Categories
EXCO SELANGOR

20 peserta terima Bantuan Blueprint Daerah Klang

KLANG, 24 SEPT: Seramai 20 peserta Program Bantuan Blueprint Daerah Klang menerima bantuan peralatan berjumlah RM63,400 bagi memulakan dan meluaskan lagi perniagaan masing-masing.

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, program yang diadakan sejak 2003 itu merupakan landasan terbaik untuk mengupayakan ekonomi keluarga.

Katanya, bantuan peralatan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri itu sebagai usaha dan pembakar semangat usahawan kecil meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Perbezaan antara mereka yang gagal dan berjaya bukan diukur kerana idea tetapi kerana keberanian mereka mengambil risiko untuk keluar dari kemiskinan.

V. Ganabatirau menyerahkan plak akrilik sebagai simbolik penerimaan kepada penerima dalam Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Program BluePrint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor Tahun 2019 di Pejabat Tanah dan Daerah Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Oleh itu, setiap usahawan kecil yang dibantu perlu memastikan kejayaan dicipta dengan hasil yang luar biasa supaya ekonomi keluarga dapat dirancakkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Klang 2019, di Dewan Serbaguna, Pejabat Tanah dan Klang, di sini.

Ganabatirau berkata, sejumlah RM12.9 juta dibelanjakan kepada seramai 4,109 usahawan kecil seluruh negeri sejak 2008 hingga 2019.

Pada masa sama, beliau berharap semua penerima dapat memanfaatkan bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri itu ke arah mewujudkan kehidupan yang sejahtera.

“Saya percaya dengan semua peluang dan perancangan pembangunan pelbagai bangsa di negeri ini bertujuan makmurkan negeri serta menjamin kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, penerima Siti Ruzana Ab Rahim, 44, dari Rantau Panjang gembira dengan bantuan dua unit katil bekam mudah alih dan mesin UV Strelizer diterimanya.

“Saya bersyukur dengan bantuan diberikan bagi menambah baik perniagaan yang saya usahakan sejak tiga tahun ini,” katanya.

Bagi penerima D Anthony, 35, berkata, perniagaan bengkel membaiki motosikalnya pernah ditutup ekoran ketiadaan modal dan tidak mampu membeli peralatan.

“Namun, tahun ini saya membukanya kembali dan menerima bantuan peralatan air compressor dari Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor peruntuk RM1 juta laksana PPUIS

KUALA SELANGOR, 20 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi menggerakkan pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan India Selangor (PPUIS) bermula September hingga Disember tahun ini.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, program selama tiga bulan itu sebagai pendekatan membasmi kemiskinan seterusnya meningkatkan kehidupan dan tahap pendapatan rakyat, khususnya masyarakat India di negeri ini.

Katanya, seramai 100 hingga 200 peserta disasarkan menyertai sesi taklimat yang akan dijalankan di kesemua 12 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut jadual ditetapkan.

“Ia merangkumi kursus Geran Bantuan Peralatan Perniagaan (15 peserta), GROW Bimbingan Perniagaan (35 peserta), Kursus Kemahiran dan Pembuatan (25 peserta) serta Latihan Pembangunan Usahawan (25 peserta).

“Kursus ini meliputi bidang perniagaan umum bagi kaum India seperti henna, solekan, dandanan, kulinari, jahitan dan fesyen, kitar semula atau ‘scrap metal’, fotografi serta logistik atau pengangkutan darat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerangan dan Pelancaran PPUIS, di Dewan Sri Siantan, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), di sini, pada 14 September lalu.

Hadir sama, EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau; Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji.

Terdahulu, ciri baharu diperkenalkan dalam PPUIS adalah SITHAM (Selangor Inthiyar Thozhil Arvalar Maiyam) membawa maksud sifat keazaman yang kukuh dalam diri seseorang usahawan.

Ia adalah kesinambungan daripada Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor yang mula dirancang pada 2017.

Rodziah berkata, kaum Bumiputera dan India antara golongan sasar yang diberi keutamaan khas oleh kerajaan bagi mengeluarkan mereka daripada kemisikinan.

Katanya, hal itu seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang menekankan pengagihan kekayaan sama rata.

“Kita memberi fokus kepada pemerkasaan dan pemberdayaan masyarakat seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

“Sasaran Kerajaan Negeri juga untuk meningkatkan pendapatan isi rumah bulanan golongan berpendapatan rendah B40 semua kaum daripada RM3,860 (definisi B40 pusat) kepada RM6,000 pada 2025,” katanya.

Categories
SELANGOR

Rumah terbuka meriah, Ganabatirau agih sumbangan RM40,000

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 10 JULAI: Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kota Alam Shah berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 500 penduduk setempat.

Berlangsung di hadapan pejabat DUN Kota Alam Shah di Taman Teluk Pulai, tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah sinonim dengan Aidilfitri seperti rendang, lemang dan ketupat disamping terdapat ‘food truck’ nasi lemak, gerai sate, roti canai dan cendol.

OPEN HOUSE GANA (1)“Semua kaum berjaya dikumpulkan di sini. Ini merupakan antara kejayaan yang sangat besar dibawah Kerajaan Selangor. Inilah aspirasi yang diinginkan, sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Alam Shah, Ganabatirau Veraman ketika ditemui SelangorKini.

Majlis turut dihadiri beberapa rakan politik seperti Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan ADN Morib, Hasnul Baharuddin.

