Categories
NASIONAL

PTPTN gagal fahami anak muda

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 APR: Malaysia memerlukan rombakan radikal terhadap model pembiayaan pendidikan tinggi dalam usaha membantu anak muda, kata Ketua Angkatan Muda Malaysia (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, keperluan itu dilihat mendesak ekoran ramai anak muda tertekan dengan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) akibat gagal membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu, Nik Nazmi juga berharap majikan meningkatkan tangga gaji pekerja, terutamanya golongan bawah 40 tahun.

NIK NAZMI (1)“Majikan yang melakukan sedemikian haruslah diberikan pelepasan cukai. Negara ini juga amat memerlukan reformasi ekonomi untuk memastikan semua rakyat diberi peluang yang cerah,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, laporan berkenaan graduan gagal atau tidak mampu membayar hutang PTPTN dikenakan CCRIS menghadapi kesukaran membeli kereta, rumah atau memohon kad kredit sangat mengecewakan.

“Ini diakibatkan rekod yang dihantar PTPTN ke pengkalan data CCRIS.

“PTPTN sememangnya hanya melakukan apa yang patut untuk mendapatkan semula hutang belum berbayar yang kini berjumlah RM8.3 billion.

“Pada masa yang sama peminjam haruslah bertanggungjawab menyelesaikan hutang mereka,” katanya.

ptptn studentNik Nazmi yang Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, hal itu menunjukkan tadbir urus kerajaan kurang cekap terhadap ekonomi Malaysia dan hanya menyusahkan rakyat.

“Memang mudah jika kita hendak menyalahkan graduan muda di dalam hal ini. Tetapi tindakan itu seakan-akan tidak menghiraukan keadaan realiti hidup yang semakin sempit untuk semua orang,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab kerana memotong pelbagai peruntukan di dalam sektor pendidikan sehingga menyambung pelajaran ke pendidikan tinggi juga amat sukar tanpa PTPTN atau pinjaman lain.

“Turut merisaukan apabila PTPTN juga menggalakkan pembayaran hutang melalui pengeluaran KWSP. Ini sedangkan wang persaraan juga perkara yang penting.

“Ramai anak muda Malaysia menghadapi risiko dibelenggu hutang, dan ini mungkin berlangsung selepas mereka bersara,” katanya.

Katanya, alasan Pengerusi PTPTN, Shamsul Anuar Nasarah menyenarai hitamkan peminjam gagal membayar hutang untuk menggalakkan pembayaran juga jelas menunjukkan badan itu tidak memahami isu sebenar.

“Nilai kos sara hidup tinggi di samping gaji rendah memberi tekanan kepada anak muda untuk menguruskan kewangan harian,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.