Categories
SELANGOR

Karnival Pendidikan LZS tawar asnaf lanjut pelajaran

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MEI: Pelajar asnaf lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi diberi peluang melalui Karnival Pendidikan 2016 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS dalam satu paparan di Facebook berkata, karnival yang berlangsung di Kolej SEGi lalu mensasarkan anak asnaf yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan antara tiga kredit dan ke bawah.

Katanya, sebanyak 26 buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institut kemahiran awam dan swasta (ILKA/S) terlibat membuka peluang.

DSC_7245“Pelajar asnaf ini diberi peluang berinteraksi dan didedahkan berkenaan bidang pengajian bersesuaian dengan minat mereka.

“Panel IPTS dan ILKA/S LZS menawarkan pelbagai jenis kursus berasaskan kemahiran dan industri yang sesuai dengan minat dan keputusan peperiksaan diperolehi,” katanya pada 7 Mei lalu.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Universiti SEGi, Tan Sri Datuk Seri Megat Najmuddin; Presiden Kumpulan Universiti dan Kolej SEGi, Datuk Seri Dr. Megat Khas dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

Sehingga April 2016, seramai 5,036 mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di pelbagai IPTA/S dan ILKA/S dibiayai LZS.

Mereka disantuni menerusi Program Pembangunan Pendidikan yang menyalurkan pelbagai bantuan zakat bagi melahirkan ‘generasi kedua, generasi cemerlang’ dalam kalangan anak asnaf fakir dan miskin.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.