batu Tiga Maizatul Akasha Meor Mohamed Hafiz, beliau mencadangkan supaya program dan bimbingan keusahawanan diwujudkan di sekolah bagi mendedahkan remaja dan belia kepada perniagaan.

Manakala, ADN Muda Kuang Manisalaxshmi Balachandran berharap agensi atau jawatankuasa ditubuh bagi membimbing golongan tercicir mendapat bantuan dengan mengadakan kelas percuma sebagai pendedahan awal perniagaan dalam talian di luar bandar.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Timbalan speaker puji idea ADN Muda, ada potensi dibawa ke sidang DNS

SHAH ALAM, 4 OKT: Idea dilontarkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda sangat menakjubkan dan berpotensi diketengah wakil rakyat ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), kata timbalan speakernya .

Hasnul Baharuddin berkata mereka bijak mencari dan mengeluarkan fakta khususnya berkaitan isu semasa serta menjadikan cara penyampaian lebih menarik.

“Kualiti (penyampaian) peserta ADN Muda cukup memberangsangkan malah mereka berani memberikan hujah yang baharu dan bernas dengan menggunakan kemahiran serta ilmu dimiliki.

“Saya percaya, usul ini sedikit sebanyak membantu ADN Selangor sedia ada untuk mencari jalan penyelesaian tuntas terhadap isu mendesak di negeri ini seperti (isu) air,” katanya ditemui selepas Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex semalam.

Beliau yang juga ADN Morib berkata individu terlibat juga wajar diberi ruang dan peluang untuk merasai pengalaman berbahas di DNS pada masa akan datang.

“Program ini sebenarnya dimulakan sejak 2014 lagi dan kali ini kita menggunakan pendekatan secara maya bagi mengurangkan penglibatan ramai pihak susulan pandemik Covid-19.

“Selepas ini kita akan cuba berikan masa sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan kepada peserta untuk membuat persiapan mengikut isu semasa,” katanya.

Categories
SELANGOR

DNS maya: ADN Muda Sentosa, Batu Tiga dipilih pembahas terbaik

SHAH ALAM, 3 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Sentosa, Muhammad Mahdiyen Nafiz Mohd Azizi dan ADN Muda Batu Tiga Maizatul Akasha Meor Mohamed Hafiz dipilih sebagai pembahas terbaik program ADN Muda Virtual.

Muhammad Mahdiyen Nafiz, 15,  yang tampil sebagai belia termuda dalam program ini mengungguli sesi perbahasan Kluster Perkhidmatan Air manakala Maizatul Akasha memenangi sesi Kluster Ekonomi yang membolehkan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Seksyen 32 Shah Alam itu berkata beliau tidak menyangka dipilih sebagai pemenang namun bersyukur dapat mempelajari banyak perkara baharu terutama mengenai perjalanan Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Niat saya adalah menyuarakan pendapat dengan bertanya kepada jiran-jiran dan kenalan berkenaan apa yang perlu kita ketengahkan supaya ahli politik dengar (masalah rakyat),” katanya.

ADN Muda Sentosa, Muhammad Mahdiyen Nafiz Mohd Azizi ketika Sesi Perbahasan Program ADN Muda Secara Maya di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada sesi pagi perbahasan, beliau mencadangkan pembinaan tangki air kecemasan di kawasan perumahan dan pengunaan teknologi khas untuk mengesan pencemaran sumber air.

Sementara itu, Maizatul Akasha,19, pula berkata melalui persidangan ini, beliau dapat mengetahui lebih banyak program dilaksanakan Kerajaan Selangor untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Selain dapat rasai suasana duduk di dalam dewan (Negeri Selangor) walaupun bukan secara fizikal, saya juga  dapat tahu (sebenarnya) banyak inisiatif yang Kerajaan Negeri lakukan untuk rakyat,” katanya.

Categories
SELANGOR

ADN Muda Sentosa cadang bina tangki air kecemasan

SHAH ALAM, 3 OKT: Pembinaan tangki kecemasan boleh membantu penduduk untuk terus mendapat bekalan sekiranya berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Sentosa cadangan ini boleh dilaksanakan di kawasan perumahan baharu atau lokasi khas bagi perumahan sedia ada.

“Dengan langkah ini penduduk tidak lagi perlu mengangkat baldi atau tong air untuk mendapatkan bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kluster Perkhidmatan Air pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Selain itu, Muhammad Mahdiyen Nafiz, 15, yang merupakan belia termuda menyertai program itu mencadangkan penggunaan teknologi khas seperti penggera kecemasan untuk mengesan pencemaran sumber air.

Jelasnya, penggunaan teknologi penggera kecemasan ini mampu memberikan kesan positif seiring dengan status Selangor sebagai sebuah negeri maju.

Categories
SELANGOR

ADN Muda Seri Serdang saran kekal kawasan tadahan hujan

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri perlu mengekalkan kawasan tadahan hujan yang boleh membekalkan sumber air mentah jika berlaku henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Seri Serdang berkata pembersihan tanah untuk pembangunan dan pertanian memberi tekanan kepada kawasan tadahan walaupun hujan serta pembenihan awan dilakukan.

“Saya mencadangkan supaya pembersihan tanah untuk pembangunan dan pertanian mestilah dielakkan 10 kilometer (KM) dari kawasan tadahan air hujan.

“Perkara ini penting bagi menjaga kawasan tadahan air daripada musnah,” kata Eshwarii Surendran ketika membahaskan usul Kluster Perkhidmatan Air pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjelaskan kawasan itu penting untuk membekalkan air bersih kepada empangan sebelum disalurkan ke rumah dan premis perniagaan.

Selain itu, Eshwarii menggesa kadar denda ditingkatkan sekurang-kurangnya RM100,000 terhadap pesalah atau pemilik kilang yang mencemarkan sumber air.

Menurutnya, langkah ini penting supaya pencemaran air dan bau di LRA dapat ditangani serta krisis bekalan boleh dielakkan.

Categories
SELANGOR

ADN Muda Selangor kembali, peluang golongan muda jadi ‘wakil rakyat’

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 APR: Dewan Negeri Selangor membuka peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi institut pengajian tinggi seluruh negeri berumur antara 18 hingga 24 tahun menyertai program ADN Muda Selangor, pada 25 Mei ini.

Program itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan prosuder dan proses penggubalan undang-undang di peringkat negeri.

Peserta diberi pendedahan mengalami prosising sebenar Dewan Negeri sebagai Ahli Dewan Negeri mewakili kawasan masing-masing.

Adun Muda di Dewan Annex (5)Prosiding tersebut dipengerusikan Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan Ahli Dewan Negeri Bangi, Shafie Ngah selaku Timbalan Speaker.

Pada masa sama, peserta juga diberi peluang menyuarakan pendapat mereka berhubung polisi kerajaan membabitkan isu golongan muda.

Penganjuran diharap mampu melahirkan pemimpin berkaliber dan bertangungjawab terhadap isu setempat di seluruh negeri.

Adun Muda di Dewan Annex (3)Permohonan dibuka mulai 20 April sehingga 10 Mei ini dan sebarang maklumat lanjut mengenai program boleh didapati menerusi laman sesawang, dewan.selangor.gov.my.

Sebelum ini, penganjuran program ADN Muda Selangor yang dilaksanakan sejak 2013 mendapat sambutan baik daripada mahasiswa seluruh negeri.

ADN muda adalah program khas di bawah Dewan Negeri Selangor ke arah melahirkan mahasiswa dan mahasiswi berfikiran kritis terhadap polisi pentadbiran Kerajaan Negeri.

-NFN-