Categories
SELANGOR

Sultan Selangor berkenan rasmi Multaqa

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 APR: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mencemar duli merasmikan Multaqa Pegawai Masjid, Guru Takmir dan KAFA peringkat Selangor 2016.

Bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, majlis turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

SULTAN MULTAQAHadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Exco Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa.

Baginda Sultan berkenan menyampaikan anugerah penghargaan kepada imam, guru takmir, penyelia KAFA, guru KAFA dan sekolah KAFA sebelum menerima ‘mock cheque’ sumbangan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM37.9 juta kepada Kerajaan Negeri.

Selain itu, baginda juga berkenan melancarkan buku bertajuk ‘Tokoh-tokoh Ulama Melayu Nusantara’ terbitan bersama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Dengan lebih 1,000 hadirin, majlis terlebih dahulu dimulakan dengan ceramah bertajuk ‘Halal dan Isu-isu Semasa Umat Islam’ dan forum khas bertajuk ‘Wasatiah Ahli Sunnah Wal Jamaah’.

Program Multaqa merupakan antara platform utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyalurkan maklumat berhubung isu semasa melibatkan kemaslahatan umat Islam.

Ia bertujuan menggembleng kesedaran dan menggerakkan imam, guru dan pendakwah bertauliah mengukuhkan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah dari peringkat akar umbi.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.