Categories
NASIONAL

Malaysia di tangga ke-61 Indeks Persepsi Rasuah 2018

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Malaysia berada di tangga 61 daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan pada 2018, berbanding kedudukan ke-62 pada 2017.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar berkata, berdasarkan laporan dikeluarkan Transparency International (TI), negara berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI, pada tahun lalu dan 2017.

Katanya, skor dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala sifar (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

“Kedudukan Malaysia setakat ini agak memuaskan dan masyarakat meletakkan keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“PAKATAN baru mengambil alih pentadbiran negara tujuh bulan lalu dan sekiranya kerajaan kekalkan momentum dalam memerangi rasuah, tidak mustahil kedudukan negara boleh meningkat.

“Paling utama, kerajaan perlu memperkasakan integriti dan membanteras rasuah dengan lebih berani,” katanya dalam sidang media di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), semalam.

Denmark dan New Zealand diumumkan sebagai negara paling bersih rasuah dengan catatan skor masing-masing sebanyak 88 dan 87 manakala Somalia, Sudan Selatan dan Syria menduduki tangga terbawah.

Mengulas lanjut, Akhbar berkata, PAKATAN PH perlu bekerja keras menunaikan janji manifesto bagi meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

“Masyarakat sedar akan usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerangi rasuah dan pemimpin lain sewajarnya sama-sama berjuang ke arah negara yang lebih baik.

“Selain itu, kerajaan perlu mengekalkan pemberian kontrak secara tender terbuka bagi membanteras gejala rasuah.

“Langkah itu dapat memastikan kontrak diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak menerimanya,” katanya.

*Sumber: BHOnline

Categories
NASIONAL

TI-M: Calon PRN Sarawak disaran tandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 APR: Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa calon bakal bertanding dalam Pilihanraya Negeri Sarawak depan menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya.

Presidennya Datuk Akhbar Satar, berkata TI-M percaya bahawa integriti merupakan prasyarat utama dan penting sebagai aku janji politik ke arah pemimpin ‘sifar’ rasuah.

SarawakKatanya, calon pilihan raya ini juga perlu menunjukkan keikhlasan mereka membendung gejala rasuah ke arah menjadikan Sarawak negeri lebih baik.

“Kita mahu semua calon bertanding dan wakil rakyat memberikan komitmen mereka terhadap rasuah menandatangani ikrar ini,” katanya dalam kenyataan media.

Akhbar berkata TI-M juga menggesa pengundi untuk memantau calon yang sudah menandatangani ikrar itu supaya mereka mengamalkan tadbir urus yang baik.

“Ikrar ini adalah pengisytiharan awam supaya calon tidak menyalahguna dan memastikan dana awam, sumber dan kemudahan tidak digunakan untuk berkempen serta mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan-peraturan Had Perbelanjaan Pilihan Raya.

“Kita semua perlu memerangi rasuah dan usaha ini perlu direalisasikan oleh pemimpin diberi kepercayaan rakyat. Jadi kita berharap mereka bangkit memenuhi cabaran ini demi negara,” katanya.

Beliau berkata TI-M percaya bahawa integriti, akautabiliti dan keterbukaan dalam politik adalah penting ke arah demokrasi yang sihat.

“Malaysia mengalami penurunan kedua terbesar di rantau Asean selepas Filipina pada 2015 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang menjadikan Malaysia menduduki tangga ke 54.

“Di samping itu, berdasarkan 2014 Barometer Rasuah Malaysia (MCB) 2014 yang ditinjau pengalaman dan pandangan mengenai rasuah oleh orang ramai dan kesanggupan mereka untuk memerangi isu ini, parti politik dilihat sebagai salah satu institusi paling korup di negara ini dengan 45 peratus daripada 2,032 responden di Malaysia.

“Ia amat membimbangkan bahawa persepsi orang ramai terutamanya tinggi tahap rasuah di Malaysia,” katanya.
EZY