Categories
NASIONAL

9 negeri catat peningkatan kes demam denggi

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sembilan negeri mencatatkan peningkatan 2,017 kes atau 13.5 peratus berbanding 1,777 kes pada minggu ke-26 iaitu dari 26 Jun hingga 2 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 1,145 kes diikuti Johor (165), Perak (75), Sarawak (68), Kelantan (51), Kedah (42), Pahang (39), Pulau Pinang (31) dan Perlis (5).

Dr_hisham“Jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 2 Julai lalu adalah 57,782 kes berbanding 59,365 bagi tempoh sama tahun 2015 iaitu berkurangan 2.7 peratus (1,583 kes).

“Jumlah lokaliti wabak juga meningkat dari 647 kepada 660 bagi tempoh 26 Jun hingga 2 Julai lalu, manakala lokaliti ‘hotspot’ pula menurun dari 74 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 73 pada minggu sama,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama.

Dr Noor Hisham berkata, 10 kematian dilaporkan pada minggu ke-26 menjadikan kumulatif kematian adalah 132 berbanding 165 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap gejala dan tanda demam denggi seperti demam, sakit otot dan tulang, ruam, sakit di belakang mata serta sakit kepala kerana kes demam denggi akan meningkat selepas musim perayaan.

aedes“Ini juga termasuk tanda amaran demam denggi seperti sakit perut, kerap muntah, resah, sangat lemah dan pendarahan gusi atau hidung.

“Sekiranya menghidap gejala dan tandatersebut, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran kerana pengesanan dan rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

Pada masa sama, sebanyak 507 sampel darah diuji Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan sehingga 2 Julai ini bagi mengesan jangkitan Zika di negara ini, namun tiada jangkitan virus berkenaan dikesan.

Selain itu, tiada pelawat yang dikesan dijangkiti virus Zika ketika saringan dilakukan di pintu masuk antarabangsa di negara ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.