Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Refleksi sebelum berlepas ke Kuching

OLEH : DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Satu gempa bumi melanda pantai barat Perancis petang semalam sewaktu saya memuktamadkan pelan penerbangan ke Sarawak.

Pagi ini, sewaktu saya mahu menaiki penerbangan pertama ke Kuching, kejadian gempa semalam kembali mengimbau ingatan saya kepada peristiwa bersejarah yang pernah “menggegarkan” Sarawak pada satu masa dahulu – keberanian pahlawan negara berketurunan Iban Dayak iaitu Rentap (Libau Anak Ningkan) menentang Raja Putih di negeri itu.

SarawakSaya akan terbang ke negeri yang bukan sahaja masyhur dengan Burung Kenyalang serta Gua Mulu yang menakjubkan, tetapi juga menginspirasi kita dengan sejarah keberanian pejuang kebebasannya.

Sejarah memberitahu kita bahawa mereka tidak pernah gentar apatah lagi berganjak walau setapak pun dalam melawan penindasan. Semangat juang yang sama masih segar sehingga ke hari ini.

Hari ini, semangat saya turut bangkit apabila mengamati usaha rakan-rakan seperjuangan di Sarawak yang sedang bertarung dalam Pilihan Raya Negeri.

Kesungguhan, motivasi serta kecekalan mereka terus menyuburkan inspirasi dalam diri saya. Dalam beberapa hari lepas, mereka kekal mematuhi tertib dan disiplin tinggi dalam ucapan serta tindakan mereka. Saya menyanjung tinggi semangat yang ditunjukkan ini.

Dan kini, saya ke Sarawak untuk menghirup semangat keyakinan serta keberanian yang sama dalam berjuang menuntut kebebasan – kebebasan daripada penindasan, eksploitasi dan pemangsaan yang berlarutan sejak berdekad lamanya.

Saya diperkuatkan oleh kegagahan, stamina serta keupayaan yang sama untuk melangkah lebih jauh dalam perjuangan ini. Keazaman ini terus menggamit kehadiran saya ke sana.

Rakyat di Sarawak sudah bersedia. Pemimpin-pemimpin kita tidak sabar lagi untuk berentap dalam gelanggang. Lawan tetap lawan!
* DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI adalah Timbalan Presiden KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.