Categories
SELANGOR

Denggi terus menurun, Selangor komited perangi aedes

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 MEI: Statistik kes demam denggi terus memperlihatkan trend penurunan dari minggu ke minggu walau terdapat kebimbangan apabila bermulanya musim hujan, baru-baru ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata sepanjang tahun ini, catatan kes daftar minggu ini (21 Mei) adalah yang terendah iaitu 700 kes yang direkodkan berbanding 1301 kes bagi epid ke-11.

DAROYAH DENGGI“Terima kasih kepada setiap seorang daripada kita atas kesedaran dan rasa tanggungjawab masing-masing memastikan persekitaran bebas dari tempat yang mampu membiak Aedes.

“Kita tidak mampu membenteras masalah ini jika ia diletakkan hanya di bahu pihak berkuasa. Kalau bukan kita siapa? Jangan sampai ada yang menderita kerana kita.

“Terus sebarkan kesedaran kepada semua ahli keluarga, sahabat handai, jiran dan masyarakat berkenaan bahaya membiarkan tempat pembiakan ini terus ada di persekitaran kita,” katanya menerusi laman sosialnya Facebook.

Dr Daroyah berkata, Kerajaan Negeri akan terus komited dan memantau terutama dalam dua minggu terdekat selain menasihatkan masyarakat terus prihatin serta berwaspada terhadap tahap kebersihan persekitaran masing-masing.

Katanya, semua medium yang berpotensi untuk pembiakan aedes perlu dihapuskan daripada persekitaran rumah dan premis masing-masing.

13239249_10206504517672073_2055745030972326319_n“Bagaimanapun, musim hujan yang tiba sedikit menggusarkan kerana dijangka akan menyebabkan telur nyamuk Aedes yang selama ini pasif pada cuaca kering akan menetas dengan banyak dan menjadi jentik-jentik dengan adanya air bersih yang bertakung terutama akibat hujan.

“Telur nyamuk akan menetas menjadi jentik-jentik dan dalam masa tujuh hari ia akan menjadi nyamuk dewasa yang membawa virus denggi.

“Telur nyamuk yang boleh bertahan selama enam bulan walaupun dalam cuaca panas dijangka akan menetas dengan banyaknya dan dijangka akan menyebabkan angka kes denggi meningkat jika tiada langkah pencegahan serta kawalan yang optimum diambil semua pihak khususnya diri-sendiri,” katanya.

Untuk rekod, epid ke-14 sebanyak 1189 kes direkodkan dan terus menurun ke epid 15 (1137), epid ke-16 (929), epid ke-17 (892), epid ke-18 (781), epid-19 (732) dan epid ke-20 (700) kes.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.