OLEH : AFIX REDZUAN
KUALA LUMPUR, 18 MEI: Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri muncul jabatan Selangor yang mencapai prestasi pengurusan kewangan terbaik pada 2015.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya bagi tahun 2015, Siri 1 turut menyenaraikan 13 lagi jabatan di negeri itu memperoleh prestasi pengurusan kewangan yang baik.
“Lima daripada jabatan itu mencapai tahap cemerlang dengan perolehan 90 markah ke atas sementara lapan pada tahap baik dan satu memuaskan.
“Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan Negeri memperoleh prestasi terbaik,” katanya dalam laporan penemuan Pengurusan Aktiviti atau Kewangan, jabatan atau agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015, Siri 1.
Selain Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, empat lagi jabatan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat turut mencapai tahap cemerlang.
Beliau berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memperoleh tahap memuaskan kerana wujud kelemahan ketara dalam Kawalan Pengurusan, Kawalan Perbelanjaan serta pengesahan penyata kewangan Sijil Ketua Audit Negara Berteguran telah dikeluarkan.
Katanya, hanya tujuh menunjukkan peningkatan prestasi pengurusan kewangan baik sementara tujuh yang lain menurun berbanding markah tertinggi tahun sebelum daripada prestasi pemarkahan 14 Jabatan atau Agensi Negeri itu.
“Pemarkahan bertambah baik berbanding tahun sebelum adalah Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam, Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Langat, Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Pertanian Negeri Selangor serta Majlis Sukan Negeri Selangor.
Tujuh jabatan atau agensi negeri lain mencatat penurunan prestasi berbanding tahun sebelum adalah Pejabat Daerah Dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Selangor, Pejabat Daerah Dan Tanah Sepang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta Perbadanan Wakaf Selangor.
-nR-