Categories
NASIONAL

Skandal 1MDB cabaran besar Gabenor Bank Negara baru

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 APR: Penyelesaian mutlak skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan imej negara bakal menjadi cabaran utama buat Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim.

Mantan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob, berpandangan pihak yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa unsur pilih kasih dan berlandaskan undang-undang.

rosli“Dalam menangani isu 1MDB, beliau akan mengahadapi cabaran besar terutama melibatkan nama baik negara dan Perdana Menteri.

“Hasilnya perlu positif demi nama negara, kedudukan ekonomi dan kepimpinan Malaysia, bahkan beliau perlu menanganinya secara berhikmah serta kebijaksanaan.

“Maknanya, yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan. Jika ada penyelewengan, kita bawa pihak yang terlibat. Dalam menyelesaikan masalah 1MDB, ia perlu diselesaikan dalam konteks undang-undang negara dan sebarang penyelesaian diambil perlu membawa kebaikan kepada negara,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menyampaikan sekalung tahniah kepada Muhammad yang bakal menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang akan mengakhiri perkhidmatannya penghujung April ini, selepas berkhidmat hampir 16 tahun.

Katanya, Muhammad turut bakal berdepan cabaran lain terutama bagi memastikan sistem kewangan negara terus stabil dan menyokong dasar pertumbuhan ekonomi.

13094360_1094385287249937_678509992806489506_n“Dalam suasana ekonomi kurang baik, kedudukan ringgit kurang stabil, isu hutang negara yang semakin meningkat dan paling penting skandal 1MDB adalah antara cabaran harus ditangani dengan cermat supaya hasilnya menjadi positif.

“Kita mengharapkan sebagai gabenor baru, beliau ada ketegasan mempertahankan kebebasan Bank Negara supaya tindakan yang diambil demi kepentingan negara bukan untuk kepentingan politikpihak tertentu,” katanya.

Pelantikan Muhammad yang juga Timbalan Gabenor diumumkan semalam dan mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong.

Muhammad bakal menjadi Gabenor ke-8 berkuatkuasa 1 Mei ini bagi tempoh lima tahun berkelulusan Sarjana dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.