Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada agenda politik di sebalik laporan 1MDB

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini menegaskan beliau tidak mempunyai agenda politik di sebalik laporan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang disediakan Jabatan Audit Negara (JAN) pada 2016, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Saksi berusia 70 tahun itu berkata beliau hanya khuatir untuk membentangkan dapatan JAN kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Laporan itu telah pun dicetak. Kami semua telah bersedia untuk mempertahankan laporan kami kepada PAC…Kenapa saya harus mempunyai agenda politik?,” katanya.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari keenam perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Sri Ram: Jadi, anda hanya Ketua Audit Negara yang menjalankan tugas anda?

Ambrin: Benar.

Sri Ram: Siapa yang melantik anda? Adakah pelantikan anda mengikut perlembagaan? Anda bukan penjawat awam?

Ambrim: Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sri Ram: Adakah anda menganggap anda memenuhi tanggungjawab itu?

Ambrin: Iya, saya lakukan.

Terdahulu Ambrin ditanya mengenai mesyuarat penyelarasan yang diadakan pada 24 Feb 2016 untuk membincangkan pindaan kepada laporan 1MDB berikutan arahan daripada Najib.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Januari depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ambrin kecewa laporan audit 1MDB dipersoal

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau kecewa apabila laporan audit 1Malaysia Development Berhad disediakan Jabatan Audit Negara (JAN) yang dimuktamadkan pada 2016 dipersoal.

Ambrin, 70, berkata kekecewaan itu dirasai semasa menghadiri mesyuarat penyelarasan pada 24 Februari 2016 yang diadakan di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Saya berasa sangat kecewa kerana banyak sebab. Semasa di bilik mesyuarat dengan orang berkenaan, terdapat banyak soalan berhubung laporan audit kami mengenai 1MDB yang pada masa itu dimuktamadkan.

“Kami bersedia mempertahankan laporan awal kami di prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB,” katanya.

Ambrin berkata demikian semasa pemeriksaan utama ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari keenam perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata pasukan JAN juga tidak senang untuk menghapuskan isu dari laporan audit akhir 1MDB kerana mereka menghabiskan banyak masa mencari maklumat yang diperlukan, malah memberi kelonggaran kepada 1MDB dengan memberi mereka masa untuk menjawab pertanyaan oleh JAN dalam menyediakan laporan.

“Kekecewaan lain adalah bahawa mereka (yang hadir), semasa mesyuarat, kadang-kadang tidak memahami peranan JAN. Sebenarnya, JAN melihat perkara berdasarkan fakta dan fakta ini mesti disahkan dengan dokumen sokongan,” katanya.

Terdahulu, rakaman audio mengenai mesyuarat 24 Februari 2016 yang melibatkan bekas pegawai kerajaan tertinggi termasuk KSN, Ketua Audit Negara dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB yang membincangkan laporan audit 1MDB itu dimainkan di mahkamah hari ini .

Kepada soalan berdasarkan kandungan rakaman audio itu, Ambrin berkata bekas KSN memberitahu kandungan laporan audit 1MDB boleh menjejaskan nama baik perdana menteri (Najib).

Foto BERNAMA

Sri Ram: Transkip rakaman… “kalau ada complaint, susah untuk kita defence Najib. His name will be tarnish…it will impact…Apa yang kamu faham tentang perenggan ini?

Ambrin: Kerajaan bimbang tentang kandungan laporan audit kami dan perlu dipinda. Kerajaan juga bimbang laporan itu akan berputarbelitkan oleh pembangkang.

Sri Ram: Ini adalah kenyataan khusus Ali, bagi pihak kerajaan. Nama siapa sebenarnya yang beliau lindungi? Ambrin menjawab: “PM Najib”.

Semasa ditanya sama ada beliau bimbang dengan laporan tersebut, Ambrin berkata beliau tidak bimbang dengan laporan tersebut, dan bersedia mempertahankan penemuan JAN mengenai 1MDB sebelum prosiding PAC.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Januari depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambrin: Hanya satu salinan asal laporan audit 1MDB disimpan

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mengarahkan semua salinan laporan audit asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilupuskan kecuali satu salinan disimpan.

Ambrin, 70, berkata salinan yang tidak dilupuskan itu diletakkan di bawah simpanan pegawainya iaitu Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad.

Beliau berkata laporan asal, yang dicetak sebanyak 60 salinan, tidak lagi boleh digunakan kerana Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mahukan perubahan dibuat.

