Categories
AGENDA NASIONAL

Kebebasan media perlu diguna dengan berdisiplin, tanggungjawab

SHAH ALAM, 31 OGOS: Media tempatan di negara ini perlu menggunakan kebebasan diberi oleh kerajaan dengan berdisiplin dan penuh tanggungjawab serta tidak memainkan isu yang boleh mengapi-apikan sentimen kaum dan agama, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Katanya, walaupun demikian, pihaknya memahami bahawa media memerlukan berita yang mempunyai ‘sengat’ untuk menarik minat pembaca untuk membeli akhbar atau mengunjungi laman portal mereka.

“Dalam mencari cerita yang seperti ini kita perlu mengimbanginya dengan etika kewartawanan yang berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara seperti Kesopanan dan Kesusilaan dan prinsip lain yang sesuai dengan etika kewartawanan.

“Kita tidak mahu berita seperti ini disensasikan atas maksud yang boleh menyemarakkan api kebencian antara kaum, tetapi saya fikir pihak media tidak berniat berbuat demikian (menyemarakkan api kebencian antara kaum), mereka hanya melaporkan isu ini mengikut nilai berita yang ada sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa pihak media tidak lagi mengapi-apikan isu perkauman dan agama supaya bahang ketegangan antara kaum ketika ini kembali reda.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke kejohanan rugbi 10 sebelah anjuran kementeriannya dan Kelab Rugbi Home of Warriors di sini, malam tadi.

Eddin berkata, sebagai pembaca, seseorang itu perlu meneliti dan membaca keseluruhan kandungan berita yang ditulis untuk memahami konteks sebenar berita berkenaan.

Ketika ditanya sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan meningkatkan pemantauan terhadap media tempatan dan pengguna laman sosial, Eddin Syazlee berkata, belum ada ketetapan daripada pihak kerajaan untuk berbuat demikian.

“Kerajaan masih mengamalkan keterbukaan cuma dalam perkara 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) jika isu ini dimainkan SKMM akan mengambil tindakan yang tegas.

“Selain daripada itu (3R) insha-Allah, kita (kerajaan) tetap berpegang kepada prinsip memberikan kebebasan yang sepatutnya kepada pihak media,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dua bidang utama jadi fokus kebebasan media – Gobind

LONDON, 12 JUL: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji dua fokus utama dalam usaha menggalakkan kebebasan media yang lebih baik di Malaysia, kata menterinya, Gobind Singh Deo.

”Kita perlu memperakui bahawa kita perlu berusaha lebih banyak untuk meneruskan agenda pembaharuan berhubung media dan kebebasan media.

“Dua bidang utama yang saya melihat ialah memastikan kesemua undang-undang yang perlu dipinda dan dimansuhkan dilakukan secepat mungkin dan juga penubuhan Majlis Media,” katanya kepada media Malaysia di sini, semalam.

Gobind sebelum itu berucap pada sesi pleno Persidangan Global Bagi Kebebasan Media, yang julung kali diadakan, di sini pada Rabu dan Khamis.

Dalam ucapannya bertajuk “Apakah Kebebasan Media: Mengapa ia Penting ?, menteri itu berkata, kerajaan baharu Malaysia telah menjanjikan lebih banyak ketelusan dan akauntabiliti dan menghapuskan undang-undang bercorak menindas yang pernah digunakan sebelum ini untuk menghalang media dan pandangan bertentangan.

“Salah satu janji pertama yang ditunaikan ialah memansuhkan akta kontroversial. Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018,yang didapati digubal secara tergesa-gesa oleh kerajaan terdahulu untuk mengetatkan kawalan terhadap media, pembangkang dan masyarakat sivil.

“Walaupun rang undang-undang itu ditolak di Dewan Negara, undang-undang itu hari ini tidak lagi diguna pakai di Malaysia, “ katanya.

Mengenai Majlis Media, Gobind berkata, kerajaan sedang dalam proses mengadakan rundingan dan mendapatkan maklum balas menerusi perbincangan dengan pengamal media, wartawan, organisasi media, kesatuan, kumpulan masyarakat sivil dan kumpulan lain yang mempunyai kepentingan.

Majlis Media berperanan sebagai badan pengawalseliaan sendiri yang bebas untuk mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk arbitrasi aduan awam.

Anggota panel sesi pleno tersebut termasuk peguam hak asasi manusia terkenal antarabangsa, Amal Clooney, Wakil Khas Mengenai Kebebasan Media di Pejabat Hal Ehwal Luar United Kingdom (UK) dan Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay.

