Categories
SELANGOR

#Selangor18: Kebajikan pekerja ladang tidak dipinggirkan

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan Selangor 2018 menyaksikan program pembangunan pekerja ladang diteruskan menerusi peruntukan RM500,000.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bertujuan meningkatkan kemahiran seperti menjahit, memasak, membaiki peralatan pejabat dan kenderaan untuk mengupayakan golongan itu menggilap potensi demi masa depan.

“Selain pemberdayaan pekerja ladang, Kerajaan Negeri turut mengambil berat pendidikan anak pekerja ladang dengan bercadang meningkatkan peruntukan dari RM1 juta kepada RM1.3 juta.

“Ia bertujuan membiayai Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Bantuan Yuran Pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, inisiatif itu turut menyediakan peruntukan bagi penyampaian anugerah kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk anak pekerja ladang yang cemerlang.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

3,788 anak pekerja ladang dapat peruntukan tambang bas sekolah RM1.3 juta

NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 NOV: Seramai 3,788 anak pekerja ladang menerima subsidi tambang bas sekolah dengan peruntukan RM1.3 juta, sejak tahun 2010 hingga tahun ini.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, jumlah penerima terbabit ditingkatkan setiap tahun supaya golongan itu secara terus menerima manfaat yang diberikan.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 315 (2010), 254 (2011), 525 (2013), 583 (2014), 1,477 (2015) dan 1,203 (2016).

pc-4-of-5“Manfaat ini terbuka kepada seluruh anak pekerja ladang di Selangor. Sebanyak RM300 diberikan kepada setiap anak pekerja ladang yang membuat permohonan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dan sumbangan adalah diberikan secara tunai.

“Program ini merupakan sumbangan yang terbuka keoada anak pekerja ladang dan bekas pekerja ladang. Ia bertujuan meringankan bebanan penjaga yang terdiri dalam kalangan pekerja ladang dalam membiayai sebahagian daripada kos tambang bas anak mereka ke sekolah,” katanya di Sidang Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Program terbabit terbuka kepada anak ekerja ladang atau bekas pekerja ladang yang bersekolah di Selangor dengan pendapatan ibu bapa atau penjaga mereka di bawah RM1,500 sebulan.

Seorang pelajar hanya layak menerima sumbangan subsidi dari Kerajaan Negeri sekali sahaja dalam tempoh satu tahun.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bantu lebih 500 pekerja ladang miliki rumah

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 NOV: Lebih 500 bekas pekerja ladang telah dibantu Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang dalam menyelesaikan isu berkaitan pemilikan rumah dengan harga diskaun.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mensasarkan yang terbaik kepada pekerja ladang sama ada yang masih berkhidmat atau bersara.

“Tujuh ladang telah dibantu dalam menyelesaikan isu rumah antaranya di Ladang Bukit Rajah iaitu 75 keluarga dapat memiliki rumah teres satu tingkat dengan harga diskaun selain membantu mereka mendapatkan tapak kuil dan dewan komuniti.

unnamed-11“Manakala di Ladang Bangi, 22 bekas pekerja ladang dibantu mendapatkan persetujuan oleh majikan mereka untuk membina rumah kos rendah yang ditanggung majikan itu sendiri,” katanya di Sidang DNS, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADN Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan berkenaan berapa ramai pekerja ladang yang menerima bantuan dan bentuk bantuan yang diberi.

Selain itu, Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri telah menyerahkan 30 ekar tanah di Taman Permata Dengkil kepada Kerajaan Pusat bagi pembinaan kepada 393 bekas pekerja ladang dari kawasan Putrajaya

Manakala, di Ladang Duneden dan Ladang Tumbok seramai 22 pekerja ladang dan 12 bekas pekerja ladang mendapat manfaat memiliki rumah.

“Sementara itu, melalui perbincangan dengan majikan dan pemilikan Ladang Semenyih, kita telah berjaya membantu mendapatkan rumah teres dua tingkat dengan diskaun kepada 25 bekas pekerja ladang.

“Kita juga berjaya menyelesaikan pembatalan Rezab Melayu yang telah dijadikan tapak perumahan kepada 99 bekas pekerja ladang,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tiada pengusiran pekerja ladang sehingga penyelesaian dicapai

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 APR: Kerajaan Selangor sudah menulis surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Berjaya Corporation Berhad, Datuk Seri Robin Tan untuk bermesyuarat dalam masa terdekat bersama Bukit Tagar Properties bagi mencari kata putus mengenai nasib pekerja lima ladang di Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman, berkata mesyuarat diadakan pada 18 April lalu dihadiri wakil Berjaya Group, Bukit Tagar Properties, jurucakap kumpulan, S Arulchelvan dan dua wakil bagi setiap ladang.

GANAKatanya, kes ini berlaku sebelum 2008 disebabkan pentadbiran Kerajaan Negeri ketika itu berjanji memberikan tapak tanah seluas 4,000 kaki persegi.

