Categories
SELANGOR

Kumpulan Semesta serah RM30,000 kepada mangsa kebakaran

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 27 APR: Selepas tiga minggu, mangsa rumah terbakar, Zuriyana Marjunit, hari ini menerima sumbangan tertinggi berjumlah RM30,000 daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Zuriyana, 38, berkata sumbangan berbentuk wang tunai itu akan digunakan untuk membina kediaman baru di atas tapak rumah lama sebelum ini.

Beliau kini menyewa rumah lain selepas kehilangan kediaman yang musnah itu, pada 7 April lalu.

Zuriyana“Terima kasih kepada KSSB dan Kerajaan Negeri yang tidak putus membantu saya hingga ke hari ini.

“Segala bantuan akan saya gunakan sebaiknya untuk meringankan beban terutama daripada segi tempat tinggal,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Sumbangan daripada anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu disampaikan Ketua Jabatan Kualiti, Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran KSSB, Mohamad Fadzil Yahya.

Sebelum ini, Zuriyana turut menerima bantuan kilat berjumlah RM1,500 ketika kunjungan Exco Kebajikan, Dr Daroyah Alwi, sehari selepas kejadian yang meragut nyawa dua anaknya.

Zuriyana berkata, bomba mengesahkan kebakaran berpunca daripada kotak suis utama yang tidak menepati spesifikasi keselamatan ditetapkan.

“Ia menjadi pengajaran penting buat kami dan saya akan pastikan pembinaan rumah baru nanti mengikut garis panduan seperti disyorkan pihak berkuasa,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.