Anggota lain termasuk Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Rudiantara dan Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik laman berita dalam talian, Rappler, Maria Ressa.

Persidangan yang dianjurkan oleh kerajaan Kanada dan UK itu dihoskan Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland, dan Setiausaha Luar UK, Jeremy Hunt.

Persidangan itu adalah sebahagian daripada kempen antarabangsa menyerlahkan perhatian global terhadap kebebasan media.

Acara berkenaan mengumpulkan lebih 1,000 tetamu termasuk menteri dan pegawai kerajaan, komuniti diplomatik, agensi antarabangsa, wartawan, masyarakat madani dan ahli akademik.

Antara lain, persidangan itu meneliti cabaran yang dihadapi kebebasan media dan peluang yang akan diwujudkan untuk persekitaran yang lebih selamat bagi wartawan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kebebasan bersuara: Perlu klausa perlindungan wartawan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 MEI: Suatu akta yang memberi perlindungan kepada wartawan wajar diwujudkan bagi melindungi kebebasan bersuara khasnya dalam kalangan pengamal media.

Pengarang Kumpulan Media Selangor, Fathi Aris Omar berkata, akta terdapat pada masa ini juga lebih bersifat abstrak, tidak khusus dan tiada perlindungan.

“Misalnya dalam perdebatan sebelum ini, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 di mana betapa kenyataan itu bersifat umum dan ini sama juga definasi ‘rahsia’ dalam Akta Rahsia Rasmi atau berita palsu.

“Jadi, kita perlu pengkhususan di situ kerana dalam media ini ada laporan bersifat spekulasi, bukanlah laporan separuh benar tetapi tanggapan bergerak dalam masyarakat kadang-kadang media tidak boleh abaikan sama sekali hal seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara moderator, Luqman Hariz dalam rancangan bual bicara di Astro Awani, ‘Menjelang Setahun Malaysia Baharu: Adakah Media Lebih Bebas’, malam tadi.

Turut tampil dalam rancangan selama sejam itu, Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.

Fathi berkata, dalam Akta Komunikasi misalnya, terdapat beberapa perkataan yang tidak diberikan definasi dengan terperinci seperti perkataan ‘jelek’.

“Bolehkah dengan bercakap bodoh itu boleh dihukum? Kita tahu perkataan itu tidak sopan, media mungkin tidak boleh menggunakannya atau meletakkan dengan tanda dot, dot, dot tetapi adakah wajar menjadikannya unsur jenayah.

“Perkara inilah yang perlu ditakrifkan dengan lebih khusus, kalau mungkin bukan pada penggal ini atau parti ini tetapi kita mesti menyediakan satu suasana dan prinsip yang menggalakkan pertumbuhan media dan perbincangan yang menarik,” katanya.

Katanya, undang-undang perlu memainkan peranan dalam menyuburkan perkembangan media bagi menjamin ketelusan laporan berita dan perbincangan berbangkit berkaitan isu itu.

Categories
NASIONAL

Pemerintah tak demokratik amal kuku besi musuh media bebas

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 MEI: KEADILAN menyeru memperkukuhkan iltizam bagi membangun dunia media yang bebas, demokratik luhur dan bertanggungjawab.

Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kebebasan media merupakan salah satu tonggak terpenting kepada demokrasi.

Katanya, laporan terbaharu Wartawan Tanpa Sempadan menyatakan cabaran semakin getir dihadapi oleh pejuang kebebasan akhbar akibat cengkaman meningkat dari pemerintah dan kepentingan sektor swasta.

Azmin Ali“Tanpa media bebas, demokrasi tempang dan lumpuh. Kedudukan Malaysia dalam ranking kebebasan media, di tangga 146 dari 180, amat memalukan.

“Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2016 kita memperkukuhkan iltizam untuk membangun dunia media bebas, demokratik luhur dan bertanggungjawab. Ini adalah sebahagian dari perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, media yang bebas melaporkan kebenaran dalam masyarakat, mendedahkan kepura-puraan dan kezaliman penguasa durjana serta menyediakan wahana untuk perdebatan dan percambahan idea.

Sebaliknya, beliau berkata apabila media dibungkam, maklumat sahih sukar diperolehi rakyat membuat pendirian dan keputusan saksama.

media“Bagi pemerintah autoritarian tiada lebih mereka takuti dari kebenaran dan maklumat sahih kerana kebenaran dan maklumat tersebut membebaskan minda rakyat dan mendedahkan kepada mereka kepincangan dan kedurjanaan pemerintah.

