Categories
NASIONAL

MAB: Tekanan ‘politik’ faktor Mueller tarik diri

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 APR: Kekangan dan campur tangan politik dipercayai antara faktor eksekutif tertinggi Malaysia Airlines Berhad (MAB) menamatkan awal tempoh perkhidmatannya.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara, Dr Rosli Yaakob, berkata kuasa politik membataskan kebebasan membuat dan melaksanakan keputusan penting dalam syarikat penerbangan itu.

Christoph-MuellerKatanya, keadaan itu menyebabkan pelan tindakan menyelamatkan MAB terganggu, terbantut serta sukar direalisasikan.

“MAB dipunyai Kerajaan Persekutuan, jadi ia tidak boleh lari daripada campur tangan politik.

“Saya kira itu menghadkan kebebasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) menyempurnakan tugasannya dalam mengambalikan reputasi dan prestij MAB,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, MAB dalam satu kenyataan memaklumkan CEO syarikat itu, Christoph Mueller akan meninggalkan syarikat itu pada September ini walaupun mengikat kontrak untuk tempoh tiga tahun.

rosliMula menerajui MAB pada Mei tahun lalu, Mueller didakwa mengambil keputusan itu kerana ‘perubahan keadaan peribadinya’.

Rosli berkata, Mueller juga kemungkinan menghadapi cabaran getir dalam menjayakan penstrukturan semula syarikat yang dulunya dikenali sebagai Malaysia Airlines (MAS) itu.

“Sesiapa juga yang berada di puncak MAB pasti berdepan kerja sulit mengukuhkan kembali kewangan MAS.

“Apalagi untuk mengembalikan reputasi MAB yang terjejas teruk ekoran kemalangan dua pesawatnya,” katanya.

Pada Mac 2014, pesawat MH370 dilaporkan hilang dan sehingga kini gagal ditemui sementara pada Julai tahun sama, pesawat MH17 pula ditembak jatuh di Ukraine.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.