Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Skandal 1MDB, rompakan terbesar negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 30 JULAI : Skandal 1MDB dianggap jenayah rompakan terbesar negara susulan pendedahan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berhubung ketirisan kewangan syarikat milik kerajaan itu.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata negara ditadbir pemimpin ‘rosak’ yang terus mencermarkan imej negara di peringkat antarabangsa.

“1MDB ini bukan lagi kecurian, ini suatu perompakan dan sebab itulah Peguam Amerika menggunakan istilah ‘kleptokrasi’yang mengaitkan negara kita kini ditadbir individu berpenyakit.

“Penyakitnya, keinginan untuk terus merompak. Kalau inilah berlaku dalam negara, demokrasi negara kita kini sudah dipimpin oleh pemimpin berpenyakit,” sindir Mohamed Azmin.

IMG_7188Beliau bercakap pada sidang media bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Hotel Empire, di sini.

Sebelum ini, DOJ memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.

Ia termasuklah penyelewengan RM28 bilion yang dikatakan dibawa keluar daripada penyata kewangan syarikat cetusan milik Perdana Menteri itu.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin turut mengaitkan pendedahan media antarabangsa, The Guardian berhubung skandal kewangan syarikat beban hutang itu.

Beliau berkata, rakyat sewajarnya mendapat pemahaman sebenar menerusi peranan dimainkan pihak media terhadap skandal dan ketirisan yang berlaku dalam 1MDB.

“Laporan dikeluarkan The Guardian terhadap 1MDB cukup terperinci, namun malang di negara kita berita mengenainya tidak didedahkan di negara ini.

“Jadi ini satu cabaran besar kita dan pihak media untuk mendukung usaha Reformasi negara demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, The Guardian menerusi pendedahan ekslusifnya, ‘1MDB : The Inside Story Of The World’s Biggest Financial Scandal’ membongkar penglibatan Perdana Menteri.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.