Categories
NASIONAL

Pemerintah tak demokratik amal kuku besi musuh media bebas

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 MEI: KEADILAN menyeru memperkukuhkan iltizam bagi membangun dunia media yang bebas, demokratik luhur dan bertanggungjawab.

Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kebebasan media merupakan salah satu tonggak terpenting kepada demokrasi.

Katanya, laporan terbaharu Wartawan Tanpa Sempadan menyatakan cabaran semakin getir dihadapi oleh pejuang kebebasan akhbar akibat cengkaman meningkat dari pemerintah dan kepentingan sektor swasta.

Azmin Ali“Tanpa media bebas, demokrasi tempang dan lumpuh. Kedudukan Malaysia dalam ranking kebebasan media, di tangga 146 dari 180, amat memalukan.

“Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2016 kita memperkukuhkan iltizam untuk membangun dunia media bebas, demokratik luhur dan bertanggungjawab. Ini adalah sebahagian dari perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, media yang bebas melaporkan kebenaran dalam masyarakat, mendedahkan kepura-puraan dan kezaliman penguasa durjana serta menyediakan wahana untuk perdebatan dan percambahan idea.

Sebaliknya, beliau berkata apabila media dibungkam, maklumat sahih sukar diperolehi rakyat membuat pendirian dan keputusan saksama.

media“Bagi pemerintah autoritarian tiada lebih mereka takuti dari kebenaran dan maklumat sahih kerana kebenaran dan maklumat tersebut membebaskan minda rakyat dan mendedahkan kepada mereka kepincangan dan kedurjanaan pemerintah.

“Maka tidak hairanlah mengapa pemerintah tidak demokratik dan mengamalkan dasar kuku besi memusuhi kebebasan media,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata cadangan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyekat blog dan portal berita bercanggahan dengan semangat kebebesan akhbar perlu ditentang.

“Sejarah membuktikan perjuangan membangun sebuah demokrasi matang dan adil sudah barang tentu melibatkan perjuangan membangun media bebas, adil dan bertanggungjawab.

“Justeru, itu setiap demokrat sejati adalah rakan setia kepada wartawan berjiwa merdeka dan media bebas lagi bertanggungjawab.

“Hari ini (3 Mei) adalah tarikh keramat bagi pengamal media dan aktivis kewartawanan cekal berpegang kepada prinsip kebebasan akhbar,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.