Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS tanggung kos ubat mualaf dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 19 OGOS: Seorang mualaf yang juga asnaf fakir yang dijangkiti Covid-19 disantuni Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan menanggung kos ubat yang diperlukan untuk merawatnya.

Agensi berkata lelaki terbabit yang kini dirawat di Hospital Serdang memerlukan ubat tersebut bagi mencegah pembekuan darah akibat kepekatan yang melampau dan merawat trombosis urat dalam.

“Tindakan pantas diambil dengan kaedah mencari ubat tersebut di kedai farmasi swasta. Keluarga beliau yang bukan beragama Islam juga membantu dalam mencari ubat ini.

“Alhamdulillah akhirnya ubat tersebut berjaya diperolehi walaupun harganya agak mahal dan ubat terus dihantarkan ke hospital untuk kegunaannya,” katanya menerusi Facebook.

LZS menjelaskan Skuad Saidina Umar (SSU) terpaksa mendapatkan ubat khas jenis “rivaroxaban” di farmasi luar kerana farmasi hospital kehabisan stok.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rela hati peluk Islam, gadis mualaf dibantu dapat didikan agama

SHAH ALAM, 28 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menempatkan seorang mualaf di rumah kebajikan berasrama untuk mendapat didikan agama dan arus perdana sebaiknya.

Agensi berkenaan dalam kenyataan berkata gadis berusia 15 tahun itu memeluk Islam secara rela hati dengan hadir ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat bersama ibunya pada Mac lalu.

“Hari ini LZS bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membawa gadis ini ke Rumah Bakti Al Kausar Bangi yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor dan JKM.

“Mohon doakan kami agar dapat menyantuni dia sebaiknya dan doakan juga agar akidahnya terpelihara sehingga hujung nyawa,” kata institusi itu di Facebook.

LZS menjelaskan gadis tersebut dibesarkan dalam serba kekurangan dan keputusannya memeluk Islam mendapat tentangan adik-beradik yang lain.

“Dia hanya bersekolah hingga tahap sekolah rendah sahaja kerana kekurangan kewangan ibunya dan motivasi untuk bersekolah yang rendah dipengaruhi suasana sekeliling,” kata agensi itu lagi.

LZS mengagihkan bantuan zakat secara berkala bagi kelangsungan hidup golongan tersebut termasuk ketika musim perayaan.

Agensi itu turut menyediakan biasiswa buat mualaf yang ingin menyambung pengajian dalam pelbagai bidang ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, LZS juga menubuhkan Baitus Salam sejak 2019, khusus untuk menyediakan penempatan asnaf mualaf yang memerlukan.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS bimbing saudara baru ilmu asas Islam

SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 70 asnaf mualaf negeri ini menyertai kursus bimbingan dan kepimpinan bagi mendapatkan ilmu asas berkaitan Islam.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata latihan di Baitul Hikmah baru-baru ini meliputi Kursus Bimbingan Asas Mualaf (KBAM) dan Kursus Kepimpinan Mualaf.

“Dengan objektif berbeza, KBAM bertujuan memberi ilmu asas berkaitan Islam kepada saudara baru dan menyasar pengislaman baru.

“Sementara Kursus Kepimpinan Mualaf pula bagi melahirkan rakan dakwah,” kata agensi itu dalam kenyataan di Facebook.

LZS menambah kebanyakan peserta bersyukur dan teruja atas penganjuran kursus terbabit yang tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Semoga kursus ini terus memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan sama ada aspek material atau emosi. Terima kasih pembayar zakat. Zakat membantu mereka untuk terus membangun,” katanya.

Pendaftaran kursus boleh dibuat melalui pautan http://bit.ly/daftarkfam.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Zakat Selangor santuni suami isteri mualaf, OKU

SHAH ALAM, 9 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menziarahi dan menyantuni sepasang suami isteri mualaf bagi meneliti bentuk bantuan asnaf yang akan disalurkan.

Agensi berkata Umar Abdullah dan Siti Aisyah Abdullah yang menetap di Hulu Selangor memeluk Islam sejak Januari tahun lalu.

“Umar yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal terus gigih mengusahakan perniagaan cucian kereta dibantu isterinya.

