Categories
SELANGOR

Selangor lepas peluang layak awal – Zainal

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 27 APRIL: Persembahan baik, namun tidak menjaringkan gol dan Selangor terlepas peluang meraih tiga mata berharga.

Situasi itu diakui Ketua Jurulatih, Zainal Aidin Hassan sebagai menghampakan kerana kemenangan disasarkan dalam pertemuan menentang Ceres La SAlle FC supaya mencerahkan laluan ke pusingan kedua Piala AFC.

“Memang terkilan tidak dapat tiga mata tetapi kesungguhan pemain harus diberi pujian.

ZAINAL ABIDIN“Mereka berusaha sehingga ke saat akhir terutamanya di separuh masa kedua dengan terus mengasak kerana tahu betapa pentingnya tiga mata ini,” katanya dalam sidang media di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini, malam tadi.

Perlawanan itu berakhir seri tanpa jaringan dan kecederaan dialami penyerang utama, Patrick Ronaldinho Wleh, jelas meresahkan Zainal dalam mencari pengganti sesuai.

Pemain Liberia itu digantikan Adam Nor Azlin pada minit ke 20 dan ketiadaannya diakui Zainal sedikit mencacatkan bahagian serangan Selangor.

Bagaimanapun, katanya, kekukuhan barisan pertahanan Red Giants memberi kelebihan dan berharap persembahan baik itu mampu terus dikekalkan.

“Satu pujian kepada pemain kerana berjaya mengawal benteng kita dengan baik tetapi tanpa gol kita tidak menang perlawanan,” katanya.

Selain pertemuan malam tadi, Selangor tidak dibolosi ketika berhadapan dengan Pulau Pinang (1-0) juga PDRM (0-0) dalam Liga Super dan Zainal mahu pemain mengekalkan prestasi sama selain meningkatkan bahagian serangan.

selngorceres 3Ketua Jurulatih Ceres La Salle FC, Franklin Muescan, berkata keputusan seri itu melegakan kerana pasukannya berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua.

“Pemain membuktikan kesungguhan dalam perlawanan ini dan saya bangga dengan persembahan mereka.

“Kejayaan diraih dalam Piala AFC ini satu penghormatan buat kelab dan Filipina,” katanya yang menganggap pertemuan terakhir menentang Sheikh Jamal Dhanmondi (Bangladesh) pada 10 Mei sebagai pelengkap jadual.

Selangor dan Tampines Rovers FC (Singapura) akan bertemu pada hari sama di Singapura bagi penentuan pasukan kedua dari Kumpulan E utuk layk ke pusingan kedua.

Ia ekoran kekalahan 3-2 kelab Singapura itu di tangan Sheikh Jamal Dhanmondi malam tadi.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.