Categories
NASIONAL

Mesyuarat Majlis Presiden bincang calon PAKATAN dalam PRK

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mengadakan mesyuarat bagi mencapai kata sepakat dalam beberapa isu berbangkit termasuk berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata mesyuarat di bangunan Parlimen esok itu adalah perbincangan berterusan parti dalam gabungan terbabit.

SHAMSUL ISKANDAR“Kita harap satu rumusan dapat dibuat dalam mesyuarat ini khususnya perkara menyentuh PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Perkara berkenaan calon, pendirian kita jelas berkehendakkan satu lawan satu yang mana kita mahukan kemenangan khususnya di Sungai Besar,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata, PAKATAN akan meletakkan calon dalam kedua PRK dan sama ada calon dari KEADILAN juga tidak timbul kerana ia kesepakatan semua parti.

Katanya, mesyuarat Majlis Presiden juga tidak akan terburu-buru bagi membuat keputusan kerana tempohnya masih panjang.

“Tidak semestinya mesyuarat esok membuat keputusan kerana kita mempunyai masa lama sehingga 5 Jun nanti.

“Kita juga masih terus berbincang dengan PAS, Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dalam kenyataannya beberapa hari lalu menyatakan perkara ini sedang berjalan,” katanya mengulas cadangan PAS meletakkan calon dalam PRK di kedua kawasan itu.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.