“LZS hadir bagi mengemas kini maklumat dan menyemak keperluan Umar dan keluarga agar dapat terus disantuni oleh pihak zakat,” tulisnya di Facebook.

Agensi juga mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat kerana wang yang disalurkan dapat membantu mereka yang memerlukan.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Giat bantu mualaf, dulu pemabuk kini pendakwah

Muhammad Roger Arnold Abdullah masak benar dengan kepayahan kehidupan ketika mula-mula memeluk Islam. Beliau sedar mualaf mudah goyah sekali gus terdedah untuk patah balik kepada agama asal. Beliau juga mengalaminya. Lebih-lebih lagi, sedari kecil diasuh keluarganya untuk menjadi paderi.

Justeru, waima sedikit musibah mudah ditafsir sebagai pembalasan kerana tukar agama. Kebetulan tidak lama selepas memeluk Islam, Muhammad Roger diisytihar muflis. Rumah dan keretanya ditarik bank. Isterinya pula terlantar di hospital lapan bulan lamanya akibat penyakit thyroid storm. Beliau sendiri tiada pekerjaan.

“Keluarga yang tidak senang apabila saya memeluk Islam kata semua terjadi itu disebabkan tindakan saya membelakangkan agama sebelum ini dan sedang dihukum,” katanya mengenang kembali saat-saat sukar selepas menganut Islam pada 2013.

Teguran wanita berniqab

Namun, beliau cekal. Tetap pendirian. Malah Muhammad Roger, nama asal Roger James Arnold, menganggap dugaan itu sebagai ujian, mungkin juga balasan terhadap dosa-dosanya sebelum ini. Apatah lagi, beliau sebelum Islam, seorang pemabuk.

Pernah, setiausaha syarikatnya memarahi beliau kerana terlalu mabuk hingga terpaksa dijemput dari rumah orang lain untuk dibawa menghadiri mesyuarat penting. Bebelan wanita itu kukuh dalam ingatannya. Sejak itu, beliau mula mengurangkan pengambilan minuman keras biarpun ketagihan menggelitik terutama saat berdepan tekanan kerja.

Muhammad Roger Arnold Abdullah bersama keluarga yang banyak menyokong usahanya menyebar dakwah

Beliau juga mula tahu sedikit sebanyak perihal Islam. Dulu, ungkapan “Assalamualaikum” pun dicurigainya hingga menyemak maksudnya melalui internet. Paling banyak pengetahuannya mengenai selok-belok Islam diketahuinya melalui setiausahanya yang berniqab, kini telahpun menjadi isterinya.

Hasratnya untuk berdakwah mula meluap-luap sejak mengenali Mercy Mission Malaysia secara kebetulan. Dari situ beliau mendalami pengetahuan agama, malah turut mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Saya tidak tahu pun yang saudara baharu seperti saya ada disediakan bantuan. Saya buat keputusan untuk memperhebatkan dakwah,” katanya.

Beliau bertekad agar tiada lagi mualaf mengulangi kepayahan yang dialaminya dulu. Muhammad Roger juga menanam azam supaya tidak mahu saudara baharu kembali kepada agama asal kerana kurangnya pedoman, jarangnya bantuan. Beliau tidak mungkin lupa kesusahannya dahulu. Bukan mudah untuk kekal pendirian agama jika tiada kecekalan hati.

Bantu mualaf

Justeru, Muhammad Roger menubuhkan syarikat supaya dapat menjana pendapatan dan pada masa sama membantu orang lain sejak 2015. Dianggarkan, seramai 3,000 keluarga asnaf dibantu melalui Inspirasi Mualaf Services. Beliau turut terlibat mengislamkan 150 orang.

Inspirasi Mualaf Services membantu seramai 3,000 keluarga asnaf selain terlibat mengislamkan 150 orang

“Syukur semuanya dipermudahkan. Kita jana pendapatan dengan menjual kemeja-T dakwah yang terjual lebih 10,000 helai, minyak angin dan memiliki restoran.

Inspirasi Mualaf Services adalah sebuah syarikat yang menjana pendapatan untuk menampung kerja dakwah dan bantuan Persatuan Inspirasi Mualaf.

Ketika penularan Covid-19, beliau juga membantu 500 keluarga dengan menyerahkan makanan asas selain membangunkan rumah perlindungan untuk orang kelainan upaya dan warga emas mualaf di Sabak Bernam.

