Categories
KENYATAAN MEDIA

Kebebasan media tonggak terpenting demokrasi

OLEH : MOHAMED AZMIN ALI

Kebebasan media merupakan salah satu tonggak terpenting kepada demokrasi. Tanpa media yang bebas, demokrasi akan tempang dan lumpuh.

Media yang bebas akan melaporkan kebenaran yang berlaku dalam masyarakat, mendedahkan kepura-puraan dan kezaliman penguasa durjana serta menyediakan wahana untuk perdebatan dan percambahan idea.

Azmin AliApabila media dibungkam, maklumat yang sahih sukar diperolehi untuk rakyat membuat pendirian dan keputusan yang saksama.

Sebaliknya, yang akan berleluasa adalah pembohongan yang disaluti dengan basa-basi dan eufemisme. Fikiran rakyat akan terpasung, jumud dan seterusnya hilang kreativiti.

Bagi pemerintah autoritarian tiada yang lebih mereka takuti dari kebenaran dan maklumat yang sahih kerana kebenaran dan maklumat tersebut akan membebaskan minda rakyat dan mendedahkan kepada mereka kepincangan dan kedurjanaan pemerintah.

Maka tidak hairanlah mengapa pemerintah yang tidak demokratik dan mengamalkan dasar kuku besi memusuhi kebebasan media.

Sejarah membuktikan bahawa perjuangan untuk membangun sebuah demokrasi yang matang dan adil sudah barang tentu melibatkan perjuangan membangun media yang bebas, adil dan bertanggungjawab.

Cadangan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyekat blog dan portal berita bercanggahan dengan semangat kebebesan akhbar dan perlu ditentang.

Justeru itu setiap demokrat sejati adalah rakan setia kepada wartawan yang berjiwa merdeka dan media yang bebas lagi bertanggungjawab.

Hari ini (3 Mei) adalah tarikh keramat bagi pengamal media dan aktivis kewartawanan yang cekal berpegang kepada prinsip kebebasan akhbar.

Laporan terbaharu Wartawan Tanpa Sempadan menyatakan cabaran yang semakin getir dihadapi oleh pejuang-pejuang kebebasan akhbar akibat cengkaman meningkat dari pemerintah dan kepentingan sektor swasta.

Kedudukan Malaysia dalam ranking Index of Press Freedom, di tangga 146 dari 180, amat memalukan.

Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2016 kita memperkukuhkan iltizam untuk membangun dunia media yang bebas, demokratik luhur dan bertanggungjawab. Ini adalah sebahagian dari perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia.

* DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI adalah Timbalan Presiden KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.