Categories
SELANGOR

Program Silang Budaya inisiatif semarak agenda kesenian negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 MEI: Agenda pembangunan seni diperluaskan menerusi Program Silang Budaya dan ia dilihat menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk membangunkan Selangor sebagai Smart State.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor, Mohd Faizul Fitri Muslil, berkata program itu mengangkat budaya kesenian dengan penyertaan negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Johor, Perak dan Selangor.

Program itu mempamerkan pelbagai jenis persembahan keseniaan mengikut adat dan warisan negeri masing-masing yang dijalankan di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, bermula 11 Mei hingga 9 Jun ini.

Cempuling DSC_1412“Objektif program ini juga untuk meningkatkan kerjasama dua hala pengendalian pameran dan aktiviti pendidikan berteraskan kesenian. Malah, ia juga berperanan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada tenaga kerja di muzium juga jabatan kesenian itu.

“Justeru itu, kami mengangkat tema seni dan persembahan sepanjang bengkel, persembahan serta demostrasi dalam program ini,” katanya.

Selangor adalah negeri kedua meneruskan kesinambungan program terbabit melalui gerak kerja Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri, bahkan ia turut menyajikan persembahan cempuling yang jugaseni warisan turun temurun di negeri itu yang cukup dikenali masyarakat Jawa.

“Persembahan cempuling akan mewakili Selangor sebagai seni muzik masyarakat Jawa negeri ini yang wujud sejak 1928 di Tanah Melayu.

image (4)“Kedatangan muzik ini rentetan proses aliminasi daripada kepulauan Jawa. Ia medium dakwah yang mengajak masyarakat mendekati Islam melalui medium keseniaan waktu itu,” katanya.

Pada Disember lalu, pihak perbadanan menganjurkan Temasya Seni Cempuling 25 jam di Sabak Bernam bagi memastikan warisan keseniaan itu terus kekal dipelihara.

Kejayaan itu turut dicatatkan di dalam The Malaysia Book Of Record kerana mengekalkan corak permainan muzik tradisi cempuling selama 25 jam tanpa henti.

Tempoh itu adalah simbolik 25 tahun sambutan penubuhan Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam dan berdasarkan rekod, tiada pihak yang pernah terlibat dengan cempuling tanpa henti selain rekod muzik gambus dari Johor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Silang Budaya meriahkan Muzium Sultan Alam Shah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 MEI: Orang ramai dijemput mengunjungi Muzium Sultan Alam Shah sempena program ‘Silang Budaya’ bermula 11 Mei hingga 9 Jun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program julung kali itu bertujuan mempromosi persembahan kebudayaan tradisi dari enam negeri menerusi pameran bergerak.

Katanya, ia akan bermula di Perak, Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Kedah dan berakhir di Pulau Pinang.

YUNUS HAIRI“Menariknya program ini berkonsepkan pertukaran budaya di mana setiap negeri terlibat akan menonjolkan budaya mereka di setiap lokasi.

“Ini pastinya dapat mendekatkan seni budaya kepada masyarakat kita yang mungkin kurang mengenali keistimewaan budaya negeri lain,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Silang Budaya di Muzium Sultan Alam Shah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Mohd Faizul Fitri Muslil.

Program anjuran bersama PADAT dengan Persatuan Muzium Malaysia itu antara lain memuatkan persembahan kebudayaan Ghazal Party (Pulau Pinang), Wayang Kulit Asun (Kedah), Tarian Dabus (Perak), Gambus (Kuala Lumpur), Muzik Campuling (Selangor) serta Zapin Johor (Johor).

Antara aktiviti di Muzium Sultan Alam Shah adalah Sembang Dabus pada 18 Mei, Ketuk-ketuk Campuling (25 Mei) dan persembahan kebudayaan lain.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web PADAT di www.padat.gov.my.

-AA-