“Selepas perbincangan dengan Arul Kanda, pasukan audit meminta kebenaran saya tentang perubahan yang boleh dibuat berdasarkan justifikasi bahawa ia diteliti secara terperinci.

“Oleh itu, laporan audit 1MDB Jabatan Audit Negara (JAN) yang sudah dicetak tidak lagi boleh digunakan kerana ada perubahan. Saya mengarahkan semua laporan audit 1MDB yang sudah dicetak dilupuskan kecuali satu untuk simpanan Nor Salwani.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria pada hari kelima perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

“Sebagai Ketua Audit Negara saya mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu walaupun dokumen itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Saya terima perakuan di bawah undang-undang. (Mengikut) Peraturan di bawah OSA, anda perlu dapatkan pensijilan dokumen pemegang OSA. Jadi saya boleh mengendalikan, menyimpan untuk kegunaan dalaman,” katanya.

Salinan tunggal laporan 1MDB yang asal dan tidak dilupuskan itu dijadikan sebagai bukti utama dalam perbicaraan itu.

Ambrin berkata perubahan kepada laporan audit itu dibuat berikutan maklum balas Arul Kanda dalam dua mesyuarat sebelumnya, pertama dengan Najib pada 22 Februari 2016 dan satu lagi pada 24 Februari 2016 dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan beberapa pegawai kerajaan lain.

“Mesyuarat bertarikh 24 Februari 2016 memberi tekanan pada JAN untuk mempertimbangkan pendengaran atau menerima maklum balas yang diberikan oleh pengurusan 1MDB walaupun tempoh masa yang panjang sudah diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata laporan audit asal itu tidak mengandungi maklum balas 1MDB kerana syarikat itu tidak pernah memberi maklum balas atas permintaan tersebut.

Ketika menjelaskan mengenai dapatan pengauditan oleh JAN, saksi berkata rumusan yang dibuat daripada laporan pengauditan 1MDB yang dijalankan oleh JAN, mendapati bahawa prestasi kumpulan syarikat 1MDB adalah kurang memuaskan kerana 1MDB menghadapi masalah hutang dan aliran tunai yang lemah dalam hanya enam tahun beroperasi.

“Selain itu, pengurusan tadbir urus 1MDB sangat lemah seperti tidak mematuhi arahan dan keputusan lembaga pengarah serta pelaburan-pelaburan yang besar dibuat tanpa penilaian terperinci.

“JAN mendapati bahawa cara perniagaan 1MDB bergantung kepada pinjaman di dalam dan luar negara sebenarnya merupakan bebanan kepada 1MDB. Ini adalah kerana pinjaman yang dibuat oleh syarikat itu adalah melebihi pendapatan 1MDB dan 1MDB tidak membuat keuntungan,” katanya.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sementara Arul Kanda, 43, diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Audit: Lapan Jabatan Selangor cemerlang kawal bajet dan perbelanjaan

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Laporan Ketua Audit Negara menyatakan lapan Jabatan Selangor berjaya mencapai tahap cemerlang bagi Kawalan Bajet dan Kawalan Perbelanjaan berdasarkan analisa Tahap Pematuhan Terhadap Kawalan Utama.

Pengerusinya, Tan Sri Ambrin Buang, berkata lima Jabatan mencatat tahap cemerlang bagi aspek Kawalan Pengurusan sementara satu pada tahap baik dan dua lagi memuaskan.

Tan-Sri-Ambrin-Buang1“Bagi Kawalan Terimaan, enam Jabatan berada pada tahap cemerlang dan dua Jabatan tahap baik.

“Aspek Kawalan Perolehan pula, satu Jabatan memperoleh tahap cemerlang, tiga baik, satu memuaskan dan tiga kurang memuaskan,” katanya.

Audit dalam penemuannya turut menyatakan empat Jabatan berada pada tahap cemerlang, tiga Jabatan baik dan satu kurang memuaskan Bagi Kawalan Pengurusan Aset Dan Stor.

“Antara kelemahan Jabatan yang mendapat tahap kurang memuaskan adalah Jawatankuasa Pengurusan Aset Alih Kerajaan tidak membincangkan agenda yang ditetapkan.

“Pegawai Penerima tidak dilantik untuk menerima dan mengesahkan aset dan barang-barang stor yang diterima.

“Harta modal dan aset bernilai rendah dibeli tidak didaftarkan dalam tempoh dua minggu.