“Maka tidak hairanlah mengapa pemerintah tidak demokratik dan mengamalkan dasar kuku besi memusuhi kebebasan media,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata cadangan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyekat blog dan portal berita bercanggahan dengan semangat kebebesan akhbar perlu ditentang.

“Sejarah membuktikan perjuangan membangun sebuah demokrasi matang dan adil sudah barang tentu melibatkan perjuangan membangun media bebas, adil dan bertanggungjawab.

“Justeru, itu setiap demokrat sejati adalah rakan setia kepada wartawan berjiwa merdeka dan media bebas lagi bertanggungjawab.

“Hari ini (3 Mei) adalah tarikh keramat bagi pengamal media dan aktivis kewartawanan cekal berpegang kepada prinsip kebebasan akhbar,” katanya.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Protes Pensel Merah gambaran sebenar perjuangan kebebasan media

Oleh Alyaa Alhadjri

“SIAPA melaporkan protes ni?”

“Dua orang ni lah.”…”Oh! Dua pasangan ni.”

Selepas melaporkan pelbagai protes selama dua tahun, agak aneh pula melaporkan satu protes yang saya sendiri anjurkan, sertai, dan tulis berhubung pandangan ‘pasangan’ saya – seperti kata bos saya tadi.

Sebagai salah seorang sekratariat Gerakan Media Marah (Geramm) yang ditubuhkan berikutan penggantungan akhbar mingguan The Heat, saya amat gembira kerana perjuangan golongan wartawan terus mendapat tempat.

Fathi-Aris-Omar-1024x576Mesyuarat “bidan terjun” di gerai mamak ternyata membuka ruang bagi kami menganjurkan forum, kempen di laman media sosial dan diikuti protes ‘Pensel merah’ pada 4 Januari.

Ia disertai seramai 200 peserta terdiri dari pengamal media, aktivis masyarakat, ahli politik dan penyokong-penyokong perjuangan.

Sokongan wartawan senior serta pengarang yang saya kagumi menyuntik semangat bagi Geramm dan membuktikan kami di jalan yang betul dengan lapan tuntutan yang dibuat terhadap kerajaan serta wartawan sendiri.

Pengarang senior Fathi Aris Omar menerajui Geramm. Beliau menegaskan “pihak berkuasa bukan musuh media” di dalam ucapan penutupnya di perhimpunan tersebut.

Secara tidak langsung, ia menghilangkan rasa gelisah yang menghantui rakan-rakan dari media arus perdana terhadap tuntutan yang dibuat terhadap kerajaan, berikutan Geramm yang dianggap ‘anti kerajaan’.

Ini sebenarnya tanggapan salah kerana kekangan yang dibuat pihak kerajaan ke atas media — melalui Akta mesin cetak dan penerbitan 1984 serta pemilikan media arus perdana di Malaysia.

Seorang wartawan penyiaran, yang tiba hanya setelah kami bersurai, berkata bahawa dia hanya membuat liputan mahkamah tetapi diarahkan membuat liputan “jenayah” menjadikan kami kecewa. Inilah tanggapan yang menular di saluran milik kerajaan.

Etika kewartawanan sewajarnya menjadi teras bagi kesetiaan seseorang wartawan, dan bukannya siapa pemilik media tersebut.

geramm-logoBekas pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenivasen yang berucap di perhimpunan itu berkata, Geramm memperjuangkan lebih dari tindakan penggantungan The Heat yang dibuat Kementerian Dalam Negeri.

“Ini tentang harga diri dan integriti wartawan,” jelasnnya.

Integriti di sini bermaksud memiliki keyakinan untuk menulis tentang sesuatu perkara sehingga ia diterbitkan.

Saya tentu kecewa apabila cerita saya diubah sehingga saya sendiri tidak mengenalinya lagi.

Setakat ini, saya telah bekerja selama empat tahun dari seorang wartawan pelatih sehingga jawatan saya sekarang. Saya gembira dapat mengenali pelbagai pengarang yang terbuka tentang bagaimana sesuatu laporan perlu disiapkan.

Seorang lagi berkata, saya perlu menghasilkan tulisan terbaik sekiranya tidak mahu ‘gulung tikar’.

Pelajaran ini membuatkan saya menghargai diri dan integriti dan ia hanya terhasil sekiranya ada kebebasan akhbar.

geramm-red-pencil9-1024x576 (4)(1)

Laungan “Bebaskan akhbar” dan “berani menentang” kedengaran lantang dan jelas ketika perhimpunan Geramm dan kami akan berjuang sehingga matlamat kami tercapai.

