Categories
NASIONAL

Dato’ Mansor pemimpin Pakatan terbaru dihalang masuk Sarawak

OLEH : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 APR: Naib Presiden KEADILAN, Dato’ Mansor Othman dihalang memasuki Sarawak apabila ditahan di Pejabat Imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuching, pada jam 9.10 pagi tadi.

Menerusi aplikasi WhatApp, beliau memaklumkan dirinya dihalang masuk atas arahan atasan dan kini sedang menanti penerbangan untuk dihantar pulang.

mansor othman“Mereka sedang cari penerbangan untuk hantar saya pulang,” katanya ringkas.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menjadi pemimpin Pakatan terbaru dihalang memasuki bumi kenyalang selepas beberapa pemimpin Pakatan lain sebelum ini.

Antara pemimpin Pakatan itu adalah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Exco Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga Pengarah Strategi KEADILAN ,Sim Tze Tzin dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Terdahulu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan larangan terhadap pemimpin Pakatan memasuki Sarawak sebagai amat mendukacitakan.

Katanya, demokrasi sihat menuntut pertandingan politik adil dan sama rata dengan mewajibkan parti politik pihak pemerintah juga pembangkang diberi peluang sama bertemu pengundi serta menjalankan aktiviti politik sah mengikut undang-undang.

PILIHANRAYA SARAWAKJusteru, Azizah menggesa pentadbiran Sarawak di bawah Tan Sri Adenan Satim menghentikan amalan menghalang ahli politik khususnya Pakatan melakukan kerja politik.

“Saya berharap Adenan bersikap adil dan terbuka serta membenarkan kami masuk untuk melakukan kerja politik yang dibenarkan undang-undang dan Perlembagaan. Marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik buat masa depan rakyat Sarawak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.