Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0: Turun solidariti bersama #KitaSafwan

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 JUL: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) memandangan serius perbicaraan rayuan terakhir Naib Pengerusi BERSIH Pantai Timur, Safwan Anang yang didakwa dibawah Akta Hasutan 1948 pada 29 Mei 2013.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, berkata pendakwaan terhadap Safwan itu jelas berkait rapat dengan ucapannya yang membantah penipuan dan kecurangan berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

BERSIH2Bagaimanapun jawatankuasa itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih bebas dari sebarang tindakan undang-undang sebaliknya pengkritik yang mempersoalkan kewibawaan badan itu pula dihukum.

“Umum ketahui, pelbagai penipuan dan kecurangan berlaku pada 5 Mei 2013.

“Satu contoh diketahui umum dan dunia adalah bagaimana dakwat kekal dicalitkan pada jari pengundi boleh hilang dalam masa 30 minit.

“Ribuan laporan polis dibuat terhadap SPR mengenai isu ini, namun sehingga hari ini SPR bebas dari sebarang tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu juga berkata, perkara itu terjadi akibat kegagalan institusi awam menegakkan keadilan dan menjalankan tugas tanpa kongkongan serta campurtangan kerajaan pemerintah.

Katanya, seramai sembilan individu didapati bersalah, 39 individu didakwa di Mahkamah sejak dari 2010 hingga 2016.

“BERSIH 2.0 menuntut supaya Peguam Negara menarik semula rayuan terhadap kes Safwan, gugurkan kesemua pertuduhan Akta Hasutan terhadap aktivis, ahli politik dan rakyat Malaysia dan mansuhkan Akta Hasutan,” katanya.

Dalam pada itu, BERSIH 2.0 juga turut menjemput semua rakyat membantah Akta Hasutan untuk turun bersolidariti bersama Safwan Anang di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya jam 8 pagi pada 18 Julai ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.