‘Pensel merah’ yang patah melambangkan budaya mengongkong yang diterapkan Kementerian Dalam Negeri beserta lapan tuntutan dari pihak kami.

Mungkin saya idealis, namun saya tidak mahu hanya bekerja untuk gaji bulanan sahaja. Saya berharap rakan-rakan dari media arus perdana tampil bersama-sama menyatakan sokongan terbuka dan seterusnya membawa perubahan kepada kita semua.

* Alyaa Alhadjri ialah wartawan The Ant Daily. Artikel dan gambar dipetik dari portal berkenaan.

Categories
NASIONAL

Protes Pensel Merah suatu ‘keberanian baru’ – A Samad Said

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM  2 JAN: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyifatkan penganjuran Protes Pensel Merah membabitkan pengamal media portal berita utama di Malaysia sebagai suatu ‘keberanian baru’.

Menyambut baik penganjuran program anjuran Gerakan Media Marah (GERAMM) itu, beliau menganggap mereka yang terlibat sebagai wira baru yang menyuarakan hak pembaca marhaen.

Katanya, kelahiran wira baru khususnya dalam kalangan pengamal media anak muda perlu dalam memahami kepentingan kebebasan media demi masa depan.

“Ini keberanian baru oleh sebab selama ini kita hanya mendengar berita tentang tekanan sahaja. Amat jarang kita mendengar secara terbuka tentang perlawanan (bantahan).

“Saya fikir itu harus digalakkan dan saya sambut baik,” katanya kepada Selangor Kini.

Copy of geram-poster

Protes Pensel Merah dijadual diadakan depan bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur, bermula jam 2 petang, pada 4 Januari ini.

Bantahan itu susulan penggantungan akhbar minggu berbahasa Inggeris, The Heat, selain membawa lapan tuntutan berkaitan kebebasan media di Malaysia.

Beliau yang dikenali sebagai Pak Samad dan pernah memimpin sidang editorial Berita Harian pada era 70-an, bagaimanapun percaya penganjuran sedemikian bakal berdepan tohmahan kononnya ada agenda tertentu.
– EZY FZL

Categories
KENYATAAN MEDIA

Akta Percetakan & Penerbitan jadi ‘senjata dan ‘bom’ untuk kawal media

Oleh Fariz Musa

Jingga 13 Malaysia menyatakan sokongan terhadap Perhimpunan Pensil Merah anjuran Gerakan Media Marah (GERAMM) pada 4 Januari 2014 sebagai satu tanda manifestasi kebebasan media serta kebebasan bersuara yang meraikan amalan demokrasi serta menolak amalan authokrasi Kerajaan UMNO BN.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri mengantung The Heat adalah merupakan tindakan yang tidak demokratik dan anti kebebasan media.

Apa pun alasan KDN, rakyat tetap melihat bahawa penyiaran atrikel yang mengkritik Perdana Menteri dan isteri beliau berkaitan perbelanjaan mewah dan boros menyebabkan The Heat terus digantung.

Sehingga sekarang KDN masih gagal membebaskan The Heat.

Copy of geram-poster

Kajian oleh Reporters Without Borders telah menunjukkan Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang tidak demokratik dan mengekang kebebasan media daripada tangga ke 123/179 pada tahun 2012, semakin menurun di tangga 145/179 pada tahun 2013.

Kerajaan UMNO BN terus menggunakan undang-undang untuk menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media. Akta Percetakan dan Penerbitan dijadikan sebagai ‘senjata’ dan ‘bom’ untuk mengawal segala tindak tanduk media yang dilihat tidak mememenuhi selera pimpinan UMNO BN.

Selain KDN, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dijadikan sebagai alat oleh Kerajaan UMNO BN bertujuan mengugut para wartawan dan pengamal media, mengawal kebebasan dan hak bersuara.

Jingga13Jingga 13 tetap teguh menyarankan agar Akta Percetakan dan Penerbitan dikaji serta dipinda agar selari dengan hak kebebasan media seperti tuntutan dalam memorandum kepada Menteri Dalam Negeri dan KDN pada 24 Disember 2013 lalu serta meminta agar menghapuskan permit penerbitan.

Jingga 13 menyeru seluruh rakyat Malaysia, pencinta demokrasi dan kebebasan bersuara yang menjadi hak asasi setiap manusia agar bersama-sama menyertai Himpunan Pensil Merah pada 4 Januari 2014, jam 2 petang di hadapan Bar Council, Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan kepada para media dan wartawan serta menyokong hak-hak kebebasan media.
* FARIZ MUSA ialah Ketua Koordinator JINGGA 13 Malaysia