Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Delegasi KEADILAN ke Pulau Pinang, tiada keputusan rasmi PRN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 JULAI : Tiada sebarang keputusan rasmi dibuat berhubung pertemuan delegasi KEADILAN dalam rangka perbincangan bersama Kerajaan Pulau Pinang berhubung cadangan untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut.

Perkara tersebut disahkan Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang turut menegaskan keputusan mengenainya akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Kita akan berbincang, (keputusan) dalam masa terdekat,” katanya selepas hadir merasmikan Pesta Buku di SACC Convention Centre, di sini semalam.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, sekiranya pilihanraya diadakan semula, komponen pembangkang akan terus memastikan gabungan itu mengekalkan pentadbiran di Pulau Pinang.

“Terlalu banyak analisa, namun keutamaannya keputusan dibuat, pastinya kemenangan itu adalah kemenangan bersama atas nama Pakatan Harapan dan hubungan kita bersama PAS.

AZMIN-500x357“Kita telah belajar pengalaman di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sudah tentulah ia memberi mesej daripada rakyat terhadap semua parti-parti politik.

“Namun kita masih memerlukan masa untuk mengadakan perbincangan terbaik di Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum ini, KEADILAN menerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengesahkan wujudnya delegasi KEADILAN dihantar ke Pulau Pinang bagi mengadakan perbincangan di pejabat Ketua Menteri.

Terdahulu, DAP mencadangkan agar diadakan pilihanraya semula susulan pendakwaan politik dikenakan terhadap Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.