Categories
SELANGOR

Program Ilham Bandarku Petaling Jaya dedah kepelbagaian budaya

OLEH : NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 30 MEI: Kira-kira 50 peserta dari Pusat Wanita Berdaya (PWB) Bukit Gasing menyertai program Ilham Bandarku Petaling Jaya.

Bertempat di Kediaman Rasmi Datuk Bandar Petaling Jaya, program berkenaan diadakan selama tiga hari turut membawakan Persatuan Storyteller Yunlin dari negara Taiwan.

Ahli Majlis Zon 15, Ermee Marrianna Saadin, berkata program terbabit bertujuan untuk memberikan pendedahan dan kefahaman kepada peserta dan persatuan mengenai kepelbagaian budaya di Malaysia khususnya Petaling Jaya.

Katanya, beliau mahu kepelbagaian negara kita dibukukan atau didokumentasikan di Taiwan.

“Selain mengadakan aktiviti kesenian seperti melukis dan bermain kompang, persatuan itu turut dibawa ke majlis perkahwinan melayu serta berpeluang menikmati makanan tradisi Malaysia juga buah-buahan seperti durian,” katanya kepada SelangorKini.

Ermee berkata program kali pertama diadakan itu mendapat dokongan penuh dari Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi.

“Menariknya produk dari PWB juga diberikan kepada persatuan sebagai cenderamata.

“Juga peserta yang datang program ini ialah berumur antara 30 hingga 70 tahun.

“Program ini kali pertama diadakan dan Oktober ini mereka menjemput kita ke Taiwan untuk melihat festival diadakan di sana serta melihat hasil karya dari program hari ini ditunjukkan di sana,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Budaya Ekonomi dan Budaya Taipei, Yu An Tien berkata, program terbabit memberi manfaat kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pengetahuan mengenai kedua-dua budaya.

“Kita sangat berharap Oktober ini peserta dapat ke Taiwan untuk melanjutkan aktiviti seperti ini.

“Ia supaya jaringan kedua-dua negara dapat diteruskan,” katanya.

Program terbabit dianjurkan oleh Pejabat Ahli Majlis Zon 15 dan Ahli Majlis Tang Fuie Koh dengan kerjasama PWB Bukit Gasing.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.