Kesungguhan Muhammad Rogers membantu masyarakat mendapat pujian ramai bahkan beliau-akhirnya- menjadi kebanggaan keluarganya meski mereka masih berbeza kepercayaan.

Categories
AGAMA SELANGOR

Mualaf dihalau dapat perhatian LZS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 17 JAN: Kisah sebuah keluarga mualaf yang tular di media sosial, baru-baru ini ekoran tiada tempat berteduh mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Jurucakap LZS dalam kenyataan berkata, pihaknya bersama Amil Kariah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat menemui keluarga terbabit di sebuah rumah keluarga India, di Bandar Rinching, di sini, setelah seharian usaha pencarian dijalankan.

“Sejak kisah mereka ditularkan di media sosial, usaha mencari giat dilakukan, namun keluarga ini gagal dikesan.

“Atas rasa tanggungjawab dalam memastikan mereka sekeluarga terbela, usaha mencari tetap diteruskan,” katanya.

Difahamkan, keluarga berkenaan dihalau keluar pemilik rumah yang didiami sebelum ini sehingga terpaksa berteduh di salah sebuah pusat hentian, di sekitar kawasan ini.

LZS berkata, keluarga terbabit dipindahkan ke rumah transit milik LZS yang lebih selesa bagi memastikan akidah mereka terus terbela dan terjaga.

“Semoga dengan usaha dan bantuan ini dapat memastikan keselamatan keluarga ini terus terjamin dalam usahanya mendalami agama Islam yang indah,” katanya.

Categories
SELANGOR

PKNS sumbang RM50,000 perkasa mualaf

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan sumbangan RM50,000 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi pembangunan mualaf, di negeri itu menerusi Program Pengkaderan ‘Mualaf Training The Trainer Course (TTC) 201’.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, sumbangan itu antara inisiatif tanggungjawab sosial kroporat (CSR) perbadanan terbabit untuk melatih dan melahirkan generasi pendakwah dalam kalangan mualaf.

Beliau berkata, pihaknya yakin JAIS mampu membantu PKNS menyalurkan sumbangan wang zakat bagi mualaf yang memerlukan bantuan dan sokongan dari segi kewangan, pendidikan mahupun pembangunan insan.

“Saya difahamkan sumbangan disampaikan ini akan digunakan sepenuhnya untuk program TTC 201 yang julung kali diadakan bagi membantu pengukuhan institusi mualaf dengan melahirkan kader atau pelatih bertauliah dan mampu berdakwah, terutama kepada golongan yang masih belum memeluk Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan PKNS dan Perasmian Program Pengkaderan ‘Mualaf Training The Trainer Course 201’, di Hotel Grand Blue Wave, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Siti Zubaidah berkata, program TTC 201 terbahagi kepada dua sesi, iaitu pada 4 hingga 6 Mei dan 29 Jun hingga 1 Julai membabitkan 30 peserta daripada bangsa Cina, India serta beberapa etnik Sabah juga Sarawak yang memeluk Islam.

Katanya, program itu adalah landasan bermanfaat dengan mengumpulkan saudara baru berbilang kaum yang akan dilatih untuk menjadi pendakwah bagi mendekatkan diri dengan sahabat bukan Islam.

“Saya juga berharap sumbangan disampaikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan bersama, sekali gus menyemarakkan semangat kami untuk terus menyumbang kepada masyarakat di Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Beri ruang dan peluang kepada mualaf

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Penerima Anugerah Tokoh Saudara Kita sambutan Maal Hijrah 1439H, Adam Corrie Lee Abdullah, 49, mengharapkan masyarakat memberi lebih ruang dan peluang kepadanya untuk menjadi muslim lebih baik.

Selebriti yang lebih dikenali dengan lakonan filem aksi itu mengakui menyimpan hasrat untuk mengislamkan lebih ramai orang, pada masa akan datang selain dapat mendalami lebih banyak ilmu berkaitan Islam.

“Cabaran saya mengharapkan masyarakat menerima saya seadanya. Jangan mendesak dan pandang serong kepada saya. Beri saya peluang, ruang dan bimbinglah saya menjadi mualaf lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Selangor di Masjid Negeri, semalam.

