Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bila pemimpin telus, rakyat dapat habuan

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 7 JULAI: Bonus dan insentif adalah perkara ‘favourite’ setiap kakitangan tidak kira swasta mahupun kerajaan, malah kemunculannya dinanti saban tahun.

Yang membezakannya adalah jumlah kerana ia bergantung kepada budi bicara majikan masing-masing.

Tetapi, umum mengetahui mereka yang berkhidmat bersama Kerajaan Persekutuan tidak menerima habuan lumayan meskipun Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) saban tahun menuntut penjawat awam diberikan bonus sebulan gaji.

Himpunan-Bulanan-Penjawat-Awam-host-MBSA-MB-Azmin-Bonus-ASRI-3Situasi itu berbeza dengan kakitangan awam Selangor yang berada di bawah pentadbiran Pakatan kerana sejak 2008, belum pernah berita kecewa disampaikan.

Tahun ini paling bermakna buat 17,582 penjawat awam Selangor apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bermurah hati memberi bonus sebulan setengah gaji termasuk peningkatan elaun perumahan, pada 1 Julai lalu.

Bukan itu sahaja, penjawat awam turut menerima kenaikan tahunan berganda bagi 2016 sebagai menghargai komitmen dan prestasi cemerlang mereka.

Ekoran itu, penjawat awam Gred 41 dan ke bawah akan menerima RM300 sebagai elaun perumahan, peningkatan RM120 daripada jumlah bulanan semasa sebanyak RM180.

Hadiah itu susulan kejayaan pentadbiran Mohamed Azmin meningkatkan tabungan negeri daripada RM3.3 bilion kepada RM4.1 bilion, sekali gus membuktikan Selangor berada pada tahap terbaik ketika ini.

Sudah pastilah kakitangan Kerajaan Selangor tersenyum lebar diraikan sebegitu besar, lebih-lebih lagi imbuhan itu diberikan ketika menjelangnya Syawal.

Bonus-Raya-2016-604x270Siapa tidak kembang hati melihat akaun bank masing-masing dimasukkan bonus raya satu setengah bulan, paling tinggi pernah dibayar Kerajaan Negeri.

Pastinya, penjawat awam di Putrajaya berasa cemburu kerana belum pernah mereka diraikan sebegitu oleh Kerajaan Persekutuan.

Tetapi, tahukah mereka bonus ‘kencang’ boleh diberikan kepada penjawat awam Selangor ekoran sikap berjimat Kerajaan Negeri dalam menguruskan rizab untuk dikembalikan kepada rakyat.

Memetik kenyataan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari di Facebook, beliau berkata
Kerajaan Selangor sebenarnya tidaklah sekaya mana jika dibandingkan dengan Terengganu atau Sarawak yang memiliki hasil minyak.

Katanya, belanjawan Selangor hanya RM 2.2 billion setahun untuk 5.6 juta penduduk dengan 50 peratus daripadanya bagi perbelanjaan mengurus, termasuk membayar gaji kakitangan awam dan bakinya untuk pembangunan.

“Disebabkan amalan berbelanja secara berhemah dan telus, Kerajaan Negeri dapat berjimat di samping meningkatkan hasil negeri.

YAAKOB“Sebagai contoh, Kerajaan Negeri dapat berjimat sehingga 15 peratus melalui tander terbuka. Bagi setiap tander bernilai RM1 juta, tender akan masuk dengan harga RM850,000.

“Justeru, untuk RM1 billion tender pembangunan, kerajaan mampu berjimat sehingga RM150 juta,” katanya.

Yaakob berkata, berdasarkan penjimatan itu, Kerajaan Negeri berupaya memulangkan semula kepada kakitangan awam dalam bentuk satu setengah bulan bonus raya.

Katanya, peningkatan imbuhan itu turut didorong gaya hidup sederhana pemimpin Selangor.

“Seandainya pemimpin negeri hidup mewah seperti zaman Barisan Nasional (BN) dulu, pastilah hasil negeri akan susut.

“Yang mewah adalah pemimpin, tetapi kakitangan awam hanya menjadi orang suruhan. Tahniah Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar,” katanya.

Kesimpulannya, Putrajaya juga mampu mengikut jejak langkah Kerajaan Selangor, asalkan pemimpinnya bijak menjalankan tadbir urus baik.

Bila pemimpin telus, rakyat pasti nikmati habuan.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.