OLEH : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 5 APR: Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa calon bakal bertanding dalam Pilihanraya Negeri Sarawak depan menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya.
Presidennya Datuk Akhbar Satar, berkata TI-M percaya bahawa integriti merupakan prasyarat utama dan penting sebagai aku janji politik ke arah pemimpin ‘sifar’ rasuah.
Katanya, calon pilihan raya ini juga perlu menunjukkan keikhlasan mereka membendung gejala rasuah ke arah menjadikan Sarawak negeri lebih baik.
“Kita mahu semua calon bertanding dan wakil rakyat memberikan komitmen mereka terhadap rasuah menandatangani ikrar ini,” katanya dalam kenyataan media.
Akhbar berkata TI-M juga menggesa pengundi untuk memantau calon yang sudah menandatangani ikrar itu supaya mereka mengamalkan tadbir urus yang baik.
“Ikrar ini adalah pengisytiharan awam supaya calon tidak menyalahguna dan memastikan dana awam, sumber dan kemudahan tidak digunakan untuk berkempen serta mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan-peraturan Had Perbelanjaan Pilihan Raya.
“Kita semua perlu memerangi rasuah dan usaha ini perlu direalisasikan oleh pemimpin diberi kepercayaan rakyat. Jadi kita berharap mereka bangkit memenuhi cabaran ini demi negara,” katanya.
Beliau berkata TI-M percaya bahawa integriti, akautabiliti dan keterbukaan dalam politik adalah penting ke arah demokrasi yang sihat.
“Malaysia mengalami penurunan kedua terbesar di rantau Asean selepas Filipina pada 2015 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang menjadikan Malaysia menduduki tangga ke 54.
“Di samping itu, berdasarkan 2014 Barometer Rasuah Malaysia (MCB) 2014 yang ditinjau pengalaman dan pandangan mengenai rasuah oleh orang ramai dan kesanggupan mereka untuk memerangi isu ini, parti politik dilihat sebagai salah satu institusi paling korup di negara ini dengan 45 peratus daripada 2,032 responden di Malaysia.
“Ia amat membimbangkan bahawa persepsi orang ramai terutamanya tinggi tahap rasuah di Malaysia,” katanya.
EZY