“Daftar Harta Modal (KEW.PA-2) dan Daftar Aset Bernilai Rendah (KEW.PA-3) tidak diselenggarakan dengan kemas kini,” katanya.

Dari segi Pengurusan Wang Amanah atau Kumpulan Wang Amanah Dan Deposit, lima Jabatan berada pada tahap cemerlang, dua Jabatan tahap baik manakala satu Jabatan tidak terlibat dengan pengurusan amanah.

Empat Jabatan memperoleh tahap cemerlang, satu Jabatan tahap baik dan tiga yang lainmemuaskan bagi Kawalan Pengurusan Kenderaan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Audit umum Pejabat MB, SUK capai prestasi pengurusan kewangan terbaik 2015

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri muncul jabatan Selangor yang mencapai prestasi pengurusan kewangan terbaik pada 2015.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya bagi tahun 2015, Siri 1 turut menyenaraikan 13 lagi jabatan di negeri itu memperoleh prestasi pengurusan kewangan yang baik.

Tan-Sri-Ambrin-Buang1“Lima daripada jabatan itu mencapai tahap cemerlang dengan perolehan 90 markah ke atas sementara lapan pada tahap baik dan satu memuaskan.

“Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan Negeri memperoleh prestasi terbaik,” katanya dalam laporan penemuan Pengurusan Aktiviti atau Kewangan, jabatan atau agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015, Siri 1.

Selain Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, empat lagi jabatan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat turut mencapai tahap cemerlang.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memperoleh tahap memuaskan kerana wujud kelemahan ketara dalam Kawalan Pengurusan, Kawalan Perbelanjaan serta pengesahan penyata kewangan Sijil Ketua Audit Negara Berteguran telah dikeluarkan.

Katanya, hanya tujuh menunjukkan peningkatan prestasi pengurusan kewangan baik sementara tujuh yang lain menurun berbanding markah tertinggi tahun sebelum daripada prestasi pemarkahan 14 Jabatan atau Agensi Negeri itu.

BANGUNAN SUK“Pemarkahan bertambah baik berbanding tahun sebelum adalah Pejabat Menteri Besar Dan Setiausaha Kerajaan, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam, Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Langat, Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Pertanian Negeri Selangor serta Majlis Sukan Negeri Selangor.

Tujuh jabatan atau agensi negeri lain mencatat penurunan prestasi berbanding tahun sebelum adalah Pejabat Daerah Dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Pejabat Daerah Dan Tanah Hulu Selangor, Pejabat Daerah Dan Tanah Sepang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta Perbadanan Wakaf Selangor.

-nR-

Categories
NASIONAL

Konsert K-Pop: SPRM diminta siasat Shabery Cheek

jingga13

PUTRAJAYA 18 OKT : Jingga 13 membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut siasatan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek membabitkan kementerian itu ekoran yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata laporan berkenaan membabitkan isu pembiayaan RM1.6 juta untuk Konsert K-Pop Himpunan Jutaan Belia berjumlah RM87.61 juta dan akaun Majlis Sukan Negara berjumlah RM20 juta bagi wang tajaan syarikat swasta.

Fariz berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini mengesahkan bahawa KBS terpaksa membayar kos pembiayaan artis K-Pop berjumlah RM1.6 juta kerana banyak penaja gagal menyalurkan bantuan.

Shabeery sebagai menteri bertanggungjawab ketika itu pula mendakwa konsert terbabit dibiayai penaja melalui akaun Majlis Sukan Negara (MSN) dan beliau turut bertindak memperlecehkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, sebagai ‘culas’ dalam menyediakan laporan berkenaan.

“Apa yang menimbulkan persoalan ialah percanggahan fakta antara Khairy dan Shabery berkenaan isu terbabit. Sehingga kini, kami masih menantikan jawapan siapa yang benar dan bohong?,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kata Fariz, beliau turut mempertikaikan perbelanjaan melampau membabitkan RM67.61 juta bagi acara Hari Belia Negara 2012 yang memerlukan satu siasatan oleh SPRM.

“SPRM dan Jabatan Audit Negara harus berganding bahu menggunakan peruntukan undang-undang bagi mendakwa mereka yang terbabit ke muka pengadilan. Jingga 13 turut mendesak Perdana Menteri menggantung tugas Shabery dengan segera,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Laporan audit: Kerajaan BN hanya beri surat teguran tanpa tindakan

audit 2012

SHAH ALAM 10 OKT: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan menyeluruh berikutan ketirisan dalam Laporan Audit Negara 2012 bagi mengelakkan ‘terlepas pandang’.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga tidak menolak pembabitan ramai pihak terlibat dalam isu itu dan mahu Kerajaan Pusat tidak bertoleransi terhadap pesalah.

