Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir Sabah naik, keadaan di Pahang, Sarawak semakin pulih

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Sabah masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, manakala keadaan di Pahang dan Sarawak kian pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan pagi ini.

Setakat 8 pagi, keseluruhan mangsa banjir di ketiga-tiga negeri berjumlah 3,809 orang.

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa bertambah kepada 673 orang, melibatkan 194 keluarga, berbanding 407 orang daripada 106 keluarga malam tadi, dengan kesemua mereka ditempatkan di 15 PPS di negeri itu.

Sembilan daerah dilanda banjir dengan Kota Belud mencatatkan mangsa banjir tertinggi iaitu 210 orang, Tuaran (112); Kota Kinabalu (101); Paitan (73); Beaufort (78); Penampang (76); dan Putatan (23) manakala Kuala Penyu dan Sipitang tiada mangsa dipindahkan.

“Sebanyak 186 kampung terjejas. Trend pemindahan mangsa banjir meningkat selain amaran cuaca buruk di beberapa tempat di negeri ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, hanya tinggal lima PPS masih beroperasi, kesemuanya di daerah Serian yang menempatkan 569 mangsa banjir.

Menurut JPBN Sarawak, PPS Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 341 orang diikuti Dewan Kampung Rimba Padi (96); Dewan Masyarakat Serian (74); Dewan Kampung Slabi Entukuh (32) dan Dewan Balek Buk Janjun (26).

Sementara di PAHANG, jumlah mangsa banjir semakin berkurangan dengan hanya 2,567 orang masih berada di 28 PPS di tiga daerah negeri itu.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) melaporkan Pekan masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,632 orang di 16 PPS, diikuti Kuantan (715 orang, lima PPS) dan Maran (220 orang, tujuh PPS).

Selepas hampir dua minggu berada pada paras bahaya, portal infobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Pahang di Serambi, Pekan surut ke paras amaran pagi ini, menjadikan Sungai Jelai di Lipis sebagai satu-satunya sungai mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya di negeri berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Pentadbiran agama negeri boleh putuskan Solat Jumaat dua sesi

KUALA TERENGGANU, 19 JULAI: Keperluan untuk menunaikan solat Jumaat dua sesi di negeri-negeri disebabkan kesesakan jemaah dan ruang terhad di masjid semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertakluk kepada pentadbiran agama di setiap negeri berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bagaimanapun katanya di peringkat Wilayah Persekutuan, solat Jumaat cuma diadakan satu sesi seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

“Justeru sekarang ini kami telah mengambil ketetapan bagi pihak contohnya Wilayah Persekutuan, kita tidak akan buat dua sesi, kita hanya buat satu sesi sahaja. Negeri lain tertakluk kepada pentadbiran agama negeri.

“Setakat ini apa yang dimaklumkan kepada saya, mereka (negeri-negeri) buat satu sesi sahaja. Ini (solat Jumaat satu sesi) yang diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, terpulang kepada negeri masing-masing,” katanya.

Dr Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli Pasca Musa’adah Covid-19 Bersama Nelayan Terengganu, di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Chendering, di sini hari ini.

Katanya Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI itu turut membenarkan solat Jumaat diadakan di kawasan tepi masjid termasuk pemasangan khemah di pekarangan masjid, mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

9 negeri catat peningkatan kes demam denggi

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sembilan negeri mencatatkan peningkatan 2,017 kes atau 13.5 peratus berbanding 1,777 kes pada minggu ke-26 iaitu dari 26 Jun hingga 2 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 1,145 kes diikuti Johor (165), Perak (75), Sarawak (68), Kelantan (51), Kedah (42), Pahang (39), Pulau Pinang (31) dan Perlis (5).

Dr_hisham“Jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 2 Julai lalu adalah 57,782 kes berbanding 59,365 bagi tempoh sama tahun 2015 iaitu berkurangan 2.7 peratus (1,583 kes).

“Jumlah lokaliti wabak juga meningkat dari 647 kepada 660 bagi tempoh 26 Jun hingga 2 Julai lalu, manakala lokaliti ‘hotspot’ pula menurun dari 74 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 73 pada minggu sama,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama.

Dr Noor Hisham berkata, 10 kematian dilaporkan pada minggu ke-26 menjadikan kumulatif kematian adalah 132 berbanding 165 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap gejala dan tanda demam denggi seperti demam, sakit otot dan tulang, ruam, sakit di belakang mata serta sakit kepala kerana kes demam denggi akan meningkat selepas musim perayaan.

aedes“Ini juga termasuk tanda amaran demam denggi seperti sakit perut, kerap muntah, resah, sangat lemah dan pendarahan gusi atau hidung.

“Sekiranya menghidap gejala dan tandatersebut, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran kerana pengesanan dan rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

Pada masa sama, sebanyak 507 sampel darah diuji Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan sehingga 2 Julai ini bagi mengesan jangkitan Zika di negara ini, namun tiada jangkitan virus berkenaan dikesan.

Selain itu, tiada pelawat yang dikesan dijangkiti virus Zika ketika saringan dilakukan di pintu masuk antarabangsa di negara ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Mangsa banjir di pusat pemindahan berkurangan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 DIS: Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih dengan jumlah mangsa yang masih berada di tiga pusat pemindahan berkurangan kepada 268 orang pagi ini berbanding 462, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata tiga pusat pemindahan masih dibuka setakat pagi tadi.

Ia membabitkan Balai Raya Kampung Parit Mahang iaitu seramai 102 mangsa, Sekolah Rendah Pasangan Kampung Asahan (131) dan Balai Raya Bukit Kuching (35),” katanya kepada Selangor Kini ketika dihubungi.

Beliau berkata, penurunan mangsa banjir itu ekoran penutupan tiga pusat pemindahan banjir malam tadi.

banjir subang“Tiga pusat pemindahan yang ditutup adalah di Dewan Merak, Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang; Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Kapar, Klang dan Dewan Orang Ramai Genting Sanyen, Sepang.

Pada 22 Disember lalu, jumlah mangsa banjir di Selangor direkodkan mencapai 625 orang dengan sembilan pusat pemindahan dibuka dan Meru mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 242 orang.

Selain itu, Kerajaan Negeri mengumumkan untuk menyalurkan peruntukan RM150 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi menangani masalah banjir kilat, tahun hadapan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata RM80 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan penepatan, manakala RM70 juta untuk kerja penyelenggaraan kolam takungan.

Katanya, Kerajaan Negeri memandang serius kejadian banjir kilat yang berlaku dan JPS diberikan tanggungjawab besar untuk program pemulihan itu bagi menyelesaikannya.

-NFN-