Categories
SELANGOR

Tiada pengusiran pekerja ladang sehingga penyelesaian dicapai

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 APR: Kerajaan Selangor sudah menulis surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Berjaya Corporation Berhad, Datuk Seri Robin Tan untuk bermesyuarat dalam masa terdekat bersama Bukit Tagar Properties bagi mencari kata putus mengenai nasib pekerja lima ladang di Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman, berkata mesyuarat diadakan pada 18 April lalu dihadiri wakil Berjaya Group, Bukit Tagar Properties, jurucakap kumpulan, S Arulchelvan dan dua wakil bagi setiap ladang.

GANAKatanya, kes ini berlaku sebelum 2008 disebabkan pentadbiran Kerajaan Negeri ketika itu berjanji memberikan tapak tanah seluas 4,000 kaki persegi.

Namun pada 2014 usaha untuk membina rumah mampu milik bagi membela kebajikan pekerja ladang tergendala kerana pemaju berhadapan masalah bekalan air untuk membinanya.

“Dalam kes ini ada tiga pihak membuat tuntutan. Pertama pekerja ladang sendiri, kedua bekas pekerja dan ketiga pihak yang tidak ada kena mengena dengan pekerja ladang tetapi menetap di sana serta cuba mendapatkan pampasan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, dalam mesyuarat itu Bukit Tagar Properties menjelaskan pihaknya tidak memberhentikan sesiapa setakat ini dan tidak akan ada sebarang pengusiran sehingga penyelesaian muktamad mengenai pembinaan rumah dicapai.

Pada 13 April lalu hampir 100 orang pekerja ladang berhimpun di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menuntut campur tangan Kerajaan Negeri berhubung isu itu.

Difahamkan 57 daripada 197 keluarga pekerja diberikan notis mengosongkan rumah sebelum 15 April oleh majikan baru, Bukit Tagar Properties yang membeli tanah perladangan dari Syarikat Berjaya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.