“Rakyat tidak boleh terima jika setiap tahun kecewa dengan Laporan Audit, dapat tahu ada pelbagai skandal.

“Mengapa berlaku setiap tahun, kata bekerja keras tapi masih berlaku. Soalan ini ada dalam fikiran ramai.

“Jawapan hanya sama. Saya pernah lima tahun berada dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), rumusannya mereka tiada azam untuk atasi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar bertajuk Laporan Audit: Tiris atau Terlepas pandang yang turut disertai Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohammed.

Setakat ini, Tony berkata, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan tegas untuk mengatasi masalah ketirisan, lebih-lebih lagi dalam jabatan kerajaan.

“Bila ditanya mengenai tindakan, 95 peratus jawapan hanya beri surat teguran.
Kalau tiada tindakan sampai bila-bila mereka tetap cuai. Kalau tidak ambil tindakan, mungkin juga ketua jabatan terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan menyeluruh agar pesalah dihukum dan dijadikan contoh kepada pihak lain.

Categories
NASIONAL

KPN perlu dihadap ke Jawatankuasa Khas Ketua Audit Negara

Audit-Polis

SHAH ALAM 9 OKT : Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberi penjelasan tentang kehilangan senjata api dan aset polis, bukannya menjadi anggota jawatankuasa berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara ini penting kerana Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menafikan bahawa polis memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan 44 pucuk senjata api dan aset polis lain.

“Ambrin menyangkal beberapa laporan menyebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa satu laporan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara berkenaan barangan polis yang hilang tetapi penjelasan dalam laporan tersebut tidak dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Atas sebab ini, Ketua Polis Negara perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas untuk memberi penjelasan penuh dan memuaskan tentang kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kit Siang berkata, adalah sesuatu yang menggusarkan kerana tiada tanda Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ingin memanggil KPN untuk memberi penjelasan tentang kehilangan aset polis itu.

“Agak menghairankan mengapa PAC tidak menyenaraikan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta sebagai salah satu perkara yang perlu segera disiasat.

“Sedangkan orang awam mengharapkan perkara ini diberikan keutamaan dalam senarai siasatan oleh PAC,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perkembangan Islam di Selangor menakjubkan – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 09102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Tokoh Pendakwah Selangor 2013 menyifatkan perkembangan Islam di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebagai menakjubkan berikutan kerancakkan penganjuran program-program bercorak keagamaan di negeri ini.

2. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumumkan semua pengguna kenderaan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak akan dikenakan caj bayaran tempat kereta awam pada Khamis ini sempena Ulang Tahun Ke-13 diisytiharkan sebagai bandar raya.

3. Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang tampil menjelaskan perbelanjaan kontroversi, RM1.6 juta oleh Kemeneterian Belia dan Sukan untuk konsert K-Pop tahun lepas, sememangnya ditanggung oleh kerajaan.

Categories
NASIONAL

Jawatankuasa khas perlu ditubuh siasat kehilangan senjata api

Audit-PolisKUALA LUMPUR 2 OKT: Pakatan Rakyat mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menilai Laporan Ketua Audit Negara.

Jawatankuasa ini perlu dianggotai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Ia dizahirkan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali susulan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang mendedahkan terlalu banyak ketirisan terutama melibatkan polis.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, anggota perkhidmatan awam tidak boleh dipersalah secara keseluruhan berhubung kehilangan pelbagai peralatan dalam simpanan polis.

“Pakatan menegaskan perkara ini dihenti dengan membentuk jawatankuasa khas untuk melihat secara terperinci Laporan Ketua Audit Negara.

“Kalau ada keperluan mereka yang bertanggungjawab terus dibawa ke muka pengadilan,” katanya di lobi Parlimen.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan polis merekod 309 barangan dalam bentuk senjata api, gari dan kenderaan, hilang.

Ia berlaku antara 2010 hingga 2012, melibatkan kerugian RM1.33 juta melibatkan kehilangan gari sebagai kes paling tinggi iaitu 156, diikuti senjata api (44) dan kenderaan polis (29).

– FZL