Namun pada 2014 usaha untuk membina rumah mampu milik bagi membela kebajikan pekerja ladang tergendala kerana pemaju berhadapan masalah bekalan air untuk membinanya.

“Dalam kes ini ada tiga pihak membuat tuntutan. Pertama pekerja ladang sendiri, kedua bekas pekerja dan ketiga pihak yang tidak ada kena mengena dengan pekerja ladang tetapi menetap di sana serta cuba mendapatkan pampasan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, dalam mesyuarat itu Bukit Tagar Properties menjelaskan pihaknya tidak memberhentikan sesiapa setakat ini dan tidak akan ada sebarang pengusiran sehingga penyelesaian muktamad mengenai pembinaan rumah dicapai.

Pada 13 April lalu hampir 100 orang pekerja ladang berhimpun di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menuntut campur tangan Kerajaan Negeri berhubung isu itu.

Difahamkan 57 daripada 197 keluarga pekerja diberikan notis mengosongkan rumah sebelum 15 April oleh majikan baru, Bukit Tagar Properties yang membeli tanah perladangan dari Syarikat Berjaya.

EZY

Categories
SELANGOR

Program ‘Cintai Bahasa Kebangsaan’ tingkat kualiti pembelajaran anak pekerja ladang

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 MEI : Bagi memastikan kualiti pembelajaran anak pekerja ladang ditambah baik, Kerajaan Selangor mengambil inisiatif melaksanakan program Cintai Bahasa Kebangsaan.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, berkata ia bagi memastikan pengetahuan mereka terhadap Bahasa Melayu diperbaiki.

Katanya meskipun peruntukan tahunan untuk komuniti pekerja ladang agak kecil, namun beliau menganggap ia sebagai cabaran dalam memperjuangkan nasib mereka yang tercicir.

Ladang Sawit - Kangani“Saya buat program ini supaya mereka dapat menambah ilmu dalam Bahasa Melayu dan penekanan diberikan kepada pelajar sekolah rendah.

“Sambutan diterima sangat baik dan di samping itu kita juga turut menjalankan kelas motivasi dan program keceriaan bersesuaian dengan mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bantuan kepada pekerja ladang, Ganabatirau berkata mereka diberi bantuan dari aspek sosio-ekonomi.

Katanya kebanyakan daripada mereka terpaksa berhijrah dari ladang sukar untuk menyesuaikan diri dengan pembangunan sedia ada.

“Kebanyakan kawasan ladang sudah dimonopoli warga asing menyebabkan peladang terpaksa keluar.

“Mereka tiada pendidikan baik dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan pembangunan sedia ada, jadi kita bantu dari segi sosio-ekonomi dengan memberi pekerjaan kepada mereka,” katanya yang juga Adun Kota Alam Shah.

Dalam Belanjawan 2015, Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM500,000 kepada komuniti pekerja ladang.

EZY

Categories
SELANGOR

NGO Perlu Bantu Kerajaan Dalam Sektor Kesihatan

KLANG, 12 0KT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta pertubuhan bukan kerajaan(NGO) di Selangor agar membantu Kerajaan Negeri meningkatkan kemudahan asas untuk rakyat seperti pengangkutan, pendidikan dan kesihatan awam.

Abdul Khalid  memuji usaha Kelab Rotary kerana mengisi kekosongan dalam sektor perkhidmatan kesihatan sekaligus dapat menampung kekurangan perkhidmatan yang ditawarkan hospital kerajaan.

Usaha ini juga katanya menyebabkan rakyat di Selangor dapat merasai kemudahan dengan harga berpatutan.

“Kerajaan Negeri amat berterima kasih terhadap usaha kebajikan Kelab Rotary yang menyediakan kemudahan untuk pesakit buah pinggang menerima rawatan dialisis dengan harga rendah.

“Kelab Rotary di seluruh Malaysia yang mempunyai jalinan antarabangsa sentiasa mencari jalan untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi kepentingan masyarakat,” katanya semasa menghadiri majlis menandatangani plat Persatuan Hemodialisis di sini, pagi tadi.

Beliau juga mengingatkan Kerajaan Pusat agar mengambil inisiatif dengan meningkatkan penyediaan pusat kesihatan baik di Malaysia mahupun di Selangor.

Dalam majlis itu, Abdul Khalid turut melawat pesakit buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis selain menyerahkan sumbangan kepada mereka.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Pusat Dialisis Rotary Klang merupakan pusat rawatan dialisis yang ditubuhkan hasil usaha Kelab Rotary Klang bagi memastikan pesakit buah pinggang mudah mendapat rawatan dengan bayaran rendah.

Pusat rawatan ini mengenakan bayaran RM110 bagi satu rawatan berbeza dengan bayaran di pusat rawatan lain yang mengenakan bayaran RM150 ke RM250.