Categories
SELANGOR

Hampir kejutkan JDT, semangat melawan PKNS FC tinggi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MEI: Semangat tidak mudah mengaku kalah ditunjukkan PKNS FC ketika berdepan cabaran getir Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi akhir Piala FA, malam tadi.

Perlawanan diadakan di Stadium Shah Alam, di sini yang berlangsung meriah dengan aksi membanggakan dari kedua pasukan, bagaimanapun The Red Ants terpaksa akur apabila ditundukkan Harimau Selatan 2-1.

Ketua pasukan, Gonzalo Soto, berkata pemain turun dengan semangat juang tinggi dan melakukan segalanya bagi menyaingi kehebatan JDT yang diakui pasukan gergasi tanah air kini.

PKNS FC“Pasukan berusaha gigih bagi memenangi perlawanan tetapi JDT membuktikan kejaguhan dan layak menjuarainya.

“Apa pun kita berhak berbangga sebagai pasukan dari Liga Perdana untuk beraksi dalam perlawanan akhir ini,” katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan akhir itu, JDT menjuarainya menerusi gol dijaringkan ketua pasukan, Safiq Rahim hasil sepakan penalti pada minit ke-15 dan Jorge Rolandopereyra Diaz (m35) bagi menafikan pendahuluan PKNS FC dilakukan Gabriel Miguel Geurra (m5, penalti).

Sementara itu, Safiq berkata, kejayaan JDT muncul juara Piala FA amat mengujakan dan berharap ia memberi motivasi untuk memburu kejayaan seterusnya pada masa depan.

“Kejuaraan malam ini diharap tidak berhenti di sini dan kita mahu terus mencipta sejarah dengan kejayaan lain selepas ini.

“Kita akan memandang ke depan dengan cabaran seterusnya,” katanya.

Katanya, JDT memiliki pakej dengan dibarisi pengurusan dan tenaga kejurulatihan baik serta pemain berkualiti mampu terus mencipta kejayaan seperti disasarkan.

“Ini kita perlukan dalam pasukan dan tidak mustahil JDT akan terus cemerlang selepas ini.

“Saya ingin terus meningkat dengan bantuan semua serta berharap mengecap lebih banyak kejayaan dalam kerjaya,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.