Categories
NASIONAL

Kerajaan disaran tingkat sistem pengangkutan awam, tangani kes kemalangan

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 JUL: Kerajaan disaran meningkatkan sistem pengangkutan awam bagi mengurangkan bilangan kenderaan persendirian di jalan raya seterusnya kemalangan terutama pada musim perayaan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pendekatan itu amat perlu bagi menangani statistik kemalangan jalan raya yang meningkat saban tahun.

KEMALANGAN“Kita berpendapat sudah sampai masanya kerajaan serius melihat semula keadaan bilangan kenderaan yang terlalu tinggi di jalan raya dan mencari kaedah terbaik meningkatkan sistem pengangkutan awam sebagai alternatif.

“Sikap berhati-hati pengguna jalan raya yang masih di tahap rendah perlu ditangani dengan cara lebih ketat dan tahap umur untuk lulus lesen memandu hendaklah ditingkatkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan motosikal yang menjadi mangsa kemalangan jalan raya paling tinggi perlu difikirkan semula demi mengelak perkara sebegitu berlaku secara berterusan.

Katanya, MAPIM kesal dan sangat sedih dengan peristiwa kemalangan jalan raya yang terus menerus berlaku apatah lagi di musim sambutan hari perayaan ini.

“Pada hakikatnya kemalangan jalan raya di negara ini menjadi fenomena yang berpunca dari banyak faktor yang sepatutnya boleh ditangani melalui polisi kerajaan sekali gus sikap pengguna jalanraya.

“Kita berpendapat tiga faktor iaitu bilangan kenderaan, keadaan jalan raya dan sikap pengguna menjadi faktor terbesar sebagai penyumbang kepada kemalangan,” katanya.

Mohd Azmi berkata, berdasarkan laporan Kementerian Pengangkutan, direkodkan 489,606 kes kemalangan jalan raya berlaku pada tahun lalu dengan 6,706 kemalangan maut.

“Angka ini ternyata meningkat berbanding 2014 (476,196) dan nilai kerugian ekonomi meningkat sehingga melebihi RM8 bilion.

“Statistik ini nampaknya sangat mengejutkan tetapi keadaan nampaknya terus berulang setiap tahun,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.