Categories
NASIONAL

Mungkin ada perbincangan Rusia beli aset Petronas

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MEI: Kemungkinan Petronas menjual asetnya di Rusia tetap ada walaupun syarikat itu menafikan laporan ada berbincang dengan firma minyak dan gas gergasi Rusia, Zarubezhneft.

Mantan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata hal itu berikutan langkah mencairkan aset antara pilihan yang biasa diambil kebanyakan syarikat apabila berhadapan masalah sama yang dihadapi Petronas.

rosli“Kita tak tahu berita itu sah atau tak kerana yang terbaru Petronas dah menafikan perkara itu. Walaupun ada penafian tetapi itu tidak boleh dipandang ringan, kemungkinan tetap ada.

“Ini kerana Petronas sedang berhadapan dengan isu kewangan berpunca daripada kejatuhan harga minyak yang teruk. Salah satu tindakan terbuka buat Petronas adalah merasionalisasikan kedudukan kewangan dengan mencairkan aset.

“Mana-mana syarikat pun jika berhadapan dengan masalah seperti Petronas akan sentiasa berfikir untuk mencairkan aset mereka untuk menjana kewangan. Walaupun ada penafian tetapi kemungkinan untuk aset itu dijual tetap ada,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, kebarangkalian itu turut didukung faktor kedudukan geografi aset terbabit yang terletak jauh di Rusia dan cuaca yang menyebabkan Petronas terpaksa membelanjakan kos yang tinggi untuk menyelenggaranya.

Sementara itu, langkah Rusia membeli aset minyak dan gas di negara sendiri adalah keputusan yang menguntungkan mereka dalam banyak aspek.

“Di pihak Rusia pula, kalau dia nak beli aset berupa gas dan minyak tentunya menjadi pilihan terbaik adalah di negara sendiri. Tambahan, Rusia juga mengeluarkan minyak dan firma minyak dan gas negara itu mempunyai kedudukan kewangan lebih kukuh,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.