Categories
SELANGOR

Kebajikan mualaf terus diberi perhatian

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MEI: Golongan mualaf terus diberikan perhatian Kerajaan Negeri melalui peruntukan disediakan melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memastikan kebajikan golongan itu tidak dipinggirkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari, berkata Kerajaan Negeri sentiasa prihatin membantu golongan itu yang kebanyakan tergolong dalam kategori mualaf asnaf.

IMG_7268“Dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Saudara Baru Keturunan India (SAUBAKI) dan MAIS, kita membantu membimbing mereka ke jalan benar.

“Selain itu, peranan masyarakat itu sendiri perlu menunjukkan tauladan baik sebagai umat Islam dengan memberikan kefahaman bahawa Islam itu indah dan sesuai dengan fitrah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Program Ijtima’ Ramah Mesra Saudara Kita Peringkat Selangor anjuran Persatuan Ehsan Saudara Baru Berketurunan India Selangor (SAUBAKI).

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Ahmad Shahir Makhtar, berkata MAIS menyediakan pelbagai kursus dan program bagi memberikan bimbingan berterusan kepada golongan itu.

“Terdapat beberapa fasa dilaksanakan MAIS antaranya Kursus Asas Mualaf yang menjelaskan perkara seperti wudhu, solat, mandi wajib dan seterusnya membuat praktikal dengan dipantau tenaga pengajar.

“Peringkat seterusnya kita menganjurkan kelas fardhu ain mualaf di setiap daerah dalam membangunkan jati diri dan menjelaskan lebih mendalam perkara wajib,” katanya.

Lebih menarik, selain kelas dianjurkan adalah percuma, MAIS turut memberikan elaun RM50 kepada golongan itu untuk menarik mereka hadir ke kelas.

MAIS juga turut mengadakan kursus lanjutan kepada mualaf bagi mengukuhkan kefahaman dan menghayati ajaran Islam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.