Beliau berkata, aktiviti ibadah umrah secara percuma yang diberikan kepada mualaf kurang lima tahun serta berpendapatan RM1,200 menerusi pertubuhan Kembara Iman Malaysia membawa dirinya dipilih selaku penerima anugerah.

Adam Corrie berkata, sejak mula dilangsungkan pada 2015 dan 2016, hampir 70 mualaf sudah dibawa mengerjakan umrah di Tanah Suci secara percuma.

Beliau melafazkan syahadah pada 13 Julai 2007 ketika berusia 39 tahun dan mula mempelajari Islam di Puchong atas bimbingan Ustaz Zawawi.

Beliau kemudian bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga dengan Fazima Fuad yang banyak memberikan bimbingan kepadanya, setahun kemudian.

Adam Corrie juga merupakan Presiden Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, Kembara Iman Malaysia dan Persatuan Usrah Fitrah selain memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Koperasi Permodalan Mualaf.

Buku terbitan beliau pada 2015, ‘Ada Iman, Baru Syok, Ada Fight’ sudah dicetak sebanyak empat kali selain menjadi penulis tetap kolum edisi Ahad di Akhbar Metro, setiap minggu.

Categories
SELANGOR

Kebajikan mualaf terus diberi perhatian

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MEI: Golongan mualaf terus diberikan perhatian Kerajaan Negeri melalui peruntukan disediakan melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memastikan kebajikan golongan itu tidak dipinggirkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari, berkata Kerajaan Negeri sentiasa prihatin membantu golongan itu yang kebanyakan tergolong dalam kategori mualaf asnaf.

IMG_7268“Dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Saudara Baru Keturunan India (SAUBAKI) dan MAIS, kita membantu membimbing mereka ke jalan benar.

“Selain itu, peranan masyarakat itu sendiri perlu menunjukkan tauladan baik sebagai umat Islam dengan memberikan kefahaman bahawa Islam itu indah dan sesuai dengan fitrah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Program Ijtima’ Ramah Mesra Saudara Kita Peringkat Selangor anjuran Persatuan Ehsan Saudara Baru Berketurunan India Selangor (SAUBAKI).

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Ahmad Shahir Makhtar, berkata MAIS menyediakan pelbagai kursus dan program bagi memberikan bimbingan berterusan kepada golongan itu.

“Terdapat beberapa fasa dilaksanakan MAIS antaranya Kursus Asas Mualaf yang menjelaskan perkara seperti wudhu, solat, mandi wajib dan seterusnya membuat praktikal dengan dipantau tenaga pengajar.

“Peringkat seterusnya kita menganjurkan kelas fardhu ain mualaf di setiap daerah dalam membangunkan jati diri dan menjelaskan lebih mendalam perkara wajib,” katanya.

Lebih menarik, selain kelas dianjurkan adalah percuma, MAIS turut memberikan elaun RM50 kepada golongan itu untuk menarik mereka hadir ke kelas.

MAIS juga turut mengadakan kursus lanjutan kepada mualaf bagi mengukuhkan kefahaman dan menghayati ajaran Islam.

EZY

Categories
SELANGOR

Islam bukan penghalang hubungan keluarga

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 JUL: Memeluk agama Islam tidak pernah menjadi sebab sesuatu hubungan kekeluargaan perlu diputuskan kerana ia mengajar untuk menyayangi sesama manusia.

Bagi Aina Safiyah Mujah, 21, Islam mendekatkan lagi hubungan kekeluargaannya bersama ibu bapa dan enam beradik lain.

aina safiya aAina berkata, dua abangnya turut memilih Islam sebagai pegangan hidup berbanding agama Kristian.

“Keluarga tidak kisah, bahkan sebelum masuk Islam saya sendiri ada cuba berpuasa dan mereka tiada halangan.

“Walaupun ada perbezaan pegangan, kami sentiasa meraikan perayaan bersam termasuk Aidil Fitri,” katanya pelajar kolej di Puchong ini.

Sementara itu, Farah Lee atau nama sebenarnya Lee Kim Choo pula berkata, Islam adalah agama yang damai dan mudah serta berkuasa mengeratkan hubungan sesama insan.

