Categories
SELANGOR

Rumah Berhala Guan-Di peroleh kuasa selepas 20 tahun

OLEH: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 22 APR: Selepas lebih 20 tahun, Persatuan Pengurusan Rumah Berhala Guan-Di secara rasmi memperoleh kuasa menyelenggara dan mengurus tokong berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata tapak rumah ibadat itu sudah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara pada 1 Oktober 2015.

Katanya, pewartaan itu menyatakan Kerajaan Negeri masih berkuasa ke atas tanah berkenaan.

Hannah Yeoh“Ia masih milik Kerajaan Negeri sementara Persatuan Pengurusan Rumah Berhala Guan-Di bertanggungjawab menyelenggara.

“Dengan ini tanah berkenaan tidak boleh dijual beli kepada mana-mana pihak dengan sesuka hati sebagaimana berlaku suatu masa dahulu,” katanya dalam sidang media di Tokong Guan-Di di sini, semalam.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Pengerusi Persatuan Pengurusan Rumah Berhala Guan-Di, Koay Teng Koon dan penasihatnya, Soo Ah Swee.

Berkeluasan 445 meter persegi di Jalan PJS 7/13, pihak persatuan mula memohon pewartaan pada 2014 dan diluluskan dalam tempoh setahun.

Teng Koon berkata, kelulusan singkat itu menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah permohonan tanah bagi tujuan tapak rumah ibadat bukan Islam.

“Diharap lebih banyak rumah ibadat membuat permohonan kerana ia tidak sesukar yang dibayangkan sesetengah pihak,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.