Categories
SELANGOR

Selangor giat ‘buru’ pelaburan antarabangsa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 MEI: Selangor akan terus giat menjana pelaburan di negeri itu dengan menarik pelabur antarabangsa dalam misinya ke bandar utama di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Hasan Azhari Idris, berkata bagi menyokong usaha itu, beberapa siri mesyuarat dan seminar diadakan membabitkan bandar utama di Australia, Vietnam, Thailand, Korea, Amerika, Timur Tengah dan Jepun.

Katanya, atas kesungguhan itu, syarikat Jepun antara yang terawal bersetuju mengembangkan pelaburan di Selangor.

Hasan-Azhari-Invest-Selangor“Setiap tahun kita adakan misi pelaburan ke pelbagai negara dan terbaru, Jepun yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali termasuk Invest Selangor dan Central Spectrum Sdn. Bhd.

“Objektifnya adalah menggalakkan Selangor sebagai hab pilihan di rantau ASEAN, menonjolkan inisiatif baru dan pembangunan ekonomi di Selangor serta memperkenalkan Ekspo Antarabangsa Selangor 2016.

“Kita juga ingin mewujudkan peluang perniagaan antara Jepun dan Selangor pada Halal & Life Sciences,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Hasan berkata, pihaknya menganjurkan seminar ‘The Economic Powerhouse Malaysia’ yang memberi tumpuan kepada industri Halal ketika berada di Tokyo.

MB INVEST 1Katanya, hampir 50 peserta dari pelbagai sektor menyertai seminar itu dengan bantuan daripada MIDA Tokyo, Pusat Jepun ASEAN (AJC), dan JETRO.

“Semasa misi di Tokyo, perwakilan melawat dan bertemu pelbagai pertubuhan dan syarikat seperti JETRO, Ajinomoto Group Corporation, Yusen Logistics Co., Ltd., Fujisawa Town Smart Lestari, Sony Corporation, & Oji Holdings Corporation.

“Bagi misi di Nagoya, delegasi dibawa melawat industri automotif terbesar di Jepun, Toyota Motor Corporation di Toyota City, Jepun untuk belajar berkenaan wawasan, teknologi, proses dan pengeluaran,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.