OLEH : NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 4 APR: Ketidakhadiran Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi pada Mesyuarat Petugas Khas Denggi anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan isu ekoran mesyuarat itu hanya melibatkan peringkat pegawai.
Dr Daroyah berkata, selain beliau, mesyuarat dipengerusikan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan itu juga tidak dihadiri exco negeri lain.
“Mesyuarat itu dihadiri Setiausaha Kanan Exco dan Pegawai saya atas permintaan saya dan turut dijemput wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan sembilan daripada tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata Daroyah pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Katanya tujuh PBT itu adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias mendakwa Dr Daroyah gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan khususnya melibatkan isu wabak denggi apabila beliau ‘tidak hadir’ ke Mesyuarat Petugas Khas Denggi.
EZY