Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

HIJRAH-kariah masjid jalin kerjasama tingkat ekonomi

SHAH ALAM, 25 JUL: Hijrah Selangor (HIJRAH) melebarkan ‘sayapnya’ apabila menjalinkan kerjasama dengan kariah masjid bagi membolehkan ekonomi kelompok berkenaan terus ditingkatkan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mansor Othman berkata, bagi menyahut permintaan golongan yang belum berniaga, Skim ‘Zero To Hero’ diperkenalkan dan salah satu golongan sasarnya adalah kariah masjid.

Katanya, institusi agama itu dipilih berdasarkan kepada fungsinya yang tidak terhad untuk tujuan ibadat semata-mata.

“Sebaliknya pada zaman Rasulullah SAW, masjid berperanan sebagai pusat pentadbiran dan kegiatan ekonomi.

“Oleh kerana itu, kita melihat masjid adalah sebagai perantaraan bagi menyalurkan informasi yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Taklimat Perdana Masjid Peringkat Daerah dan Majlis Menandatangani Surat Kerjasama Hijrah dan Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC) di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Hadir merasmikan program berkenaan ialah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Turut sama, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Mansor berkata, masjid dari daerah Petaling dan Gombak dipilih sebagai perintis dalam menyebarkan maklumat selain mengambil idea baru dari jawatankuasa masjid.

Katanya, HIJRAH yakin dapat membantu bakal usahawan dari kalangan anak kariah yang ingin menjana ekonomi dengan menjadikan syarikat peneraju yang dilantik sebagai pembimbing.

“Hari ini, HIJRAH mengadakan taklimat bersama 126 wakil kariah masjid. Ia akan menjadikan titik permulaan bagi menaiktaraf kariah masjid dalam menjana ekonomi serta dapat memberi lebih motivasi agar mereka ini menjadi tunggak dalam mengimarahkan masjid di kariah masing-masing.

“Perancangan dan penelitian telah dibuat dan kita akan mengumpulkan kariah masjid yang memerlukan sokongan dan bantuan Kerajaan Negeri melalui HIJRAH,” katanya.

Sehingga kini, HIJRAH berjaya membantu lebih dari 50,000 peserta meningkatkan pendapatan serta melebarkan lagi golongan menengah di negeri ini.

Categories
SELANGOR

Kursus NLP beri manfaat kepada peserta HIJRAH

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 6 APR: Kursus ‘Neuro-Linguistic Programming’ (NLP) yang julung kali dianjurkan Hijrah Selangor (HIJRAH) ternyata memberi manfaat kepada 44 peserta dalam kalangan usahawan baru.

Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Mansor Othman berkata, kursus tiga hari bermula 4 hingga 6 April itu memberikan perkongsian cukup baik dan menarik sebagai persediaan peserta menhadapai cabaran dalam perniagaan di masa hadapan.

“Program dibimbing di bawah Smart Excel Consultant ini, menawarkan pendekatan melalui ‘neuro-linguistic programming’ (NLP), iaitu cara pendekatan dari segi berkomunikasi, pembangunan personal diri dan psikoterapi.

“Kebanyakan peserta juga terdiri daripada mereka yang tiada pengalaman atau ilmu dalam bidang ini. Saya berharap peserta dapat menggunakannya sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kursus NLP (Mentoring) Syarikat Peneraju dan Usahawan HIJRAH dengan kerjasama Kumpulan Perangsang Selangor di Hotel Summit, USJ hari ini.

Pada masa sama, Mansor berkata, kursus itu mengutamakan peserta yang belum lagi memulakan perniagaan namun mempunyai idea atau produk yang ingin dijual dan dipromosikan.

“Kami mensasarkan mahasiswa, ibu tunggal, belia dan golongan berpendapatan rendah untuk menyertai program ini supaya tampil ke hadapan.

“Ia sekali gus dapat memberi galakan kepada mereka untuk sama-sama diberi peluang bagi meningkatkan kemajuan diri,” katanya sambil menambah terdapat banyak kesan positif diterima daripada peserta HIJRAH sendiri.

Mansor berkata, antara perubahan berkenaan adalah ramai peserta yang berjaya dan keluar dari kawasan mereka serta dapat memasarkan produk luar dari kawasan Selangor dan pasaran luar.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

HIJRAH cadang naik kadar pinjaman kepada RM100,000

OLEH SABIRAH AZIZ

SUBANG JAYA, 6 APR: Hijrah Selangor (HIJRAH) bercadang menaikkan had pinjaman mikrokredit daripada RM50,000 kepada RM100,000 buat pemohon yang layak.

Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Mansor Othman berkata, pihaknya menghantar cadangan berkenaan kepada Kerajaan Negeri supaya dipertimbangkan bagi membantu lebih ramai usahawan memulakan perniagaan.

“Ia juga bagi membantu syarikat pemaju berkembang lebih maju dalam bidang perniagaan diceburi.

“Perkara ini ekoran kami menerima sambutan amat menggalakkan daripada peminjam. Ia termasuklah peratusan kadar bayaran balik pinjaman yang memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus NLP (Mentoring) Syarikat Peneraju dan Usahawan HIJRAH dengan kerjasama Kumpulan Perangsang Selangor di Hotel Summit, USJ hari ini.

Katanya, melalui program HIJRAH, peserta bukan hanya diberikan pinjaman malahan turut dibantu daripada pelbagai sudut.

“Justeru itu, kami melantik beberapa syarikat peneraju untuk memberikan bimbingan supaya dapat meluaskan landasan perniagaan sekali gus memperkenalkan produk mereka ke pasaran,” katanya.

Kursus yang berlangsung tiga hari itu membabitkan 16 mentor dan 44 mentee daripada pelbagai golongan.

Categories
NASIONAL

Dato’ Mansor pemimpin Pakatan terbaru dihalang masuk Sarawak

OLEH : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 APR: Naib Presiden KEADILAN, Dato’ Mansor Othman dihalang memasuki Sarawak apabila ditahan di Pejabat Imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuching, pada jam 9.10 pagi tadi.

Menerusi aplikasi WhatApp, beliau memaklumkan dirinya dihalang masuk atas arahan atasan dan kini sedang menanti penerbangan untuk dihantar pulang.

mansor othman“Mereka sedang cari penerbangan untuk hantar saya pulang,” katanya ringkas.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menjadi pemimpin Pakatan terbaru dihalang memasuki bumi kenyalang selepas beberapa pemimpin Pakatan lain sebelum ini.

Antara pemimpin Pakatan itu adalah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Exco Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga Pengarah Strategi KEADILAN ,Sim Tze Tzin dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Terdahulu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan larangan terhadap pemimpin Pakatan memasuki Sarawak sebagai amat mendukacitakan.

Katanya, demokrasi sihat menuntut pertandingan politik adil dan sama rata dengan mewajibkan parti politik pihak pemerintah juga pembangkang diberi peluang sama bertemu pengundi serta menjalankan aktiviti politik sah mengikut undang-undang.

PILIHANRAYA SARAWAKJusteru, Azizah menggesa pentadbiran Sarawak di bawah Tan Sri Adenan Satim menghentikan amalan menghalang ahli politik khususnya Pakatan melakukan kerja politik.

“Saya berharap Adenan bersikap adil dan terbuka serta membenarkan kami masuk untuk melakukan kerja politik yang dibenarkan undang-undang dan Perlembagaan. Marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik buat masa depan rakyat Sarawak,” katanya.