Dalam majlis sama, Ganabatirau turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada 11 surau, tiga buah masjid dan beberapa persatuan di sekitar DUN Kota Alam Shah.OPEN HOUSE GANA (2)OPEN HOUSE GANA (3)

Categories
SELANGOR

Isu banjir dan sampah terkawal di DUN Kota Alam Shah

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 10 JUL: Hampir 80 peratus masalah sampah di DUN Kota Alam Shah berjaya diatasi sejak pengurusan sisa pepejal dikawasan itu diuruskan Hebat Abadi Sdn Bhd (HASB).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Alam Shah, Ganabatirau Veraman gembira dengan perubahan positif berkenaan masalah itu.

“Dalam tempoh dua tahun ini saya lihat banyak perkara yang kita berjaya baiki dalam pengurusan sisa pepejal. Namun masih banyak usaha yang kita ingin perbaiki dalam meningkatkan kecekapan pengurusan dan sistem.

Ganabatirau“Saya tidak berani mengatakan kita berjaya selesaikan sepenuhnya tetapi kita berusha ke arah itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka DUN Kota Alam Shah, semalam.

Beliau yang juga Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang berkata, kawasannya tidak terlepas daripada masalah banjir yang sering melanda di empat kawasan utama di Taman Malawis, Taman Chi Leong, Taman Southern Park dan Taman Bayu Perdana.

Menurutnya, pelbagai usaha sedang dilakukan dan beliau mengharapkan beberapa agensi terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dapat bertindak segera demi keselesaan rakyat.

“Kita mengurangkan banjir dengan bantuan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan agensi kerajaan. Ada beberapa projek yang masih belum dijalankan dan saya masih menaruh harapan agar ia dapat disegerakan,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengakui kawasannya sering berhadapan kesesakan aliran trafik tambahan pembinaan Jambatan Ketiga Klang turut akan melibatkan kawasan Kota Alam Shah.

Namun, beliau lega kerana perkhidmatan Bas Smart Selangor berjalan dengan baik dan sentiasa penuh sekaligus dapat membantu mengurangkan serba sedikit kesesakan trafik.

Categories
SELANGOR

Selangor kaji semula pembinaan rumah kerajaan prihatin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Perbandingan semula kajian pembangunan projek Bantuan Rumah Kerajaan Pihatin bakal dibuat di peringkat Kerajaan Negeri.

Exco Kerajaan Prihatin, Kemiskinan dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman berkata, pertimbangan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan kos pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Kerajaan Negeri sedia menjalankan perbandingan kajian semula kos sedia ada selepas mendapati ia tidak lagi relevan ketika ini akibat pelaksanaan GST.

“Ketetapan ini diambil bagi memastikan jaminan kebajikan golongan miskin di Selangor mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Rumah LZSBeliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Abdul Rani Osman di Dewan Negeri (DNS), di sini pagi ini.

Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin merupakan program yang bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan memiliki rumah yang selesa.

Golongan sasaran bagi program ini adalah keluarga yang mendiami rumah sedia ada dalam keadaan yang daif di atas tanah hakmilik sendiri serta terletak di dalam kawasan perkampungan tradisi atau kampung baru.

Pelaksanaannya memberi bantuan pembinaan semula rumah yang keseluruhannya terlalu daif dan tidak boleh dibaiki pada harga RM 30,000.00 seunit.

Pemohon yang berkelayakan akan menerima rumah yang dibina lengkap dengan dua atau tiga bilik tidur dan bilik air serta secara keseluruhan berkeluasan 560 kaki persegi termasuk pendaiwaian dalaman elektrik dan pemasangan air dalaman.

-nR-

Categories
SELANGOR

Tiada pengusiran pekerja ladang sehingga penyelesaian dicapai

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 APR: Kerajaan Selangor sudah menulis surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Berjaya Corporation Berhad, Datuk Seri Robin Tan untuk bermesyuarat dalam masa terdekat bersama Bukit Tagar Properties bagi mencari kata putus mengenai nasib pekerja lima ladang di Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman, berkata mesyuarat diadakan pada 18 April lalu dihadiri wakil Berjaya Group, Bukit Tagar Properties, jurucakap kumpulan, S Arulchelvan dan dua wakil bagi setiap ladang.

GANAKatanya, kes ini berlaku sebelum 2008 disebabkan pentadbiran Kerajaan Negeri ketika itu berjanji memberikan tapak tanah seluas 4,000 kaki persegi.

Namun pada 2014 usaha untuk membina rumah mampu milik bagi membela kebajikan pekerja ladang tergendala kerana pemaju berhadapan masalah bekalan air untuk membinanya.

“Dalam kes ini ada tiga pihak membuat tuntutan. Pertama pekerja ladang sendiri, kedua bekas pekerja dan ketiga pihak yang tidak ada kena mengena dengan pekerja ladang tetapi menetap di sana serta cuba mendapatkan pampasan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, dalam mesyuarat itu Bukit Tagar Properties menjelaskan pihaknya tidak memberhentikan sesiapa setakat ini dan tidak akan ada sebarang pengusiran sehingga penyelesaian muktamad mengenai pembinaan rumah dicapai.

Pada 13 April lalu hampir 100 orang pekerja ladang berhimpun di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menuntut campur tangan Kerajaan Negeri berhubung isu itu.

Difahamkan 57 daripada 197 keluarga pekerja diberikan notis mengosongkan rumah sebelum 15 April oleh majikan baru, Bukit Tagar Properties yang membeli tanah perladangan dari Syarikat Berjaya.

EZY