“Sebelum ini, ramai fikir masuk Islam perlu tukar nama, namun sebenarnya tidak perlu kerana ia boleh kekal selagi maknanya baik.

muallaf cina a“Hal ini kerana kita dapat tahu asal usul keturunan dan pelihara keluarga melalui nama.

“Jika ini dikekalkan, maka tiada sebab hubungan keluarga akan retak dengan memasuki Islam,” katanya yang hampir lima tahun bergelar Muslimah.

Usahawan wanita itu mula berminat dengan Islam ketika menceburi perniagaan berasaskan produk halal.

Beliau kemudian menyertai kelas fardhu ain bagi mendalami Islam sebelum membuat keputusan menganuti agama itu.

-NFN-

Categories
AGAMA

Walau bertatu Richard Ngumbang cekal ke masjid

Oleh Naeem Raffi
Gambar Asri Sapfie

 

SEJAK belasan tahun Richard Ngumbang Anak Pillip, seorang pemuda Iban dari Kampung Tutus Batang Igan, Sibu, Sarawak, sudah mencacah tubuh termasuk tangannya dengan tatu.

Ini kerana bertatu adalah tradisi suku Iban iaitu masyarakat Dayak terbesar di Sarawak.

IMG_3313aIa sebenarnya melambangkan identiti dan status yang mengkelaskan kedudukan kumpulan masyarakat atau sesuatu kaum.

Namun, Islam menegah umatnya bertatu dan mengkelaskan budaya seumpama itu. Ia berdasarkan hadis sahih:

“Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan menerusi muzakarahnya pada 2009 secara jelas memutuskan, hukum pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu dari kalangan umat Islam adalah haram.

Hal itu sedikit sebanyak ia merisaukan Richard Ngumbang yang baru memeluk Islam Februari lalu.

Namun, beliau tetap cekal beribadah.

Malah, kerap solat berjemaah di masjid sekalipun berdepan kemungkinan ibadahnya dipertikai segelintir umat Islam yang tidak mahir hukum hakam lantaran tatunya.

“Saya harap keadaan saya (bertatu) ini tidak dipersoal umat Islam khususnya ketika berjemaah di masjid. Jika ada pertanyaan mengenai tatu ini, saya bersedia menjelaskannya,” katanya.

IMG_3317a (1)Richard Ngumbang melafaz kalimah memeluk Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam upacara ringkas seusai solat Jumaat, Februari lalu.

Proses pengIslaman itu diketuai Pegawai Pemudahcara dan Perhubungan dari Islamic Outreach ABIM (IOA), Khalid Abdul Samad.

Dalam soal tatu, Khalid berkata mualaf bertatu sebelum memeluk Islam bukan suatu kesalahan di sisi Islam dan tidak wajar dihukum kerana mereka belum Islam ketika melakukan ‘dosa’ itu.

“Contoh, Saidina Umar pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup sebelum pengIslamannya. Selepas memeluk Islam, kesalahan itu tidak dihukum. Sama seperti isu mualaf bertatu ini,” katanya.

Mengikut Khalid, orang Islam sekalipun bukan mualaf yang bertatu tetapi menyesal dan bertaubat dari perbuatan itu tetapi tidak berupaya menghilangkannya dengan cara selamat, tetap boleh melakukan ibadat.

Ternyata, Islam itu agama yang mudah. Tidak memberatkan umatnya bersesuaian dengan fitrah manusia baik dalam hal aqidah, syariat, ibadah, muamalah, kehidupan mahupun hukuman.

Dalam erti kata lain, Islam bukan agama yang menyulitkan umatnya sepertimana firman Allah s.w.t

“.. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..” (surah al-Baqarah ayat 185)

tgk masuk islam a (1)Dan, inilah antara faktor yang menambat hati Richard Ngumbang kepada Islam.

Kesederhanaan dalam semua aspek dan gaya hidup membuatkan beliau tertarik untuk memeluk Islam.

“Tidak kira mereka senang atau dalam musibah, semuanya dirujuk kepada Allah dengan berdoa selepas solat.

“Bila saya tanya, jawapan mereka: Allah sentiasa ada untuk kita dalam apa jua keadaan dan doa adalah usaha terakhir selepas kami berusaha,” katanya.

Pesanan itu teguh di hati Richard Ngumbang atau nama Islamnya, Amizan seiring langkahnya ke masjid walau tatu masih di tubuh.