Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Cukuplah bersembunyi Najib, jelaskan isu 1MDB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JULAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh lagi menyembunyikan diri sebaliknya perlu tampil menjelaskan isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tidak syak lagi skandal terbabit menyalahgunakan wang rakyat oleh mereka yang berpangkat tinggi dalam kakitangan awam.

AZMIN“Akhirnya, selepas berbulan menyorokkan skandal juga bermain teka teki, tidak syak lagi memang ada konspirasi menyalahgunakan duit rakyat oleh mereka berpangkat tinggi.

“Walaupun benar tidak ada tindakan undang-undang dinamakan atas Najib, tetapi ia membabitkan orang yang rapat dengan beliau,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, aset terbabit termasuk rumah ‘penthouse’, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem ‘Wolf of Wall Street’ yang didakwa diperolehi secara tidak sah menerusi wang yang dilencongkan daripada 1MDB ketika Najib menjadi pengerusinya.

“Langkah Amerika Syarikat ini dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha mereka ‘menentang rasuah global’.

“Ia juga untuk memastikan bahawa Amerika Syarikat tidak akan menjadi ‘syurga’ yang selamat untuk mereka bersembunyi daripada menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Katanya, tindakan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan orang tertinggi di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan ada konspirasi untuk menutup skandal itu.

“Ia mengesahkan dengan jelas sememangnya wujud satu konspirasi untuk menipu dan membersihkan berbilion dolar wang pembayar cukai yang di ‘songlap’ mereka yang rapat dengan pemerintah tertinggi negara,” katanya.

najibwsjTerdahulu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memohon untuk merampas 17 aset termasuk hartanah mewah dan sebuah pesawat jet, demikian menurut saman sivil yang menamakan pembikin filem blockbuster ‘The Wolf of Wall Street’.

Dokumen mahkamah yang difailkan di Los Angeles itu menyatakan bagaimana harta itu didakwa dibeli di Amerika Syarikat, Switzerland dan United Kingdom daripada dana yang dilencong melalui 1MDB.

AS$731 juta didakwa disalurkan daripada 1MDB ke dalam akaun bank milik ‘Malaysian Official 1’ yang tidak dinamakan, demikan menurut saman yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), semalam.

DOJ tidak menamakan ‘Malaysia Official 1’ tetapi menggambarkan individu itu sebagai ‘pegawai berpangkat tinggi’ dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan berkuasa dengan 1MDB.

Anak tiri Najib, Riza Aziz, dinyatakan dalam saman itu sebagai saudara mara ‘Malaysian Official 1’.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.